Salah satu dosa yang amat ditakuti dan perlu dijauhi ialah riak. Riak adalah salah satu daripada sifat syaitan. Mahukah kita mewarisi sifat itu. Nauzubillah. Sesungguhnya kita mudah terdedah kepada fitnah dunia.
Tanpa kita sedar malah menjadi trend dan kebanggaan pula apabila merakam segala amalan baik atau apa yang kita miliki, lalu dipertontonkan kepada umum menerusi akaun sosial media dengan alasan sebagai satu perkongsian positif. Kita ikuti penjelasan ringkas sejauh mana perbuatan ini boleh jatuh riak oleh ustaz Azhar Idrus.
Artikel berkaitan: Elakkan 9 Posting Riak Ini Yang Selalu Kita Buat Di Laman Sosial Tapi Tak Perasan Boleh Sakitkan Hati Orang
Artikel berkaitan: Baca Doa Ini Bila Dipuji, Untuk Elak Diri Rasa Riak, Ujub Takabbur
Selalu kita lihat dalam sosial media seperti facebook atau instagram ada setengah orang yang mengambil gambar mereka sedang beribadah untuk dikongsikan adakah boleh berbuat demikian?
Perbuatan merakam gambar sedang melakukan ibadah atau lain-lain amal soleh jika bertujuan menunjuk-nunjuk ibadahnya kepada manusia supaya dipuji akan dia maka itulah riak namanya.
Di akhirat nanti siapa yang riak dengan ibadahnya ketika di dunia tidak mendapat balasan amalan mereka itu di sisi Allah bahkan mereka akan mencari orang yang mereka tunjukkan ibadah mereka dulu dan pada hal tiada mendapati di sisi mereka sebarang pahala.
Telah diriwayatkan daripada Mahmud bin Labid Al-Ansari r.a. Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً
“Sungguh yang lebih aku takut atas kamu ialah syirik kecil. Berkata sahabat : Apakah dia syirik kecil wahai Rasulullah? Sabdanya : iaitu riak. Allah akan berfirman kepada mereka pada hari kiamat nanti ketika manusia dibalas akan amalan mereka : Pergilah kamu sekalian kepada orang-orang yang kamu tunjukkan amalan kamu di dunia maka lihatlah adakah kamu dapati sebarang ganjaran di sisi mereka?” (Hadis Imam Ahmad)
Oleh kerana itu hendaklah berhati-hati jangan sampai terikut-ikut perbuatan setengah orang pada zaman ini yang suka berkongsikan gambar dengan tujuan menunjuk-nunjuk amal soleh dan ibadah mereka di sosial media.
Perbuatan ini supaya dipuji atau disukai manusia seperti gambar sedang solat atau berada di masjid atau sedang tawaf atau sedang bersedekah atau sedang menolong orang susah atau menulis kitab atau membaca Quran atau berzikir atau seumpamanya yang mana semua perbuatan riak ini akan menyebabkan kemurkaan Allah dan pelakunya berhak mendapat siksa azab pada hari akhirat.
Berkata Imam Ibnu Rajab :
وهذا العمل لا يشك مسلم أنه حابط، وأن صاحبه يستحق المقت من الله والعقوبة .اهـ.
“Dan amalan ini (yaitu riak) tidak syak lagi oleh seorang sesungguhnya ia adalah sia-sia dan sungguhnya pelakunya nanti berhak mendapat murka Allah dan azab siksanya.” (Kitab Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam)
Kesimpulannya jika yang mengambil gambar beribadah kemudian ditunjukkan di media sosial itu bertujuan mendapat pujian dan menunjuk-nunjuk maka perbuatannya itu adalah haram dan amalanya itu sia-sia tidak mendapat pahala kerana telah melakukan riak.
Ada pun jika bertujuan supaya orang lain akan mengikut untuk turut melakukan amal soleh dan ibadah dan bukan bertujuan menunjuk-nunjuk dan tiada di dalam hatinya keinginan mendapat pujian dan disukai manusia maka tidak termasuk riak dan hukumnya tidak mengapa tetapi hendaklah tidak dengan berlebih-lebihan.
Wallahua’lam
Kashoorga: Pucuk pangkalnya adalah niat. Jika memang tiada sekelumit pun untuk menunjuk dan memang atas niat untuk usaha dakwah dan kebajikan, maka ia bukanlah satu masalah. Namun jika ia hanya untuk suka-suka, elok simpan sahaja untuk tatapan sendiri.