Kerohanian

Satu Minit Tidur Sebelum Zohor Bersamaan 45 Minit Tidur Malam, Ketahui 4 Kebaikan Tidur Qailullah

Share

Masuk waktu tengah hari mata mulalah mengantuk tapi kebiasaannya kita tak melayan perasaan ini kerana perut mahu diisi juga pada waktu ini.

Tapi sebenarnya sangatlah elok kalau kita tidur sebentar sebelum masuk waktu Zohor atau pun dipanggil qailullah. Tak perlu lama antara 10-30 minit saja. Waktu rehat ini banyak manfaatnya malah dinyatakan dalam al-Quran sendiri.

Sabda Rasulullah SAW:

Riwayat ai-Tabrani:

“Lakukanlah Qailullah kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani Qailullah.”

Hadis juga ada menyebut:

“Syaitan tidak melakukan Qailullah, oleh itu orang-orang mukmin yang melakukan Qailullah atau tidur sejenak sebelum Zohor selama 10 hingga 40 minit akan memperolehi kerehatan yang cukup, sehingga membolehkannya melakukan ibadat dengan sempurna sepanjang hari.”

Kebaikan Qailullah

1. Satu minit  Qailullah bersamaan 45 minit waktu tidur malam

Qailulah (القيلولة) bermaksud tidur sebentar pada pertengahan siang hari selama 10 hingga 30 minit sebelum masuknya waktu solat Zohor. 1 minit Qailullah kualitinya bersamaan dengan 45 minit waktu tidur pada waktu malam.

2. Memudahkan untuk bangun malam

Qailullah pada waktu tengah hari memudahkan untuk bangun malam dan berqiamulail. Tidur sebentar ini bukan sahaja dapat memperbetulkan kualiti tidur seseorang malah ia memberi kesegaran yang sama seperti sebelum tidur malam, pada tahap neuro-kognitif.

3. Rehat selama enam hingga lapan jam

Menurut kajian, setelah berjaga selama 6 hingga 8 jam, manusia perlu berehat. Kebiasaannya sebagai umat Islam akan bangun seawal jam 5.30 pagi untuk solat Subuh. Jika dikira dari waktu Subuh hingga jam 12 tengah hari, ia sudah cukup 7 hingga 8 jam kita berjaga. Jadi, Qailullah amat sesuai dengan fitrah tubuh manusia.

4. Lebih cergas selepas bangun tidur

Menurut pengamal Qailullah, selepas bangun dari Qailullah, mungkin akan terasa pening sedikit selama 5 hingga 20 minit. Namun selepas itu, berlaku perubahan mendadak dari segi emosi, kecerdasan dan fokus.

Walau bagaimanapun ada waktu-waktu yang dilarang untuk tidur iaitu Hailulah dan Ailulah. Hailulah adalah tidur sehabis solah Subuh. Tidur selepas Subuh dilarang kerana ia boleh menyekat rezeki yang Allah turunkan pada pagi hari.

Ailulah pula tidur selepas melaksanakan solat Asar. Waktu ini dilarang kerana ia ‘menghadirkan’ pelbagai jenis penyakit seperti gila, sesak nafas, gelisah dan murung.

Oleh itu bagi mengekalkan kesegaran sepanjang hari, amalkan Qailullah.

Published by
Team Kashoorga