Sejak dulu kita diajarkan oleh orang tua agar tidak memotong kuku dan rambut ketika dalam haid. Ternyata ianya tidak tepat dan ikuti penjelasan Mufti mengenainya.
Apakah hukum memotong kuku atau rambut ketika haid dan nifas?
Jawapan:-
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dalam isu ini, sememangnya ramai ulama yang terkemudian dalam mazhab Syafie menyebut dalam kitab-kitab mereka pendapat Imam al-Ghazali tentang larangan memotong kuku, rambut, atau mengeluarkan darah atau bahagian daripada tubuh, dalam keadaan berjunub. Berkata Imam al-Ghazzali dalam Ihya Ulumiddin (2/51):
“Dan tidak sepatutnya seseorang itu mencukur rambutnya, memotong kukunya, mencukur bulu ari-arinya, atau mengeluarkan darahnya, atau mengeluarkan satu bahagian daripada dirinya, sedang dia dalam keadaan dia berjunub. Ini kerana sekalian bahagian itu akan dikembalikan pada Hari Akhirat dalam keadaan berjunub lalu dikatakan kepada orang itu : “Sesungguhnya setiap bulu-bulu ini menuntut kepadanya atas keadaan janabah (atau kenapa ia dibangkitkan dalam keadaan hadas besar).”
Kenyataan ini dipetik sebagai faedah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj oleh Imam al-Haitami (1/284), al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (1/70), Nihayah al-Muhtaj oleh Imam Syams al-Din al-Ramli (1/229), Tuhfah al-Habib oleh Imam al-Bujairimi (1/247) dan lain-lain.
Berkata al-Bujairimi: “Pada (pendapat al-Ghazali) ini ada nazar (kritikan), kerana bahagian badan yang kembali kepada jasad seseorang itu adalah berdasarkan keadaannya sewaktu mati, bukannya sekalian kukunya yang telah dipotong selama umurnya, bukan juga rambut, maka pendapat ini perlu dirujuk kembali. Al-Qalyubi juga menyatakan bahawa kerana kalau dikembalikan kepada seseorang itu akan sekalian kuku dan rambut itu pada jasadnya nescaya akan buruklah rupanya dek kerana panjang kuku dan rambut itu. Manakala al-Madabighi pula berkata bahawa dikembalikan sekalian juzuk badan itu yakni bahagian yang asal sahaja seperti tangan yang terpotong, bukannya rambut atau kuku… Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Setiap seorang daripada manusia akan bangkit dalam keadaan yang dia mati kemudian apabila masuk syurga mereka akan jadi tinggi (seperti saiz Nabi Adam AS.).”
Berdasarkan keterangan ini, kami berpendapat bahawa perbuatan mencukur dan memotong rambut, atau memotong kuku, sewaktu haid bukanlah haram. Tambahan lagi, kenyataan Imam al-Ghazali itu jika dilihat konteks perbincangannya di dalam kitab al-Ihya lebih kepada situasi berjunub disebabkan jimak yang boleh dipendekkan waktu hadas besarnya, bukan bagi haid atau nifas.
Ini kerana waktu haid dan nifas agak panjang dan mungkin menyukarkan kaum wanita untuk berhati-hati terhadap setiap rambut yang gugur dan kuku yang dipotong. Begitu juga Imam al-Ghazali menggunakan sighah لا بنبغي yang lebih bermaksud “tidak sepatutnya”. Ini lebih menunjukkan kepada larangan bersifat makruh dan bukan haram.
Sekalipun kami berpendapat tidak makruh atau haram, terpulang kepada orang ramai untuk mengambil langkah keluar daripada khilaf kerana ini soal peribadi. Begitu juga jika ada yang ingin menyimpan kuku dan rambut yang terputus sewaktu haid dan nifas kemudian dimandikan apabila sudah suci. Semoga Allah Taala menerima amalan kita dan menjadikan kita dalam kalangan mereka yang mendapat rahmat-Nya.
Wallahua’lam. Sumber :Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan