‘Saya bertuah kami dapat kekal hidup bersama hingga akhir hayatnya.’ Suami anggap Rohana Jalil wanita terbaik dalam semua aspek.
Terharu apabila seorang suami amat menghargai isterinya dan menganggap arwah adalah wanita terbaik sepanjang bergelar suami dan isteri.
Salam takziah buat suami dan seluruh keluarga allahyarhamah Rohana Jalil. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
Artikel Berkaitan:
Memetik laporan Harian Metro, suami allahyarham Rohana Jalil iaitu Jahangir Khan, 66, menyifatkan allahyarham isterinya sebagai wanita terbaik yang menjadi suri hatinya sehingga ke akhir hayat.
Menurut Jahangir yang juga pesara polis, keperibadian isterinya adalah terbaik walaupun mereka bersatu dari dua latar kerjaya berbeza, namun kekal hidup bersama selama 40 tahun.
“Apa yang saya boleh rangkumkan mengenai keperibadian arwah isteri, dia adalah terbaik dalam semua aspek. Saya bertuah kami dapat kekal hidup bersama sehingga akhir hayatnya.
“Walaupun kami sibuk dengan kerjaya masing-masing iaitu saya sebagai anggota polis dan dia penyanyi, namun kehidupan rumah tangga kami bahagia kerana sikapnya yang baik,” katanya.
Ditanya bila dia menyedari isterinya kurang sihat, Jahangir yang sudah enam tahun bersara menjelaskan bahawa dia mula menyedari hujung tahun lalu apabila melihat tubuh Rohana semakin kurus.
“Apabila melihat tubuhnya semakin susut dan kurus, saya ada mengajak arwah ke hospital untuk melakukan pemeriksaan, tapi dia menolak tidak mahu pergi dan memberitahu tiada apa-apa.
“Sehinggalah pada April lalu apabila dia sudah sakit, saya terus bawa ke hospital dan doktor memaklumkan arwah mengalami kebocoran usus. Selama dua bulan saya bersama anak-anak dapat menjaganya,” katanya.
Dalam masa yang sama, Jahangir juga bersyukur tiga anak perempuannya sudah boleh hidup berdikari.
Katanya, dia akan menghabiskan sepenuh masanya selepas ini bersama anak-anak.
Jenazah Rohana yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) jam 11.33 malam tadi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ2, di sini, jam 11.45 pagi, hari ini.
Baca Di Sini:
Bertuah Ibu Ada Anak Yang Baik, Beruntung Anak Dapat Berbakti Kepada Ibu Yang Tua & Uzur
Kashoorga: Semoga keluarga arwah tabah meneruskan kehidupan mendatang.
Sumber: myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.