Rindu anak kepada arwah orang tua memang sukar nak diungkapkan. Al-Mulk dibaca sebagai sedekah buat mereka.

Kita yang masih hidup ini disaran perbanyakkan doa dan titipkan juga surah al-Mulk agar arwah mendapat berkat dari doa kita.

Kita juga maklum bahawa membaca surah al-Mulk setiap malam akan menyelamatkan kita dari azab kubur. Justeru itu, bagaimana pula jika kita sedekahkan pahala al-Mulk kepada arwah orang tua kita?

Adakah benar pahala sedekah membaca 30 ayat surah al-Mulk akan sampai kepada mereka dan menyelamatkannya dari azab kubur?

Untuk kepastian, kita baca penjelasan lanjut dari Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel berkaitan: Arwah Isteri Beli Rumah Semasa Bujang, Berapakah Faraid Suami?

Artikel berkaitan: Kematian Yang Dicemburui Imam Amalkan Baca Surah Al-Mulk Sebelum Tidur, Bertemu PenciptaNya Ketika Solat

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah hukumnya seorang anak membaca surah al-Mulk dan menyedekahkan pahalanya untuk kedua orang tua yang telah meninggal?

IKLAN

Adakah arwah akan turut mendapat fadhilat-fadhilat surah al-Mulk?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Berkenaan dengan persoalan di atas, memang surah al-Mulk mempunyai kelebihan apabila dibaca pada setiap malam. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk”
Riwayat Ibn Majah (3786)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur. Riwayat al-Tirmizi (2890)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Maksud al-mani’ah (المانعة) adalah menegah dan menyelamatkan daripada azab kubur atau sebarang maksiat yang mewajibkan hukuman azab kubur.

Sedangkan yang menyelamatkan pula boleh jadi sebagai penguat kepada ucapan mani’ah (المانعة) atau ia juga sebagai menafsirkan. Dengan sebab itu ucapan selepas itu Rasulullah SAW menyebut sebagai penyelamat daripada azab kubur.

Berdasarkan perbahasan di atas, kelebihan untuk penyelamatan dari azab kubur adalah khusus kepada pembacanya. Walaupun begitu, berkenaan dengan pertanyaan saudara, kelebihan membaca al-Quran dan secara umumnya apabila diniatkan kepada si mati, maka kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan sampai pahala tersebut. Kami cadangkan agar disertai dengan doa kepada si mati yang mana ia sudah pasti akan diperolehi oleh si mati.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”
Riwayat Muslim (4310), Abu Daud (2882), al-Nasa’ie (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)

Jumhur ulama’ mazhab berpendapat bahawa doa dapat memberi manfaat kepada si mati. Imam al-Nawawi berkata, ijma’ ulama’ berpendapat bahawa doa ke atas si mati dapat memberi manfaat dan sampai pahala kepadanya.

Firman Allah SWT:

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.(Surah al-Hasyr: 10)

Semoga orang tua kita atau arwah yang telah meninggal dunia tatkala kita berbakti kepada Tuhan dan melakukan ibadat maka mereka akan memperolehi pahala hasil didikan mereka kepada kita yang termasuk dalam anak dan zuriat yang soleh.

Sumber : muftiwp