Sambut Ramadan dengan hias rumah, tukar langsir macam nak sambut raya. Menjelang Ramadan, umat Islam digalakkan untuk melakukan persiapan bukan sahaja dari segi fizikal, malah juga rohani. Bulan yang penuh keberkatan ini wajar disambut dengan hati yang lapang serta usaha memperbanyakkan amalan ibadah.
Penceramah terkenal, Asni Mansor, menyarankan agar kebiasaan menghias rumah seperti menukar langsir dan mengemas kediaman tidak hanya dilakukan untuk menyambut Syawal, tetapi juga sebagai tanda penghormatan terhadap kehadiran Ramadan.
“Kita sering bersemangat untuk memperindah rumah ketika Aidilfitri, jadi mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk menyambut Ramadan? Ini bukan sekadar persiapan luaran, tetapi juga simbol kesediaan hati kita untuk menghayati bulan yang mulia ini,” ujarnya dalam majlis ilmu yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Selain itu, Asni turut menekankan kepentingan mengisi Ramadan dengan amal ibadah seperti membaca al-Quran, menunaikan solat tarawih, serta tidak meninggalkan sahur.
Menurut Asni, penglibatan golongan artis dan pempengaruh dalam program sebegini adalah langkah terbaik untuk menarik lebih ramai masyarakat mendekati ajaran Islam.
“Mereka mempunyai pengaruh besar di media sosial, jadi amat baik sekiranya platform ini dimanfaatkan untuk menyebarkan ilmu dan kebaikan. Pempengaruh sejati bukan hanya dikenali di dunia, tetapi juga mendapat ganjaran pahala di akhirat,” jelasnya.
Beliau hadir dalam program Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan, anjuran Karya Bestari, anak syarikat Kumpulan Karangkraf, yang berkolaborasi dengan pelakon Betty Rahmad.
Menjelang Ramadan, anak syarikat Kumpulan Karangkraf iaitu Karya Bestari menganjurkan program ‘Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan’ dengan kolaborasi bersama pelakon, Betty Rahmad.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, objektif utama program berkenaan adalah untuk meraikan Ramadan yang bakal tiba, di samping menambahkan ilmu dan merapatkan ukhuwah sesama masyarakat Islam.
“Sebelum ini, Karya Bestari ada ekerjasama dengan artis dan individu terkenal lain tapi bukan di peringkat besar macam ni. Bersama Betty, kita ada taja buku agama dan al-Quran sebagai salah satu usaha untuk meramaikan lagi orang untuk membaca al-Quran.
“Program Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan ini lebih fokus kepada merapatkan ukhuwah dan menyiapkan diri ke arah Ramadan. Disebabkan itu kita jemput juga penceramah agama untuk memberikan tazkirah dan pencerahan yang lebih supaya peserta kita dapat mempersiapkan diri menjadi muslimah sejati,” katanya.
Selain penceramah agama terkenal Asni Mansor, majlis ini turut dihadiri penceramah Mohamad Zarifi Mohamad Daud serta selebriti seperti Datuk Nora Ariffin, Erma Fatima, Nora Danish dan Intan Ladyana.
Program itu melibatkan kira-kira 200 peserta termasuk artis terkenal tanah air dan pempengaruh. Majlis ilmu ini bertujuan menyebar luas tentang indahnya hijab dan keistimewaan Ramadan supaya menjadi muslimah sejati.
Betty Rahmad ketika ditemui menjelaskan perasaan gembiranya kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan Karya Bestari.
“Betty buat kelas tadabbur al-Quran ini sudah dua tahun. “Kali ini, kami nak buat kelainan dengan ajak bersama pengikut untuk turut serta. Itu yang memang Betty idamkan dan doa selama ini sebab selalunya Betty buat di rumah sahaja.
“Walaupun tidak dapat jemput semua pengikut, Betty gembira kerana dapat berjumpa dengan 200 orang yang menyertai program ini. Lebih bermakna, kami dapat berkongsi ilmu agama bersama agamawan” jelasnya.
Sementara itu, pelakon Intan Ladyana turut berkongsi azamnya sempena Ramadan. Tiga perkara utama yang ingin dicapainya ialah memperbanyakkan doa dan bacaan al-Quran setiap hari, mengamalkan sedekah sebanyak mungkin, serta berusaha menunaikan qiamullail jika berkesempatan.
“Saya ingin pastikan segala amalan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, seolah-olah ini adalah Ramadan terakhir saya. Mudah-mudahan semua usaha kita diterima oleh Allah,” katanya.
Dengan persediaan rapi dan keikhlasan hati, diharapkan Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna serta memberi keberkatan kepada semua umat Islam.
Foto: Karya Bestari
Baca artikel lain juga: Umrah Bulan Ramadan Pahalanya Seperti Menunaikan Haji Bersama Nabi