Saham Akhirat: Waris MH17 Wakafkan Semua Pampasan Bina Surau RM3.5 Juta

Share

Antara cabang derma yang menjadi pilihan umat Islam ialah dengan mewakafkan harta. Wakaf juga merupakan sedekah jariah yang berkekalan dan dianggap sebagai sedekah jariah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah. Selain itu, pewakaf akan memperolehi pahala yang berkekalan.

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, apabila matinya anak Adam itu terputuslah segala amalan kecuali tiga perkara iaitu amal ibadat yang soleh, sedekah jariah yang berkekalan dan doa daripada anak yang soleh. (Riwayat Bukhari)

Nahas kapal terbang MAS MH17 yang berlaku pada Julai 2014 merupakan antara memori pahit bagi rakyat Malaysia selain MH370. Kapal terbang yang jatuh selepas ditembak peluru berpandu di 40 kilometer dari sempadan Rusia telah mengorbankan kesemua 298 penumpang termasuklah sebuah keluarga rakyat Malaysia.

Satu keluarga yang terlibat dalam nahas penerbangan MH 17 pada 2014 yang lalu, telah menerima wang pampasan sejumlah RM 3.5 Juta. Sekeluarga yang maut itu ialah Tambi Jiee, 49, dan isterinya Ariza Ghazalee, 46, serta empat anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13.

Keluarga ini berasal dari Kuching dan ketika nahas, mereka dalam perjalanan pulang selepas Tambi Jiee menamatkan perkhidmatannya selama tiga tahun bersama Shell di Kazakhstan. Sejumlah wang pampasan telah dibayar kepada waris terdekat. Walau bagaimanapun, waris terdekat telah sepakat bagi mewakafkan kesemua wang pampasan tersebut untuk membina sebuah surau di Jalan Depo, Petra Jaya.

Menurut sumber, surau hampir siap dibina itu dan diberi nama Al-Ghazali berkenaan dibangunkan dengan wang pampasan diterima keluarga terbabit. Pembinaan surau yang membabitkan kos anggaran RM3.5 juta tersebut boleh menampung seramai 450 jemaah.

Sikap pihak waris keluarga ini amat dipuji kerana tidak gelap mata meskipun mendapat wang pampasan dalam jumlah yang besar. Dengan pembinaan masjid tersebut, pahala akan sentiasa mengalir buat Alllahyarham Tambi Jiee sekeluarga. Ia merupakan salah satu saham akhirat buat mereka. Moga roh Alllahyarham Tambi Jiee sekeluarga dicucuri rahmat.

Sumber kredit: Harian Metro

Published by
wan erni