Ramai mengejar pahala solat berjemaah. Dalam satu hadis dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Jika semua tahu besarnya pahala orang melaungkan azan dan berada barisan pertama ketika menunaikan solat berjemaah, pasti semua berebut-rebut melakukannya.
Tapi bagaimanakah jika imam solat itu adalah seorang perokok? Bolehkah solat di belakangnya dan sahkan solat kerana imam melakukan perkara yang haram dalam Islam. Atau boleh jadi suami yang juga perokok tegar menjadi imam ketika solat bersama isteri dan anak-anya.
Persoalan ini dirungkai dalam satu perkongsian Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dari e-booknya, Maktabah Al Bakri, diperincikan dengan jelas hukum berimamkan yang perokok.
Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, Muzakarah telah memutuskan merokok itu adalahharam mengikut pandangan Islam. Antara kriteria imam adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Abu Mas’ud al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah [al-Quran]. Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka [dahulukan]) yang paling berilmu tentang al-Sunnah [untuk menjadi imam]. Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.[1]
IKLAN
Manakala dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Nabi S.A.W menyebut:
Individu yang paling mahir terhadap al-Qur’an juga bermaksud paling banyak menghafal al-Qur’an atau paling baik bacaan al-Qur’an. Dalil paling mahir itu bermaksud paling banyak menghafal adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar beliau berkata:
Maksudnya: Ketika mana golongan Muhajirun yang terawal sampai di ‘Ushbah – iaitu sebuah kawasan di Quba’ – sebelum ketibaan Rasulullah S.A.W, yang menjadi Imam kepada mereka pada ketika itu adalah Salim yang merupakan maula kepada Abu Huzaifah, dan beliau merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran dari kalangan mereka.[3]
Imam al-Nawawi dalam syarah beliau ke atas hadis Abu Mas’ud al-Ansari menambah satu lagi ciri yang menjadi keutamaan dalam menjadi imam solat iatu faktor kewarakan seseorang. Kata beliau:
ولنا وجه اختاره جماعة من أصحابنا : أن الأورع مقدم على الأفقه والأقرأ لأن مقصود الإمامة يحصل من الأورع أكثر من غيره
IKLAN
Maksudnya: Dan kami mempunyai suatu pendapat yang dipilih oleh sekumpulan dari kalangan ashab kami (ulama al-Syafi’iyyah) yang menyebut bahawa individu yang paling warak diutamakan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.[4]
Manakala antara imam yang dimakruhkan untuk diikuti ialah ahli bidaah dan orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat). Namun jika bertembung antara mana yang lebih afdhal; solat bersendirian atau berjemaah dengan ahli bidaah atau orang fasiq, maka di sini ada perbezaan pendapat. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal.[5]
Kesimpulannya, tidak sepatutnya seorang imam solat berjemaah itu adalah seorang perokok sekalipun hukum solat mengikutnya adalah sah. Berdasarkan fatwa Imam al-Ramli dalam hal berimamkan ahli bidaah atau orang fasiq, saya cenderung lebih afdhal solat berjemaah dengan imam perokok daripada solat berseorangan. Cuba usahakan untuk menasihatinya supaya berubah ke arah yang lebih baik. Wallahu a’lam.
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
Jarak antara kedua-duanya (imam dan makmum) tidak melebihi 300 hasta.
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraanlive streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Setelah berkahwin, salah satu tanggungjawab besar seorang suami ialah memberi nafkah atau belanja bulanan mencukupi untuk isteri. ‘Nafkah’ asalnya adalah perkataan arab memberi maksud sesuatu yang dibelanjakan daripada mata wang atau seumpamanya bagi melengkapkan kehidupan seharian.
Menurut Ibn Qudamah, nafkah ialah sesuatu yang dibelanjakan untuk melengkapkan apa sahaja yang menjadi keperluan asas kehidupan isteri untuk hidup seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal.
Suami wajib memenuhi keperluan isterinya seperti makanan, minuman dan juga ubat-ubatan walaupun isterinya seorang yang kaya, mempunyai duit sendiri dan mampu menanggung dirinya sendiri.
Namun ada dalam keadaan tertentu, suami berasa tidak selesa; apabila wang belanja (nafkah bulanan) yang diberikan kepada isteri telah digunakan oleh isteri untuk diberikan secara tetap kepada mentua (ibu kepada isteri).
Timbul situasi suami tidak reda dengan keadaan itu, kerana wang belanja yang diberikan adalah untuk kegunaan isteri dan dalam masa sama, mentua masih ada anak-anak lelaki yang bekerja.
Bagi menjelaskan dilema ini, seperkara penting yang perlu diingat ialah seorang lelaki yang telah menikah wajib menafkahi isterinya seterusnya anak-anaknya.
Bapa dan ibu mentuanya tidak termasuk tanggungan wajib. Memahami ini, maka tidak dibenarkan seorang isteri mengambil harta suaminya untuk diberikan kepada orang tuanya kecuali dengan izin serta keredaan suami.
Anak-anak kandung wajib menafkahi mentua
Sekiranya seorang isteri memiliki harta peribadi (bukan harta suami) dan dia memiliki harta yang lebih daripada keperluannya, maka wajib baginya untuk menafkahi kedua orang tuanya yang fakir.
Menafkahi kedua orang tua adalah kewajiban anak kandung, baik lelaki ataupun perempuan. Dan hal itu termasuk bentuk bakti kepada keduanya.
Ibnul Mundzir (318 H) berkata:
أجمعأهلالعلمعلىأننفقةالوالدينالفقيريناللذينلاكسبلهما،ولامال،واجبةفيمالالولد… “Telah sepakat ahli ilmu bahawa nafkah kedua orang tua yang fakir yang tidak memiliki penghasilan dan tidak memiliki harta adalah sebuah kewajiban pada harta seorang anak. (Al-Mughni: 8/212)
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah Radhiyallahu anha, Nabi ﷺbersabda:
إنَّأَطْيَبَمَاأَكَلَالرَّجُلُمِنْكَسْبِهِ،وَإِنَّوَلَدَهُمِنْكَسْبِهِ.»رواهأبوداود. “Sungguh sebaik-baik makanan yang dimakan oleh seseorang adalah dari hasil usahanya dan sesungguhnya anak dia adalah bahagian dari hasil usahanya.” (HR. Abu Dawud)
Hadis ini menerangkan bahawa orang tua memiliki hak atas harta anaknya. Maka boleh bagi keduanya untuk mengambil darinya. Tentu dengan beberapa syarat seperti;
(1) Mengambil sebatas yang tidak bermudarat bagi anaknya, (2) Tidak mengambil harta yang berkaitan dengan keperluan anak, (3) Tidak mengambil untuk diberikan kepada anaknya yang lain. Dan sebahagian ulama menjelaskan hal tersebut hanya diperbolehkan dalam keadaan ketika orang tua memerlukan saja.
Seorang anak kandung; lelaki atau perempuan wajib untuk menafkahi kedua orang tuanya apabila dalam keadaan berikut;
Pertama: Orang tua yang fakir dan tidak ada pekerjaan (sumber pendapatan)
Kedua: Keperluan anak adalah mencukupi dan memiliki harta yang lebih daripada keperluannya.
Akan tetapi telah terjadi perselisihan dikalangan para ulama siapakah yang wajib menafkahi atau memberi belanja bulanan kedua orang tua apabila memiliki anak laki-laki dan perempuan.
Ibnu Qudamah (682 H) dalam Al-Mugni berkata:
وإناجتمعابنوبنت،فالنفقةبينهماأثلاثا،كالميراث. وقالأبوحنيفة: النفقةعليهماسواء؛وقالالشافعي: النفقةعلىالابن؛لأنهالعصبة. “Jika berkumpul anak laki-laki dan perempuan, maka nafkah antara keduanya dibahagi sepertiga bahagian seperti dalam warisan. Dan berkata Abu Hanifah: Nafkah atas keduanya sama. Dan berkata Syafi’i: Nafkah itu atas anak lelaki, kerana ia adalah Ashabah (Ahli waris yang bahagiannya tidak ditentukan).” (Al-Mughni: 8/219)
Maksud dari “antara keduanya dibahagi sepertiga bahagian seperti dalam warisan” iaitu kerana dalam warisan bahagian satu orang anak lelaki sama dengan bagian dua anak perempuan.
Misal orang tua yang memiliki seorang anak laki-laki dan seorang anak perempuan maka anak lelaki wajib memberikan nafkah dua pertiga bahagian dan anak perempuan sepertiga bahagian.
Apabila memiliki seorang anak lelaki dan dua anak perempuan maka nafkah dibahagi empat bahagian dua bahagian atas anak lelaki dan dua bahagian atas dua anak perempuannya. Dan begitu seterusnya.
Ini adalah yang wajib, akan tetapi sekiranya salah satu daripada mereka telah mencukupi nafkah orang tuanya maka gugur kewajiban nafkah atas saudara yang lain. Dan baginya pahala di sisi Allah Ta’ala. Atau semua sepakat dengan jumlah tertentu atas masing-masing mereka.
Acap kali kita mendengar suami akan dipertanggungjawabkan di akhirat atas dosa-dosa isterinya jika isteri melakukan dosa tidak menutup aurat dengan sempurna. Ia menjadi bualan pada masyarakat yang beranggapan suami akan memikul semua dosa isteri yang ingkar walau sudah ditegur. Memetik perkongsian dari page Mufti Wilayah Persekutuan, ada dibicarakan tentang satu pertanyaan pembaca mengenaiadalah sahih suami akan menanggung segala dosa isterinya? Dan ini jawapan yang selama ini ramai yang salah faham mengenai bab tanggung dosa ini.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Di dalam al-Quran banyak ayat yang memerintahkan agar setiap daripada manusia itu menjaga diri mereka dan juga orang-orang yang berada di sekitar mereka daripada melakukan maksiat atau dosa. Antara firman Allah SWT yang menceritakan perkara tersebut adalah:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”(al Tahrim:6)
Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 476/14]
Berdasarkan soalan di atas, secara asalnya di dalam syara’ setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”( al-An’am:164)
Imam al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT: [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 383-384/3]
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”( Fatir:18)
Melihat kepada ayat dan kenyataan daripada Imam Ibn Kathir di atas, jelas menunjukkan di dalam syara’ bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya.
Adapun, suami itu atau sesiapa sahaja akan berdosa bila mana dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya seperti menasihati isteri dalam perkara yang ma’ruf dan menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadith iaitu:
Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” [Riwayat Muslim (1829)]
Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan pemimpin di dalam hadith ini sebagaimana yang dikatakan oleh ulama’ adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaikkan setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada dibawah penjagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/12]
Selain itu juga, di dalam al-Quran terdapat firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa lelaki merupakan pemimpin buat wanita. Antaranya:
Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”( al-Nisa’:34)
Kata Syeikh al-Sa’di, maksud lelaki adalah pemimpin di dalam ayat ini adalah kaum lelaki wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak Allah seperti menjaga perkara-perkara yang fardhu dan mengahalang mereka daripada melakukan perkara maksiat. Ayat ini menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki (suami) terhadap wanita (isteri) dalam memastikan mereka menjalankannya hak-hak tersebut. [Lihat: Taysir al-Karim, 177]
Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Adapun, jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur (dinasihati) atau si isteri melakukan maksiat di belakang suami (tanpa pengetahuan suami) maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. Ini kerana, tanggungjawab adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak jika si suami cuai dalam mendirikan hal tersebut. Untuk itu, kami tegaskan bahawa kenyataan bahawa suami akan menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas.
Penutup
Kesimpulannya, setiap insan (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah SWT apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita isteri-isteri yang solehah dan menjadikan keluarga yang terbina itu penuh dengan sakinah (ketenangan), rahmah (rahmat) dan mawaddah (kasih sayang). Amin. Wallahua’lam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Pada hari Jumaat ini marilah kita melakukan sunnah yang paling mudah tapi ramai yang tidak melakukannya iaitu memotong kuku.
Indahnya agama Islam ini kerana setiap...