Bulan Syawal 30 hari maka kita pun beraya selama sebulan. Meski tiada anjuran keraian sebegini dalam al-Quran dan hadis namun ia seakan menjadi tradisi. Oleh itu timbul persoalan adakah sambut raya selama sebulan ini perkara bidaah?
Persoalan ini dirungkai oleh Mufti Wilayah Persekutuan yang dipetik melalui laman web kendalian Pejabat Mufti.
Di dalam Islam, terdapat dua hari raya yang telah disyariatkan. Ini sebagaimana hadith ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah telah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,
Maksudnya : ”Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.’ Riwayat Imam Ahmad (12362)
Ini bermakna, hanya dua hari raya yang disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT. Dalam hadith yang lain disebutkan sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya: “Hari Arafah (untuk yang mengerjakan haji), hari korban dan hari-hari tasyriq adalah hari raya kita orang Islam, hari-hari tersebut hari makan dan minum.” Riwayat Imam Ahmad (17379)
Apa yang membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain adalah beberapa ibadat yang diperintahkan bersempena dengannya. Secara khusus, pada hari raya Aidilfitri, umat Islam disyariatkan melakukan beberapa ibadah khusus.
Antaranya menunaikan zakat fitrah, solat sunat hari raya, memperbanyakkan takbir bermula daripada malam hari raya sehingga imam memulakan solat dan beberapa amalan sunat lain yang disyariatkan. Bahkan pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa. Semua ini hanya berlaku pada 1 Syawal dan bukan pada hari-hari lain dalam bulan Syawal.
Adakah termasuk dalam bid’ah tercela?
Persoalannya, bolehkah jika amalan-amalan lain seperti ziarah menziarahi, menjamu makanan, bermaaf-maafan dan memberi hadiah (seperti duit raya) dilakukan sebulan dalam bulan Syawal atas nama sambutan hari raya Aidilfitri? Adakah ia termasuk dalam perkara bid’ah yang tercela?
Secara ringkasnya, bid‘ah dari sudut bahasa iaitu apa yang dilakukan tanpa mempunyai misal sebelumnya, antaranya firman Allah SWT: “Katakanlah aku bukanlah rasul yang pertama” (Surah al-Ahqaf: 9). Adapun dari segi istilah ia mempunyai pelbagai takrifan hasil daripada perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama yang mentakrifkannya. Walau bagaimanapun, kami cenderung dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh fuqaha dalam Mazhab Syafie.
Ads
Imam al-Izz ibn ‘Abd al-Salam mengatakan bid‘ah itu terbahagi kepada lima bahagian. Beliau mengatakan: Jalan (kaedah) untuk mengenali bid‘ah: “Hendaklah dikemukakan perkara bid‘ah itu menurut pertimbangan Qawa’id al-Syariah, sekiranya ia termasuk ke dalam qawa’id al-ijab maka ia wajib, atau tahrim maka ia haram…dan seterusnya”. Lihat Qawa’id al-Ahkam, 2/205.
Al-Khattabi pula berkata: “Apa yang terbina di atas Qawa’id al-Usul, ia bukan bid‘ah dan tidak juga sesat. Terdapat dalam Lisan al-‘Arab pandangan Ibnu al-Athir iaitu: “Bid‘ah itu dua; bid‘ah huda (petunjuk) dan bid‘ah dhalalah (sesat)…maka apa yang berlaku di bawah keumuman apa yang diharuskan oleh Allah atau RasulNya dan ia tidak mempunyai misal sebelumnya maka ia terpuji. Dan ia berkata lagi: Dan antara jenis (bid‘ah huda) ini iaitu ucapan Umar r.a.: Senikmat-nikmat bid‘ah adalah ini (mengerjakan tarawih 20 raka’at secara berjamaah)”. Lihat Faydh al-Qadir, 1/84.
Al-Suyuti menukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa: “Perkara-perkara baru itu dua bentuk: Pertama; perkara baru yang menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah atau athar atau ijmak, maka ini merupakan kesesatan. Kedua; perkara baru yang baik, tiada khilaf di kalangan ulama dalam perkara ini, maka ini merupakan perkara baru yang tidak dicela”. Lihat al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’, 92.
Berdasarkan takrifan bid’ah yang dikemukakan, menunjukkan bukan semua perkara baharu itu dicela, bahkan jika perkara itu memiliki sandaran daripada syarak maka ia termasuk perkara baik yang dianjurkan.
Ads
Ini bertepatan dengan amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Syawal seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, mengadakan jamuan makan dan sebagainya yang sememangnya dituntut oleh syarak tanpa mengira masa dan ketika. Namun, ia dilakukan oleh masyarakat sebagai satu adat tradisi dalam mengambil keberkatan bulan yang mulia seperti Syawal.
Kesimpulan
Bersandarkan perbahasan di atas, dapat difahami apa yang dilakukan oleh masyarakat pada hari ini bukan termasuk perkara bid’ah yang tercela. Ini kerana, tiada suatupun ibadat khusus yang direka dalam sambutan hari raya selama sebulan yang diadakan.
Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya. Bahkan tiada sesiapa pun yang mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya. Kesimpulannya, ia sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.
Justeru kami amat menggalakkan jika masyarakat mengambil peluang ini untuk mengadakan jamuan makan terutamanya kepada faqir miskin, ini bagi menyahut seruan al-Qur’an sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (8)(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, (9) “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”.
Rebutlah peluang untuk mencari Lailatul Qadar dengan melipatgandakan lagi amalan pada 10 malam akhir Ramadan. Mendapatkan malam Lailatul Qadar menjadi impian bagi setiap mukmin. Mana tidaknya, malam yang lebih mulia dari seribu bulan ini hanya ada sekali dalam setahun.
Rasulullah shallallalhu ‘alaihi wasallam menyebutkan, “Barang siapa yang terjaga untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar, kemudian benar-benar mendapatkannya, maka dia telah diampuni dosa sebelum dan sesudahnya,” (HR. Ahmad)
Maka sebab itulah kita perlu membuat persiapan bagi ‘menyambut’ kedatangan malam Lailatul Qadar.
Berikut perkongsian Ummu Naufal. Moga ia bermanfaat untuk kita semua.
Malam Laylatul Qadr bakal tiba.
Hadiah hebat yang perlu dicari yang dianugerahkanNya.
Dikongsikan bersama sedikit bagaimana kita sekeluarga boleh atur dan persiapkan diri dan keluarga dalam mencari malam yang lebih mulia dari seribu bulan yang dijanjikanNya;
1.BEREHAT DI SIANG HARI
Usah lagi disibukkan diri dengan urusan dapur, kuih muih eid mahupun keluar membeli belah di tempoh ini (10 malam terakhir). Hentikan!
Menu iftar dan sahur keluarga dipermudahkan.
Aktiviti siang diringankan.
Tidurlah seketika walau tidak biasa tidur di waktu siang. 10 hari terakhir ini sahaja.
2. BERJAGA WAKTU MALAM
Apabila siang sudah cukup rehat, di waktu malam akan terasa segar inshaAllah. Mandilah air suam jika ia boleh menyegarkan tubuh badan. Ringankan makanan berbuka agar badan tidak berasa lemah dan berat kemudian. Jika penggemar minuman panas, siapkanlah minuman panas di dalam termos agar sentiasa ada untuk diminum. Pasangkanlah bauan bakhour atau diffuser minyak pati lemon, inshaAllah ia sangat membantu menaikkan mood, membantu menyegarkan diri dan menaikkan semangat kita.
3.SIAPKAN RUANG SOLAT
Solatlah di ruang khusus, atau di mussola kecil keluarga, jika ada. Biarlah ruang ini selesa, bersih, suhu yang sesuai dan baik pengudaraannya.
Elakkan solat di bilik tidur kita, kecuali jika ada penghadang.
Solat, membaca Al Quran dan berzikir diselang-selikan sepanjang malam di ruang khas ini. Hiaslah jika mahu mencantikkan suasana. Ringkaskan ruang dengan apa yang perlu sahaja.
Jika ada bayi, bawa bersama di ruang ini bila si kecil terjaga. Biarkan dia tidur di ruang mussola yang sama sambil kita meneruskan ibadah malam kita.
Subhanallah.
Besar kesan dalam jiwanya inshaAllah.
4.TULISKAN DOA
“Umi, should they write it in points?” Nadiyah bertanya apabila dia ditugaskan membantu adik-adiknya mencatatkan doa yang mahu dipohon sepanjang 10 malam terakhir.
Nadiyah dan Naufal telah diajarkan yang sama ketika seusia adik-adik mereka. Bermula dengan poin sahaja, ditingkatkan kepasa adab menyusun kata dalam memohon doa padaNya.
Doa ditulis agar dirancang rapi apa yang mahu dipohon padaNya. Bila ditulis, menjadi lebih fokus bila berdoa padaNya.
Bersama anak-anak, hafalkanlah doa yang diajarkan Nabi s.a.w kepada Aisyah r.a apabila Baginda ditanya apakah doa terbaik untuk diucapkan pada malam Laylatul Qadr;
“ALLAHUMMA INNAKA ‘AFUWWUN TUHIBBUL ‘AFWA FA’FU ‘ANNII”
(Ya Allah, sesungguhnya Engkau Dzat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku)
5.TINGKATKAN SEDEKAH
Tingkatkan sedekah kita setiap hari dalam 10 malam terakhir ini. Jika sebelum ini kita memberi makanan iftar kepada jiran tetangga, 10 malam terakhir ini kita memberi kepada yang tidak kita kenali pula.
Pejalan kaki, penjaja di gerai, pencuci sampah…sesiapa sahaja yang dilewati kita.
Edarkan “Ramadan Iftar Bag”. Minta anak-anak isikan di dalamnya; kurma, air, roti, juga sedikit wang, misalnya. Edarkan setiap hari selama 10 hari terakhir ini. Rancanglah berapa beg yang boleh diberikan bersama seisi keluarga.
6.TUTUP TELEVISYEN DAN DISIMPAN SEMUA GAJET YANG ADA
Amankan suasana rumah tanpa hiburan di kaca tv dan radio. Off telefon bimbit dan disimpan jauh-jauh…..termasuk telefon ibubapa juga ya. Tiada ‘cheat hour’ mahupun ‘reward slot’. Ini dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan tanpa salingan.
Usah risau, 10 hari tanpa bermesej dan media sosial tidak akan merbahayakan sesiapa, inshaAllah.
Subhanallah.
Hebatnya malam Laylatul Qadr ini sepertimana Allah swt sebutkan di dalam Surah Al Qadr;
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya [Al Qur’an] pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar.”
Lalu duhai diri dan sahabat yang dikasihi sekalian, bersungguh dan berikhtiarlah mencari malam kemuliaan ini bersama keluarga tersayang.
Ingatlah, Ramadan tahun hadapan belum tentu kita ada. Maka usahakanlah sekarang kerana tiada usaha bersungguh kita sia-sia di sisiNya.
Semoga kita semua dipertemukan dengan Malam Penuh Kemuliaan ini dalam keampunan dan redhaNya.
Solat merupakan ibadah yang boleh mendekatkan diri seorang hamba itu dengan Allah SWT. Ia mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya diterima dan diberi ganjaran daripada Allah SWT.
Khusyuk dalam solat pula ialah tunduk dan merendah diri dengan tumpukan fikiran, hati dan anggota ketika solat dan dilakukan adalah semata-mata kerana mencari keredhaan Allah.
Namun begitu sering kali ramai yang mengeluh sukar untuk khusyuk ketika menunaikan ibadah ini. Ketika solat, fikiran masih menerawang memikirkan urusan dunia yang tidak berkesudahan, hingga ada yang terlupa bacaan malah raakat dalam solat.
Tidak khusyuk petanda tidak baik buat seorang muslim
Tidak khusyuk dalam solat menurut al-Imam al-Hasan al-Basri memberi petanda yang tidak baik buat seorang muslim. Kata beliau:
قال الحسن البصري: “َصلاة بلا خشوع هي إلى العقوبة أقرب
“Solat yang tidak khusyuk lebih dekat dengan azab Allah.”
Barangkali dengan sebab itu Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa salah satu ciri-ciri orang yang berjaya adalah mereka yang khusyuk solatnya. Firman Allah:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
“Telah berjayalah orang-orang yang beriman. iaitu mereka yang mendirikan solat dalam keadaan khusyuk.” (al-Mukminun:1-2)
Al-Imam al-Ghazali memberikan pandangannnya mengapa terjadi sebegini. Kata al-Imam al-Ghazali:
ويقول الإمام الغزالي ر حمه الله : إن الرجل ليسجد السجدة يظن أنه تقرب بها إلى الله سبحانه وتعالى , ووالله لو وزع ذنب هذه السجدة على أهل بلدته لهلكوا ، سئل كيف ذلك ؟؟؟ فقال : يسجد برأسه بين يدي مولاه , وهو منشغل باللهو والمعاصي والشهوات وحب الدنيا
“Kata al-Imam al-Ghazali: Seorang lelaki sujud kepada Allah dengan menyangka sujudnya itu akan membawa dia lebih dekat dengan Allah sedangkan sekiranya diagihkan dosa lelaki yang bersujud itu kepada setiap ahli sebuah negeri, akan hancur negeri itu. Al-Ghazali ditanya: Mengapa terjadi sedemikian? Jawab beliau: Kerana dia sujud dihadapan Tuhannya sedangkan jiwanya sibuk dengan nafsu, maksiat, syahwat dan kecintaan kepada dunia.”
Al-Imam Malik pernah menukilkan kisah lelaki daripada Ansar yang menjual kebunnnya kerana kebunnya telah menyebabkan dia lupa berapa rakaat yang telah dilaksanakan dalam solatnya. Kata lelaki tersebut:
لقد أصابَتني في مالي هذا فتنةٌ
“Sesungguhnya harta aku ini telah menjadi fitnah (ujian yang melekakan diri dari solat). (al-Imam Malik, Muwatta’)
Cara mendapat khusyuk dalam solat
1. Mencari Pengertian bacaan dalam solat
2. Fokuskan fikiran kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat
3. Membesarkan Allah yakni hati merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan segala makhluk.
4. Kagum dan takut akan Keagungan Allah
5. Rasa Mengharap Kepada Allah, hanya kepadanya tempat kita bergantung
6. Rasa malu dan hina diri kita sebagai hamba yang penuh dosa dalam solat
Kisah kehilangan ahli keluarga, rakan atau saudara semakin kerap terjadi kebelakangan ini. Berhari-hari mencari, melapor pada berkuasa namun tak jua berhasil. Hingga ada yang menggunakan khidmat bomoh sebagai salah satu usaha.
Menjadi persoalan apa hukumnya menggunakan bomoh dalam usaha mencari individu atau barang yang hilang. Penjelasan tentang perkara ini diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Sesungguhnya suatu amalan agama yang diada-adakan dan bercanggah dengan syariat Islam merupakan suatu perbuatan yang haram dan berdosa. Ini berdasarkan hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa:
Maksudnya: Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baharu dalam urusan kami ini (agama), apa yang bukan berasal daripadanya, maka ia adalah tertolak. (Riwayat Muslim: 1718)
Hal ini termasuklah ritual perbomohan yang sengaja diada-adakan tanpa dalil dan asas yang daripada nas-nas syarak seperti memusingkan kain, merenjiskan air dan mendakwa hal-hal yang tidak masuk akal. Ia juga termasuk perkara khurafat dan tahyul yang tiada asas dan sumber yang jelas bagi penggunaan cara-cara tersebut.
Dibenarkan sekiranya…
Walau bagaimanapun, sekiranya sesuatu amalan itu menepati cara yang dibenarkan syarak dan tidak melanggarnya seperti cara ruqyah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, juga dengan bacaan daripada ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir dan doa-doa yang ma’thur, maka ia merupakan sesuatu yang harus untuk dilakukan.
Hal ini disebutkan dalam banyak hadis daripada Rasulullah SAW dan dijelaskan oleh ramai para ulama.
Antaranya Imam al-Nawawi menyebutkan ketika mensyarahkan hadis-hadis dalam Bab Perubatan, Sakit dan Ruqyah bahawa:
إن جبرائيل رَقَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم وَذَكَرَ الْأَحَادِيثَ بَعْدَهُ فِي الرُّقَى وَفِي الْحَدِيثِ الْآخَرِ فِي الَّذِينَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ بِغَيْرِ حِسَابٍ لَا يَرْقُونَ وَلَا يَسْتَرْقُونَ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ فَقَدْ يظن مخالفا لهذه الأحاديث ولامخالفة بَلِ الْمَدْحُ فِي تَرْكِ الرُّقَى الْمُرَادُ بِهَا الرُّقَى الَّتِي هِيَ مِنْ كَلَامِ الْكُفَّارِ وَالرُّقَى المجهولة والتى بغير العربية ومالا يُعْرَفُ مَعْنَاهَا فَهَذِهِ مَذْمُومَةٌ لِاحْتِمَالِ أَنَّ مَعْنَاهَا كُفْرٌ أَوْ قَرِيبٌ مِنْهُ أَوْ مَكْرُوهٌ وَأَمَّا الرقى بآيات القرآن وبالأذكار المعروفة فلانهى فِيهِ بَلْ هُوَ سُنَّةٌ
Maksudnya: Sesungguhnya malaikat Jibril AS telah meruqyah Nabi SAW dan disebut dalam hadis selepasnya berkaitan ruqyah. Dalam hadis yang lain yang menyatakan ‘golongan yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab, mereka tidak meruqyah dan tidak meminta untuk diruqyah serta mereka sentiasa bertawakkal kepada Allah SWT’.
Kemungkinan akan disangkakan berlaku percanggahan bagi hadis-hadis ini (yang mengharuskan ruqyah), namun sebenarnya tiada percanggahan. Bahkan ia adalah suatu pujian terhadap perbuatan meninggalkan ruqyah. Ruqyah di sini bermaksud kata-kata yang mengandungi kata-kata kafir, ruqyah yang tidak diketahui dan dengan bahasa selain bahasa Arab yang tidak diketahui maknanya.
Ruqyah seperti ini adalah ruqyah yang tercela kerana berkemungkinan maknanya mengandungi kekufuran atau sesuatu yang hampir kepadanya atau perkara yang makruh. Adapun ruqyah menggunakan ayat al-Quran, zikir-zikir yang diketahui, maka tiada larangan baginya, bahkan hukumnya adalah sunat.1
Selain daripada itu, perbuatan yang dilakukan tersebut melanggar garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi amalan perbomohan menurut Islam.
Hal ini seperti mendakwa perkara-perkara ghaib dan menyebut bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya. Di samping itu juga, diingatkan bahawa individu yang melakukan perbuatan ini boleh didakwa di bawah seksyen 7(a), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), bagi kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.
Oleh yang demikian, hendaklah kita menjauhi perbuatan khurafat dan tahyul yang tidak berasas dengan ilmu yang benar. Sebaliknya, kita menumpukan kepada cara-cara yang diajarkan oleh syarak dan usaha-usaha yang efektif bagi menyelesaikan masalah ini.