Ramai mengejar pahala solat berjemaah. Dalam satu hadis dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Jika semua tahu besarnya pahala orang melaungkan azan dan berada barisan pertama ketika menunaikan solat berjemaah, pasti semua berebut-rebut melakukannya.
Tapi bagaimanakah jika imam solat itu adalah seorang perokok? Bolehkah solat di belakangnya dan sahkan solat kerana imam melakukan perkara yang haram dalam Islam. Atau boleh jadi suami yang juga perokok tegar menjadi imam ketika solat bersama isteri dan anak-anya.
Persoalan ini dirungkai dalam satu perkongsian Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dari e-booknya, Maktabah Al Bakri, diperincikan dengan jelas hukum berimamkan yang perokok.
Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, Muzakarah telah memutuskan merokok itu adalahharam mengikut pandangan Islam. Antara kriteria imam adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Abu Mas’ud al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah [al-Quran]. Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka [dahulukan]) yang paling berilmu tentang al-Sunnah [untuk menjadi imam]. Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.[1]
Ads
Manakala dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Nabi S.A.W menyebut:
Individu yang paling mahir terhadap al-Qur’an juga bermaksud paling banyak menghafal al-Qur’an atau paling baik bacaan al-Qur’an. Dalil paling mahir itu bermaksud paling banyak menghafal adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar beliau berkata:
Maksudnya: Ketika mana golongan Muhajirun yang terawal sampai di ‘Ushbah – iaitu sebuah kawasan di Quba’ – sebelum ketibaan Rasulullah S.A.W, yang menjadi Imam kepada mereka pada ketika itu adalah Salim yang merupakan maula kepada Abu Huzaifah, dan beliau merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran dari kalangan mereka.[3]
Imam al-Nawawi dalam syarah beliau ke atas hadis Abu Mas’ud al-Ansari menambah satu lagi ciri yang menjadi keutamaan dalam menjadi imam solat iatu faktor kewarakan seseorang. Kata beliau:
ولنا وجه اختاره جماعة من أصحابنا : أن الأورع مقدم على الأفقه والأقرأ لأن مقصود الإمامة يحصل من الأورع أكثر من غيره
Ads
Maksudnya: Dan kami mempunyai suatu pendapat yang dipilih oleh sekumpulan dari kalangan ashab kami (ulama al-Syafi’iyyah) yang menyebut bahawa individu yang paling warak diutamakan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.[4]
Manakala antara imam yang dimakruhkan untuk diikuti ialah ahli bidaah dan orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat). Namun jika bertembung antara mana yang lebih afdhal; solat bersendirian atau berjemaah dengan ahli bidaah atau orang fasiq, maka di sini ada perbezaan pendapat. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal.[5]
Kesimpulannya, tidak sepatutnya seorang imam solat berjemaah itu adalah seorang perokok sekalipun hukum solat mengikutnya adalah sah. Berdasarkan fatwa Imam al-Ramli dalam hal berimamkan ahli bidaah atau orang fasiq, saya cenderung lebih afdhal solat berjemaah dengan imam perokok daripada solat berseorangan. Cuba usahakan untuk menasihatinya supaya berubah ke arah yang lebih baik. Wallahu a’lam.
Ramai yang beranggapan andai bernazar, ianya wajib ditunaikan. Namun bila menyentuh tentang nazar ada sesuatu yang harus kita fahami dari konteks apa nazar itu disebut. Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkongsi mengenai nazar poligami yang wajar diberi perhatian oleh golongan lelaki yang sering menyebutnya.
Nazar Poligami (Sesiapa yang malas baca semua, boleh skip ke point no. 7 dan seterusnya)
1) Apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ibadah yang sunat, maka wajib ke atasnya untuk melakukan ibadah itu, sebagai contoh: ‘Aku bernazar kerana Allah melakukan puasa Asyura pada tahun ini’. Hukum asal puasa pada hari Asyura ialah sunat, namun apabila dinazarkan maka ia menjadi wajib. Jika dia tidak melakukan puasa Asyura pada tahun itu, maka dia wajib membayar kaffarah kerana melanggar janji kepada Allah.
2) Namun begitu tidak semua amalan sah atau ‘valid’ untuk dijadikan amalan yang dinazarkan(Manzur). Oleh itu sesiapa yang ingin bernazar maka dia perlu mengenal pasti dahulu amalan manakah yang sesuai untuk dinazarkan. Imam Syahabuddin al-Ramli(Ramli Kabir) menjelaskan piawaian amalan yang sah untuk dijadikan amalan nazar di dalam karangan beliau “Fathul Rahman”(Syarah Matan Zubad):
وأما المنذور: فهو قربة غير واجبة وجوب عين، سواء أكانت عبادة مقصودة بأن وضعت للتقرب بها وعرف من الشارع الاهتمام بتكليف الخلق بإيقاعها عبادة؛ كصلاة وصوم وحج، واعتكاف وصدقة، أو فرض كفاية
Maksudnya: “Manakala ‘manzur’(amalan yang dinazarkan) adalah qurbah(ibadah) yang bukan fardu ain, samaada ibadah maqsudah iaitu dilakukan untuk mendekatkan diri (kepada Allah) dan ditakrifkan oleh Pensyariat(Allah Ta’ala) sebagai satu komitmen yang ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) kepada makhluk yang dikira sebagai ibadah, seperti solat, puasa, haji, iktikaf, sedekah atau fardu kifayah”.
3) Kenyataan Imam Ramli di atas menunjukkan bahawa amalan yang layak dinazarkan hanya tertakluk kepada ibadah sahaja yang bukan ketogari fardu ain seperti solat 5 waktu dan puasa Ramadan. Selain dari ibadah khusus seperti solat dan puasa sunat, apa sahaja amalan yang dipuji oleh syarak, sah dan wajib diamalkan sebagai nazar, perkara ini disebut dengan jelas oleh Imam Ramli dalam rujukan yang sama:
وإنما هي أعمال وأخلاق مستحسنة رغب الشارع فيها؛ لعظم فائدتها، وقد يبتغي بها وجه الله تعالى فيثاب عليها؛ كعيادة المريض، وتطييب الكعبة وكسوتها، وتشميت العاطس، وزيارة القادم والقبور، وإفشاء السلام على المسلمين، وتشييع الجنائز.
Maksudnya: “Ia(qurbah) hanyalah amalan-amalan dan akhlak yang baik yang mana ia digalakkan oleh Pensyariat(Allah) untuk melakukannya kerana faedahnya yang sangat besar. Adakalanya ia (dilakukan) demi mendekatkan diri pada Allah maka ia diberi ganjaran melalui amalan-amalan itu seperti menziarahi orang sakit, mewangikan kaabah, meletakkan kiswah pada kaabah, mendoakan orang yang bersin, menziarahi orang yang pulang dari musafir, menziarahi kubur, memberi salam pada orang-orang Islam dan mengiringi jenazah”.
4) Perbuatan yang tidak dikira sah untuk diamalkan sebagai nazar adalah perkara yang melibatkan perbuatan maksiat dan perbuatan yang diharuskan/dibolehkan oleh syarak. Fakta ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam al-Ramli:
وخرج بـ (القربة): المعصية، فلا يصح نذرها، والمباح كأكل ونوم، فلا يصح نذره؛ لخبر أبي داوود: "لا نذر إلا فيما ابتغي به وجه الله"، فلو نذر ذلك وخالف .. لم تلزمه كفارة.
Maksudnya: “Perkara yang terkeluar dari ketogari qurbah ialah maksiat, maka tidak sah nazar untuk maksiat. Begitu juga perkara yang harus hukumnya seperti makan dan tidur, maka tidak sah nazarnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, “Tiada nazar melainkan pada perkara yang mendekatkan diri pada Allah”. Jika seseorang itu bernazar (untuk perkara yang harus hukumnya) lalu dia tidak menunaikan nazar itu, maka tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya”.
5) Jelas di sini bahawa hukum bernazar dengan amalan yang harus dilakukan menurut syarak tidak sah nazarnya menurut mazhab Syafi’ie, malah ia adalah perkara yang sia-sia dan pada zahirnya tiada ganjaran yang dikurniakan oleh Allah. Malah jika seseorang tidak menunaikan nazar tersebut maka dia tidak dikira melanggar janji pada Allah dan tidak diwajibkan kaffarah sebagai ganti. Perkara ini dibuktikan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Ketika Nabi ﷺ berkhutbah, pada masa yang sama ada seorang lelaki yang berdiri di tengah matahari terik, lalu Baginda bertanya tentang lelaki itu. Lalu para sahabat menjawab, ‘Dia Abu Israel bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh (dari kepanasan matahari), tidak bercakap dan berpuasa’. Lalu Baginda bersabda, “Suruh dia bercakap, berteduh dan duduk. Hendaklah dia menyempurnakan puasanya”. (HR Abu Daud) 6) Jelas yang dinyatakan oleh hadis di atas, Rasulullah ﷺ tidak membenarkan Abu Israel RA meneruskan amalan nazar yang bukan dalam ketogari ibadah. Namun Baginda memerintah agar beliau menuruskan nazar puasanya kerana ia termasuk dalam ibadah.
7) Bagi menjawab soalan di atas, hukum asal perkahwinan adalah sunat dan ia termasuk dalam kategori qurbah (ibadah) yang dipuji dan digalakkan oleh syariat, bahkan ia adalah sunnah yang amat dituntut Rasulullah ﷺ. Oleh itu sesiapa yang telah bernazar untuk berkahwin sama ada poligami atau monogami, maka dia wajib menunaikannya lebih² lagi bagi mereka yang mampu.
8)) Hukum meninggalkan nazar bagi mereka yang mampu melaksanakan adalah berdosa dan disifatkan sebagai orang yang bersifat munafik kerana mengingkari janjinya kepada Allah. Selagi dia mampu untuk melaksanakan nazar itu dia tidak boleh berpindah kepada kaffarah.
9) Melainkan jika seseorang itu tidak mampu atau terhalang untuk melaksanakan nazar oleh keuzuran syar’ie, maka dia wajib menunaikan “Kaffarah Yamin”, iaitu memilih salah 1 dari 3 cara, a) Membebaskan seorang hamba mukmin b) Memberi makan 10 orang fakir miskin c) Memberi pakaian lengkap kepada 10 orang fakir miskin d) Jika tiada ketiga² di atas, maka puasa 3 hari.
10) Satu perkara penting yang ditekankan di sini bahawa sesuatu nazar tidak sah dan tidak wajib dilaksanakan jika sekadar berniat di hati, iaitu niat nazar itu tidak dilafazkan dengan lidah. Maksudnya jika bernazar untuk poligami hanya di dalam hati dan tidak dilafazkan di mulut, maka tidak termetrai nazar itu dan tidak wajib dilaksanakan. Namun jika sebaliknya ia menjadi kewajipan yang tidak boleh diabaikan.
11) Dinasihat agar kita semua perlu berfikir panjang sebelum berniat dan melafazkan sesuatu nazar, apakah implikasinya di kemudian hari? agar tidak menyesal di suatu hari nanti, jangan sampai periuk dan belanga terbang di sana sini. Wallahu A’lam Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil @ Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ada ketika kerana kita kurang membaca dan hanya mencedok sebahagian riwayat maka banyak salah faham sering terjadi dalam rumahtangga. Ditambah banyaknya hadith-hadith palsu yang disebarkan dan kerana kita juga kurang berpengetahuan maka kita mempercayai hadith berkenaan benar seperti mempercayai isteri yang membenarkan suaminya berpoligami maka peroleh payung emas di syurga sedangkan dalam al Quran atau hadith tidak menyebutnya langsung hal ini dan ia sekadar direka-reka.
Begitu juga soal ketaatan isteri kepada suami yang mana pernah kita mendengar cerita rumahtangga bahawa selagi suami tidak mengizinkan isteri balik menziarahi ahli keluarganya terutama yang terlantar sakit, maka isteri tidak boleh keluar rumah menjengah keluarganya. Berkata Shaikh Islam Al-Nawawi: “Adapun larangan suami kepada isterinya untuk menziarahi keluarganya adalah tidak diharuskan dan itu bukanlah termasuk dalam hak suami, dan dia menanggung dosa daripada perbuatan tersebut kerana telah menyebabkan terputusnya silaturrahim Baca pandangan Mufti mengenai persoalan ini.
Assalamualaikum W.B.T Dr. Sejak berkahwin suami saya melarang saya untuk bertemu dengan keluarga saya. Saya tersangat rindu pada keluarga saya. Adakah saya wajib mentaati suami saya dan adakah saya berdosa sekiranya saya bertemu dengan keluarga saya secara sembunyi?
Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: سَأَلْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم: أَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الْمَرْأَةِ ؟ قَالَ: ” زَوْجُهَا “، قُلْتُ: فَأَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الرَّجُلِ؟ قَالَ:” أُمُّه
Maksudnya:Daripada ‘Aisyah R.A bahawasanya aku bertanya kepada Nabi S.A.W “Siapakah manusia yang paling berhak atas seorang isteri?” Beliau bersabda, “Suaminya.” Aku bertanya lagi, “Lalu siapakah manusia yang paling berhak atas seorang lelaki?” Beliau bersabda, “Ibunya.” Sunan Al-Kubra (9099)
Ulama’ bersepakat bahawa di antara perkara yang menjadi kewajipan isteri untuk mentaati suaminya ialah melayani suaminya dan sentiasa tinggal di rumah suaminya. Pada asalnya isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya iaitu bait al-zaujiyah (rumah kehidupan suami dan isteri) tanpa sebab yang syar’ie melainkan dengan keizinan suaminya. Hal ini sebagaimana hadis Nabi S.A.W yang menyebutkan:
Maksudnya: “Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam maka izinkanlah mereka”. (Riwayat al-Bukhari)
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan hadis ini menjadi dalil bahawa wanita tidak boleh keluar dari rumah suaminya (sekalipun ke masjid) tanpa keizinan daripada suaminya. (Rujuk: Fath al-Bari, 2/347).
Justeru, isteri hendaklah memohon keizinan suaminya untuk keluar daripada rumah suaminya sekalipun dengan tujuan untuk menziarahi kedua ibubapanya. Hal ini sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Nabi S.A.W dalam peristiwa hadis al-ifk (peristiwa fitnah kepada ‘Aisyah) iaitu ketika ‘Aisyah R.anha meminta izin kepada baginda untuk pulang ke rumah ibubapanya.‘Aisyah berkata kepada Nabi S.A.W:
أَتَأْذَنُ لِي أَنْ آتِيَ أَبَوَيَّ؟ قَالَتْ: وَأُرِيدُ أَنْ أَسْتَيْقِنَ الخَبَرَ مِنْ قِبَلِهِمَا، قَالَتْ: فَأَذِنَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Maksudnya:“Adakah engkau mengizinkanku untuk mendatangi kedua ibubapaku? Lalu berkata ‘Aisyah ketika meriwayatkan peristiwa itu : Hal ini disebabkan aku ingin mendapatkan kepastian berita tersebut daripada kedua mereka”. Maka Rasulullah S.A.W mengizinkan daku. Riwayat al-Bukhari (4141) dan Muslim (2770)
HUKUM SUAMI MELARANG ISTERI BERJUMPA DENGAN KELUARGANYA
Para ulama’ Hanafi dan Maliki menyatakan larangan mengenai suami yang menghalang isterinya untuk menziarahi ahli keluarganya. (Rujuk: Al-Bahr al-Raiq, 4/212; Al-Taj wa al-Iklil,5/549). Manakala ulama’ mazhab Syafi’e dan Hanbali menyatakan harus bagi suami untuk melarang isterinya untuk menziarahi keluarganya tetapi yang lebih baik adalah tidak menghalangnya. (Rujuk: Asna al-Matalib, 3/239; Al-Insaf, 8/362).
Disebut dalam kitab Al-Fiqh al-Islami: “Adapun makruh bagi suami – sebagaimana pendapat dalam mazhab syafi’i- melarang isterinya untuk menziarahi ibu bapanya sekiranya mereka dalam keadaan sakit yang tenat dan menghadiri majis pengebumian kedua ibu bapanya ketika mereka meninggal dunia, kerana larangan tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan silaturrahim”. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/324)
Berkata Shaikh Mahmoud Al-Shalabi: “Adalah tidak diharuskan syarak seorang suami yang menghalang isterinya untuk menziarahi keluarganya atau menghalang keluarganya untuk menziarahi isterinya kerana perbuatan ini adalah haram dan boleh menyebabkan terjejasnya hubungan kekeluargaan dan terputusnya silaturrahim”. Hal ini kerana perbuatan memutuskan silaturrahim sangat dimurkai oleh Allah sebagaimana firmanNya:
Maksudnya: “(Sekiranya kamu tidak mematuhi perintah tuhan) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan –jika kamu dapat memegang kekuasaan- kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah, ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya”. (Surah Muhammad: 22-23)
Suami menanggung dosa kerana menyebabkan terputus silaturahim
Berkata Shaikh Islam Al-Nawawi: “Adapun larangan suami kepada isterinya untuk menziarahi keluarganya adalah tidak diharuskan dan itu bukanlah termasuk dalam hak suami, dan dia menanggung dosa daripada perbuatan tersebut kerana telah menyebabkan terputusnya silaturrahim”.
Berkata Dr Yusuf al-Qardhawi: “Tidak dibolehkan bagi seorang suami yang Muslim melarang isterinya untuk berjumpa dengan ibu bapa isterinya yang Nasrani, hal ini kerana Islam menyuruh manusia untuk berlaku ihsan kepada kedua orang tuanya”. Sebagaimana firman Allah S.W.T:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. (Surah Al-Isra’: 23)
Hal ini jelas menunjukkan sekiranya ibu bapa Nasrani perlu dijaga haknya maka adalah utama bagi seseorang untuk berlaku ihsan kepada ibu bapanya yang Muslim. Demikian juga antara hak yang paling besar dan utama bagi seseorang manusia selepas haknya kepada Allah ialah hak untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.
Islam jugak menganggap al-musaharah (persemendaan) ialah salah satu ikatan yang mengikat hubungan manusia dengan manusia selain daripada ikatan nasab sebagaimana firman Allah S.W.T:
Maksudnya:“Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikanNya mempunyai titisan nasab (baka) dan pertalian keluarga (persemendaan)”. (Surah Al-Furqan: 54)
Justeru tidak diharuskan bagi para suami menindakkan ikatan ini, dan ke atas para suami untuk berbuat baik kepada ibu dan ayah mertuanya serta kaum kerabat isterinya. (Rujuk: www.alqardhawi.net)
Oleh itu jelaslah bahawa hukum suami melarang isterinya untuk menziarahi ahli keluarganyatanpa sebab yang munasabah di sisi syarak adalah haram. Namun, sekiranya suami menghalang isterinya untuk menziarahi kaum kerabatnya kerana bertujuan untuk mengelakkan kemudaratan ke atas isteri atau perkahwinan mereka maka hal tersebut diharuskan. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 3/432; Kasysyaf al-Qina’, 3/117).
ADAKAH WAJIB ISTERI MENTAATI PERINTAH TERSEBUT?
Para ulama’ menyatakan wajib bagi isteri untuk mentaati perintah suaminya selagi mana perintah tersebut tidak bercanggah dengan syarak. Begitu juga ketika mana suami menghalangnya untuk menziarahi kedua ibu bapanya kerana kedudukan suami lebih tinggi daripada kedua ibu bapa sebagaimana hadis tentang ‘Aisyah yang telah disebutkan sebelum ini.
Namun begitu, sekiranya larangan tersebut boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus, atau ibu bapa yang uzur dan memerlukan khidmat anak, maka sesetengah ulama’ menyatakan ia diharuskan bagi isteri untuk keluar sekalipun tanpa keizinan suaminya.
Disebut di dalam kitab Al-Bahr al-Raiq: “Jika bapa isteri sedang sakit atau seumpamanya, dan dia berhajat kepada khidmatnya (anak) sedangkan suaminya melarang untuk menziarahinya, maka hendaklah isteri melanggar larangannya”. Menurut pendapat yang sahih menyatakan ialah isteri boleh keluar menziarahi kedua ibubapanya setiap Jumaat iaitu (seminggu sekali) samada dengan keiizinan suaminya ataupun tidak. Dia juga boleh menziarahi mahramnya setiap tahun sekali samada dengan izin suami ataupun tidak. Adapun keluar menziarahi keluarga melebihi dari yang demikian itu maka hendaklah mendapat keizinan”. (Rujuk: Al-Bahr al-Raiq, 4/212).
Berkata Shaikh Ali Jum’ah: “Tidak dibolehkan ke atas suami untuk melarang isterinya melakukan kewajipan yang diwajibkan ke atasnya (isteri) iaitu berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, sebagaimana tidak diharuskan untuk melarangnya (isteri) daripada melakukan kewajipan-kewajipan lain seperti solat dan puasa, dan tidak diwajibkan ke atas isteri untuk mentaati perintah suaminya itu, kerana hal tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan silaturrahim dan perlakuan tidak baik kepada kedua ibu bapanya samada secara langsung atau tidak langsung, kerana ketaatan kepada suami hanya berlaku dalam perkara yang makruf”. (Rujuk: www.masrawy.com)
Berkata Dr Abd al-Karim al-Zaydan: “Jika suami melarang isteri tanpa alasan yang diterima syarak sedangkan adanya keperluan untuk menziarahi, maka boleh bagi isteri untuk tidak mentaatinya dalam larangan tersebut”. (Rujuk: Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 7/295).
Kesimpulan
Setelah meneliti perbahasan di atas dapat kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Diharuskan bagi isteri untuk keluar menziarahi keluarganya sekalipun tanpa izin suaminya sekiranya ada hajat yang penting seperti menziarahi ibu bapanya yang sakit atau memberi khidmat kepada mereka sekiranya mereka sangat memerlukan dengan tujuan untuk menyelesaikan hajatnya sahaja. Adapun pada keadaan yang lain maka ia tidak diharuskan kerana kewajipan isteri kepada suami adalah lebih besar daripada kedua orang tuanya.
Diharamkan bagi para suami melarang isteri mereka untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab-sebab yang munasabah di sisi syarak kerana hal tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan. Adapun sekiranya larangan tersebut adalah kerana khuatir akan mudarat ke atas isteri atau perkahwinan mereka maka hal tersebut diharuskan. Wallahu a’lam.
Kami juga menasihatkan para suami supaya bergaul dengan isterinya dengan cara yang makruf (baik) sebagaimana firman Allah S.W.T:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْروفِ
Maksudnya:“Dan bergaullah dengan mereka (yakni isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang makruf yakni baik”. (Surah Al-Nisa’:19)
Larangan kepada isteri untuk menziarahi keluarganya apatah lagi ibu bapa yang telah membesarkannya bukanlah satu bentuk pergaulan dengan cara yang makruf kerana hal itu boleh menyakiti pihak isteri dan kaum keluarganya. Para suami seharusnya membantu para isteri untuk menyambung silaturrahim dengan kaum kerabatnya kerana hal tersebut boleh memasukkan kegembiraan ke dalam hati isteri. Hal ini juga adalah kerana menyambung tali silaturrahim adalah sebesar-besar ketaatan kepada Allah S.W.T.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen. Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Jika ada antara kita yang bujang, tidak bertemu jodoh dan tidak berkahwin semasa hayat di dunia, InsyaAllah di syurga nanti, Allah akan anugerahkan kita pasangan masing-masing.
Semasa itu, tidak akan ada perasaan tidak mahu berkahwin. Sesungguhnya syurga adalah tempat paling indah yang tak dapat digambarkan kehebatannya.
Ingin bertemu pasangan anda yang tampan atau cantik kelak? Kita baca ulasan ustaz Azhar Idrus berkenaan hal ini.
SOALAN:
Berkenaan kenyataan ustaz di dalam syurga tidak ada hidup membujang saya mohon ustaz sebutkan dalilnya untuk menambahkan pengetahuan saya.
Terima kasih.
JAWAPAN:
Di dalam syurga disediakan segala perkara yang disuka oleh hati manusia dan dicita-citakan di dalam hidup dunia seperti tempat tinggal yang mewah, kenderaan yang bagus, makanan yang lazat dan termasuk juga pasangan untuk bergembira.
Maka dari kerana itulah setiap ahli syurga akan mempunyai pasangan iaitu bersuami isteri. Walaupun ketika di dunia dia tidak berkahwin sehingga meninggal dunia.
Ertinya: “Dan di dalam syurga itu segala yang diinginkan oleh nafsu dan perkara yang cantik dipandang segala mata dan kamu sekelian di dalam syurga itu nanti berkekalan.”(Az-Zukhruf : 71)
Di antara perkara yang sangat diinginkan oleh nafsu itu ialah mempunyai pasangan maka siapa yang mati dalam keadaan bujang akan mempunyai suami atau isteri di dalam syurga.
Ulama telah sepakat atas sesungguhnya di dalam syurga nanti tidak akan ada orang yang bujang tidak mempunyai pasangan sekalipun mungkin di dalam dunia ada orang yang tidak mahu berkahwin namun di dalam syurga tidak akan ada lagi perasaan tidak ingin berkahwin tersebut.
Maka jika di dunia lelaki itu mati dalam keadaan bujang nanti dia akan beristeri di dalam syurga dan jika perempuan mati dalam keadaan bujang nanti dia akan bersuami di dalam syurga.
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ أَوَّلَ زُمْرَةٍ تَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ وَالَّتِى تَلِيهَا عَلَى أَضْوَإِ كَوْكَبٍ دُرِّىٍّ فِى السَّمَاءِ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ زَوْجَتَانِ اثْنَتَانِ يُرَى مُخُّ سُوقِهِمَا مِنْ وَرَاءِ اللَّحْمِ وَمَا فِى الْجَنَّةِ أَعْزَبُ
Ertinya : “Sungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga dari mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat dari belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.”
Hadis di atas telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dan ada juga dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad dan Ibnu Hibban di dalam Sahih Ibnu Hibban dan At-Tabarani di dalam Mu’jam Al-Awsath.
Download movie antara perkara yang biasa dilakukan oleh kebanyakan kita. Macam-macaam cara dilakukan asal dapat menonton movie terbaru secara percuma tanpa mempersoalkan tindakan yang...