Sahkah Wuduk Jika Lap Anggota Badan Menggunakan Kain Lembap?

Share

Isi Kandungan

Toggle

Gunakan kain lembap untuk berwuduk? Dalam Islam, kita diberi dua cara untuk bersuci sebelum solat iaitu mengambil air wuduk atau bertayamum. Biasanya jika tiada masalah bekalan air bersih atau mutlak, kita menggunakan air untuk wuduk. Manakala jika sebaliknya berlaku, kita boleh sahaja bertayamum; menggunakan debu bersih.

Namun ada juga yang buat keputusan sendiri ambil wuduk dengan mengelapkan anggota wuduk dengan kain lembap, mungkin untuk jimat penggunaan air tatkala terputus bekalan air. Apakah sah wuduk begini? Kita baca penjelasan ustaz Azhar Idrus akan hal penting ini.

Artikel berkaitan: Basuh Anggota Wuduk Lebih Tiga Kali, Apakah Sah Wuduknya?

Artikel berkaitan: Subhanallah, Wuduk Jadikan Wajah Kita Bercahaya  Pintu-Pintu Syurga Terbuka

Soalan :

Saya ada kemusykilan pasal berwuduk adakah sah kalau kita mengelap anggota wuduk dengan kain lembap atau basah bukan dibasuh seperti biasa?

Jawapan :

Di antara syarat sah mengambil wuduk ialah membasuh iaitu air yang kena pada anggota wuduk itu bergerak di atas anggota badan wajib wuduk.

Oleh itu jika hanya disapukan kain basah ke atas anggota dan lekat air dari kain kepada anggota tetapi air tidak berjalan maka wuduk seperti itu tidak sah kerana tidak dinamakan membasuh.

Berkata Imam Nawawi :

يشترط في غسل الأعضاء جريان الماء عليها فإن أمسه الماء ولم يجر لم تصح طهارته اتفق عليه الأصحاب ونص عليهالشافعي رحمه الله في الأم في باب قدر الماء الذي يتوضأ به

“Disyaratkan pada membasuh segala anggota wuduk itu ialah bergerak air atas anggota. Maka jika dia hanya menyapu akan air dan air tidak bergerak nescaya tidak sah wuduknya dan telah sepakat atasnya oleh Ashab dan telah menaskan oleh Imam Syafie pada Kitab Al-Uum pada bab kadar air yang diambil wuduk dengannya.” (Kitab Al-Majmu’)

Berkata Syeikh Sayyed Abu Bakar Ad-Dimyati :
“Dan syarat sah wuduk yang kedua ialah bergerak air atas anggota wuduk yang dibasuh. Maka tidak sah seorang itu hanya menyapu air tanpa bergerak air itu kerana sungguhnya ia tidak dinamakan membasuh.” (Kitab I’anah At-Talibin)

Dan tersebut pada Kitab Raudhah At-Talibin :

ويشترط في غسل الأعضاء : جريان الماء على العضو بلا خلاف

“Dan disyaratkan pada membasuh sekelian anggota wuduk itu yaitu berjalan air atas anggota tanpa khilaf.”

Dan berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :

ويشترط في غسل الأعضاء جريان الماء على العضو المغسول بلا خلاف والله تعالى أعلم

“Dan disyaratkan pada membasuh sekelian anggota wuduk itu hendaklah berjalan air atas anggota yang dibasuh itu dengan ketiadaan khilaf.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Kesimpulannya tidak sah berwuduk dengan cara mengelap anggota dengan tuala basah yang airnya hanya kena kepada anggota dan tidak berjalan air itu.

Jika mengelap dengan tuala yang basah dan air yang kena pada anggota wuduk itu bergerak ia kerana banyaknya air, maka sah wuduk seperti itu kerana masih dinamakan membasuh.

Wallahua’lam

Published by
Emma Masri