Satu-satunya Individu Bergelar Prof Diraja, Ini Kisah Ungku Abdul Aziz Yang Berjasa Pada Orang Melayu

Share

Al-Fatihah.

Semalam, negara dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid akibat sakit tua pada usia 98 tahun. Berita pemergiannya agak mengejutkan ramai pihak dari semua peringkat tertinggi hinggalah rakyat biasa.

Jasa dan pengorbanan Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid tiada tolok bandingnya dan akan sentiasa dikenang di minda dan hati setiap rakyat Malaysia seperti kata kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran di fbnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh akademik dan ekonomi yang unggul dan amat disegani.

"Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), institusi yang dekat di hati orang Melayu merupakan antara jasa besar yang ditinggalkan Allahyarham.

"Negara cukup merasa kehilangan atas pemergian Allahyarham. Bagi pihak kerajaan, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan besar Allahyarham dalam memperjuangkan dan memperkasakan bidang pendidikan, ekonomi dan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam," katanya malam tadi.

Perdana menteri berkata Allahyarham juga merupakan seorang pakar ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada pembangunan agama, bangsa dan negara termasuk dalam menangani isu kemiskinan di luar bandar.

Allahyarham adalah anak watan pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dan memegang jawatan itu paling lama iaitu selama 20 tahun sejak 1968.
Di bawah kepimpinan beliau (Allahyarham), Pusat Asasi Sains ditubuhkan yang menyaksikan kelahiran ramai doktor, jurutera dan profesional dalam kalangan anak tempatan, kata Muhyiddin.

"Saya dan keluarga berkongsi kesedihan seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang tersayang. Saya berharap mereka semua tabah menghadapi dugaan ini," kata perdana menteri.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia pada kira-kira 4 petang tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, pada 9.30 malam ini.


Di sebalik kisah diri Prof Diraja Ungku Aziz

Sekadar perkongsian, gelaran Prof Diraja diberikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kepada individu yang layak. Dan Prof Diraja Ungku Aziz adalah satu-satunya anak Melayu yang diberikan gelaran ini oleh Agong.

Allahyarham dilahirkan pada 28 Januari 1922 di Hampstead, England dan kemudian mendapat pendidikan di English College di Johor Bharu, Malay School di Batu Pahat serta pendidikan tinggi di Raffles College di Singapura.

Seorang tokong terbilang dalam bidang ekonomi yang diperoleh beliau pada 1951 di UM Singapura sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sama di Universiti Waseda, Tokyo tahu 1964. Allahyarham juga cukup terbilang dalam bidang pentadbiran, ahli akademik serta penulis yang cukup disegani ilmunya.

Allahyarham merupakan Naib Canselor Universiti Malaya yang pertama dan paling lama berkhidmat serta ahli ekonomi Melayu yang cukup disegani.

Allahyarham telah menulis lebih 50 buah buku mengenai masalah sosial dan ekonomi.



Keluarga ini sangat disegani baik allahyarham isterinya, mesra disapa Norazah Abdul Aziz atau Mak Ungku yang diangkat sebagai Tokoh Budayawan Negara selain anaknya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang juga bekas Gebenor Bank Negara.

Semoga roh allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Published by
almaswa Haji Che Ros