Ketika ini manusia diduga dengan banyak perkara yang melekakan. Lihat saja selesai kerja atau tugas kita ralit melayan ‘handphone’. Malah ada yang usai solat terus mencapai gajet ini untuk melihat kandungan yang melekakan.
Kita duduk bersahaja tanpa membuat apa-apa sedangkan masa yang ada di dunia sangat berharga dan Allah memerintahkan kita agar mengisi masa kosong kita dengan amal soleh.
Perkara ini dijelaskan oleh Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia dalam satu perkongsian beliau.
Ketika menghuraikan dua ayat terakhir dari Surah al-Sharh, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa Allah memerintahkan kita agar mengisi masa kosong kita dengan amal soleh.
Firman Allah:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ . وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain) [7] Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). [8] – Surah al-Sharh
Secara umumnya ayat ini membimbing kita agar melakukan amalan ketaatan setelah kita selesai melakukan sesuatu kebaikan. Sebagai contoh, setelah kita selesai menggandakan ibadah, maka jangan pula dibiarkan masa lapang kita menjadi kosong dari sebarang amalan. Malah kita digalakkan untuk meneruskannya dengan melakukan amal kebaikan yang lain pula.
Sheikh al-Tantawi menukilkan kata-kata Saidina Umar yang membenci melihat lelaki yang duduk bersahaja tanpa melakukan apa-apa amalan tidak kira amal untuk dunianya atau akhiratnya.
Kata Umar:
إنّى لَأَكْرَهُ لأَحَدِكُمْ أَنْ يَكُونَ خَالِياً، لاَ فِيْ عَمَلِ دُنْيَا وَلاَ دِيْن
Aku membenci salah seorang dari kamu yang duduk bersahaja (dalam masa kosongnya). Tidak melakukan amalan samada amal untuk dunianya atau agamanya. (Tafsir al-Wasit)
Bahkan, perbuatan menangguh-nangguh amalan juga adalah sesuatu yang tidak disukai oleh salafussoleh terdahulu. Al-Khatib al-Baghdadi pernah menulis satu bab mengenai Zamm al-Taswif (Celaan Terhadap istilah : “Nanti Aku Buat”).
Beliau menukilkan kata-kata al-Hasan yang menyatakan:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، إِيَّاكُمْ وَالتَّسْوِيفَ.. سَوْفَ أَفْعَلُ، سَوْفَ أَفْعَلُ
“Wahai anak muda, hendaklah kamu menjauhkan dirimu dari taswif. (Apakah itu taswif? Iaitu perkataan kamu yang menyatakan:) “Nanti aku buatlah” “Nanti aku buatlah”.
Oleh yang demikian, isi masa lapang dengan perkara yang berfaedah dan jauhi sikap suka bertangguh-tangguh.
Sumber: Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi
Sertai Malaysia #QuranHour 2024, 30 Ogos Ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya