Sejak dulu kita diajarkan oleh orang tua agar tidak memotong kuku dan rambut ketika dalam haid. Ternyata ianya tidak tepat dan ikuti penjelasan Mufti mengenainya. Apakah hukum memotong kuku atau rambut ketika haid dan nifas?
Jawapan:-
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Ads
Dalam isu ini, sememangnya ramai ulama yang terkemudian dalam mazhab Syafie menyebut dalam kitab-kitab mereka pendapat Imam al-Ghazali tentang larangan memotong kuku, rambut, atau mengeluarkan darah atau bahagian daripada tubuh, dalam keadaan berjunub. Berkata Imam al-Ghazzali dalam IhyaUlumiddin (2/51):
“Dan tidak sepatutnya seseorang itu mencukur rambutnya, memotong kukunya, mencukur bulu ari-arinya, atau mengeluarkan darahnya, atau mengeluarkan satu bahagian daripada dirinya, sedang dia dalam keadaan dia berjunub. Ini kerana sekalian bahagian itu akan dikembalikan pada Hari Akhirat dalam keadaan berjunub lalu dikatakan kepada orang itu : “Sesungguhnya setiap bulu-bulu ini menuntut kepadanya atas keadaan janabah (atau kenapa ia dibangkitkan dalam keadaan hadas besar).”
Ads
Kenyataan ini dipetik sebagai faedah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj oleh Imam al-Haitami (1/284), al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (1/70), Nihayah al-Muhtaj oleh Imam Syams al-Din al-Ramli (1/229), Tuhfah al-Habib oleh Imam al-Bujairimi (1/247) dan lain-lain.
Berkata al-Bujairimi: “Pada (pendapat al-Ghazali) ini ada nazar (kritikan), kerana bahagian badan yang kembali kepada jasad seseorang itu adalah berdasarkan keadaannya sewaktu mati, bukannya sekalian kukunya yang telah dipotong selama umurnya, bukan juga rambut, maka pendapat ini perlu dirujuk kembali. Al-Qalyubi juga menyatakan bahawa kerana kalau dikembalikan kepada seseorang itu akan sekalian kuku dan rambut itu pada jasadnya nescaya akan buruklah rupanya dek kerana panjang kuku dan rambut itu. Manakala al-Madabighi pula berkata bahawa dikembalikan sekalian juzuk badan itu yakni bahagian yang asal sahaja seperti tangan yang terpotong, bukannya rambut atau kuku… Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Setiap seorang daripada manusia akan bangkit dalam keadaan yang dia mati kemudian apabila masuk syurga mereka akan jadi tinggi (seperti saiz Nabi Adam AS.).”
Ads
Berdasarkan keterangan ini, kami berpendapat bahawa perbuatan mencukur dan memotong rambut, atau memotong kuku, sewaktu haid bukanlah haram. Tambahan lagi, kenyataan Imam al-Ghazali itu jika dilihat konteks perbincangannya di dalam kitab al-Ihya lebih kepada situasi berjunub disebabkan jimak yang boleh dipendekkan waktu hadas besarnya, bukan bagi haid atau nifas.
Ini kerana waktu haid dan nifas agak panjang dan mungkin menyukarkan kaum wanita untuk berhati-hati terhadap setiap rambut yang gugur dan kuku yang dipotong. Begitu juga Imam al-Ghazali menggunakan sighah لا بنبغي yang lebih bermaksud “tidak sepatutnya”. Ini lebih menunjukkan kepada larangan bersifat makruh dan bukan haram.
Sekalipun kami berpendapat tidak makruh atau haram, terpulang kepada orang ramai untuk mengambil langkah keluar daripada khilaf kerana ini soal peribadi. Begitu juga jika ada yang ingin menyimpan kuku dan rambut yang terputus sewaktu haid dan nifas kemudian dimandikan apabila sudah suci. Semoga Allah Taala menerima amalan kita dan menjadikan kita dalam kalangan mereka yang mendapat rahmat-Nya. Wallahua’lam. Sumber :Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Adakah halal pendapatan saya bekerja dengan syarikat kosmetik yang menjual produk kosmetik. Kerana kebanyakan wanita hari ni beli kosmetik untuk bertabarruj. Jadi saya jadi sedikit was-was dalam hal ini. Terima kasih.
Jawapan
Makna tabarruj, ia adalah perbuatan wanita berhias secara berlebihan dengan menampakkan perhiasan dan anggota tubuh hingga menarik perhatian lelaki bukan mahram.
Merujuk kepada persoalan ini, dari sudut jualan produk tersebut, jika produk dan proses transaksi jual beli adalah patuh syariah, maka hasil yang diterima adalah halal dan sah.
Adapun niat dan tujuan pembeli tidaklah ditanggung oleh penjual produk, kerana setiap orang Islam yang baligh, mumaiyiz, berakal, dan waras adalah dipertanggungjawabkan amalan baik dan buruk ke atas diri masing-masing.
Siapa yang melakukan dosa, mereka tidak menanggung dosa orang lain, melainkan dosa dirinya sendiri, Sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (al-Isra’: 15)
Tambahan pula, ada kemungkinan yang beli produk tersebut adalah untuk berhias dihadapan suami mereka, ini adalah diharuskan.
Merancang keluarga semakin jadi pilihan pasangan berpendapatan rendah?Kehadiran cahayamata adalah rezeki daripada Allah. Dan anak itu pembawa rezeki. Namun terdapat kebimbangan di kalangan suami isteri apabila memikirkan kebajikan anak-anak akan terabai berikutan pendapatan keluarga yang kecil.
Hari ini, kos hidup semakin meningkat. Ia mendatangkan dilemma kepada ramai pasangan berpendapatan rendah, takut keperluan anak tak terpenuhi.
Kita ikuti penjelasan, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang apakah hukumnya pasangan berpendapatan rendah mahu merancang keluarga. Mereka bimbang dengan keadaan ekonomi keluarga belum stabil.
Salam. Boleh saya tanya? Seseorang suami yang berpendapatan rendah, adakah perlu merancang keluarga?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt, Para ulama berbeza pandangan tentang hukum tanzim al-usrah atau perancangan keluarga atas alasan kemiskinan.
Pendapat pertama:
Bagi mereka yang tidak membenarkannya, mereka berhujah:
Rezeki itu berada dalam ketentuan Allah, dan Allahlah yang menetapkan pembahagian rezeki bagi setiap anak. Allah berfirman dalam al-Quran:
وَلاَتَقْتُلُواْأَوْلاَدَكُممِّنْإمْلاَقٍنَّحْنُنَرْزُقُكُمْوَإِيَّاهُمْ Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka. Surah al-An’am, (6:151)
Penyerupaan amalan Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin, sekalipun kaedah ini hanyalah menghalang lahirnya anak-anak. Namun tujuannya adalah sama, yakni takut miskin, maka hukum tujuan ialah hukum wasilah (sarana).
Rezeki itu adalah milik Allah, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan ialah suatu bentuk sangka buruk kepada Allah. Maka sepatutnya seseorang itu bertawakal kepada Allah kerana Allah akan memberikan rezeki kepada siapa yang Dia ingini tanpa hisab. Wajib baginya berbaik sangka kepada Allah kerana seseorang itu tidak mengetahui hakikat kebaikan dan keperluan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Allah.
Firman Allah Taala: وَعَسَىأَنتَكْرَهُواْشَيْئاًوَهُوَخَيْرٌلَّكُمْوَعَسَىأَنتُحِبُّواْشَيْئاًوَهُوَشَرٌّلَّكُمْوَاللّهُيَعْلَمُوَأَنتُمْلاَتَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Baqarah, 2:216)
Pendapat kedua:
Bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga atau tanzim al-usrah kepada tanzim al-nasal (perancangan anak) dan tahdid al-nasal (membataskan anak).
Tanzim al-Nasal merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara.
Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:
Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.
Ini berdalilkan athar daripada Jabir RA: كُنَّانَعْزِلُعَلَىعَهْدِالنَّبِيِّصَلَّىاللهُعَلَيْهِوَسَلَّمَوَالقُرْآنُيَنْزِلُ
Maksudnya: Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun. Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 5209) dalam al-Sahih
Ertinya, tiada larangan daripada al-Quran tentang perkara itu kerana jika ia dilarang nescaya al-Quran akan menyatakan larangan.
Dalam riwayat Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang `azal, maka baginda menjawab:
Maksudnya: Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.
Dalam riwayat Abu Said RA menyebut: لَيْسَتْنَفْسٌمَخْلُوقَةٌإِلَّااللَّهُخَالِقُهَا
Maksudnya: Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari . No. 7409)
Ertinya, jika Allah mengkehendaki seorang anak itu dikandungkan dan dilahirkan juga, tiada siapa yang boleh menghalang. Maka, pasangan yang merancang itu hendaklah reda, beramanah dan berasa tanggungjawab.
Manakala Tahdid al-Nasal menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran.
Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak.
Apatah lagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin. Pengecualian ialah bagi kes yang melibatkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin.
Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada hari terakhir haid.
Fatwa-fatwa ulama
Imam al-Ghazzali berpendapat pengguguran kandungan ialah haram mutlak sekalipun pada peringkat awal seperti nutfah kerana ianya asas kehidupan manusia.
Namun, beliau berpendapat bahawa azal ialah harus dan menyatakan beberapa niat syarie untuk melakukan azal antaranya ialah faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri bagi tujuan kasih sayang berpanjangan antara pasangan bagi mengelakkan talaq.
Beliau juga menyatakan faktor yang fasid (rosak) yang tidak boleh diterima dan berdosa seperti takut untuk mendapat anak perempuan. Rujuk Ihya’ Ulum al-Din (2/52)
Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jamadilakhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M telah memutuskan, antara lain:
Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki atau pun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syarie.
Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh Syarak.
Ini dilakukan berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudarat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada. Rujuk Majallah al-Majma’ Siri 4 (1/73)
Syeikh Atiyyah pada Mei, 1997 melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah mengeluarkan fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga bahawa dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu.
Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius. Rujuk Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (47/10)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-28 yang bersidang pada 29 Februari 1991 telah membincangkan Sistem Susuk Norplant Dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan.
Muzakarah telah memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini adalah harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.
Kesimpulan
Berdasarkan soalan yang dikemukakan, merancang keluarga dibolehkan bagi kedua pasangan untuk menggunakan kaedah tanzim al-nasal yang diharuskan oleh Syarak bagi tujuan merancang keluarga dengan cara menjarakkan anak, bagi tujuan pengurusan ekonomi kerana berpendapatan rendah.
Ini perlu disertakan dengan niat bahawa jika Allah mengurniakan pasangan itu anak, maka tiada siapa yang boleh menghalang dan hendaklah pasangan itu redha kepada takdir Allah dan bersikap bertanggungjawab.
Wallahua’lam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bertemu rakan yang baik akhlaknya adalah satu rezeki, bertemu rakan yang buruk akhlak, menyakitkan hati juga merupakan satu ujian buat kita. Sebagai orang muslim, kita perlu tahu membawa diri dalam bersosial. Jaga tingkah laku dan tutur kata kerana ia cerminan peribadi dan didikan.
Islam menganjurkan silaturahim, untuk itu jangan sesekali menyakitkan orang lain. Namun memang ramai manusia yang berkata-kata semahunya tanpa pedulikan perasaan orang lain dan berasakan tindakannya itu tidak salah.
Jika ada yang terasa dikatanya hati tisu, mudah terasa. Hati tisu atau hati batu, itu bukan alasan untuk kita menjadi manusia yang kurang ajar. Apabila kita tidak berubah dengan perangai buruk ini, orang sekeliling akan menjauh.
Namun adakah perbuatan menjauhkan diri daripada orang kurang ajar ini satu tindakan salah? Kita ikuti penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam isu ini kita perlu sedar bahawa sebagai seorang muslim hendaklah seseorang itu menjaga lidahnya dan juga anggota badannya dari menyakiti saudara muslimnya yang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
الْمُسْلِمُمَنْسَلِمَالْمُسْلِمُونَمِنْلِسَانِهِوَيَدِهِ Maksudnya : Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya. Riwayat Al-Bukhari (6484)
Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata, yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perbuatan menjauhkan diri daripada seseorang yang menyebabkan berlakunya kesakitan ke atas diri kita sama ada menerusi lidahnya atau perbuatannya, adalah suatu perkara yang dianjurkan di sisi syarak. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mu’adz bin Jabal R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satu daripadanya maka dia akan mendapat perlindungan dari Allah, iaitu seseorang yang menziarahi orang sakit, atau keluar mengiringi jenazah (ke perkuburan), keluar berperang di medan jihad, pergi kepada seorang pemimpin dengan tujuan untuk menghormati dan memuliakannya, atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia. Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (55)
Kita dapat melihat bahawa Rasulullah S.A.W menyebutkan :
أَوْقَعَدَفِيبَيْتِهِفَسَلِمَالنَّاسُمِنْهُوَسَلِمَمِنَالنَّاسِ Maksudnya : Atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya (kejahatan lidah dan tangannya) dan dia juga selamat dari (kejahatan lidah dan tangan) manusia.
Maka ini adalah isyarat yang zahir bahawa perbuatan duduk di rumah itu merupakan suatu bentuk penjarakan sosial (social distancing) bagi mengelakkan keburukan berlaku ke atas diri kita dan begitu juga dari menghalang kita melakukan keburukan kepada orang lain.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa dibenarkan untuk seseorang itu menjauhi individu-individu yang menyakitinya sama ada secara lisan atau secara fizikal. Ini bagi mengelakkan sebarang keburukan yang lebih teruk berlaku kepada kedua belah pihak.
Bahkan menjauhkan diri dari bermajlis bersama seseorang yang menyakiti kita sama ada dalam hal agama atau urusan keduniaan merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak.
Namun kami mencadangkan bahawa dalam masa yang sama, hendaklah ditegur dengan cara yang terbaik diberikan kepadanya agar menghentikan perbuatan dan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati orang lain.
Selain itu juga, perbanyakkanlah doa semoga Allah S.W.T memelihara hubungan persahabatan serta mengurniakan kita sahabat-sahabat yang baik.
Panduan solat sunat taubat...Solat sunat taubat adalah solat yang disunatkan dilakukan apabila seseorang melakukan dosa atau merasakan diri telah berbuat dosa dan ingin bertaubat...