Sesungguhnya, tidak ada manusia di muka bumi ini yang lebih besar jasanya kepada kita selain ibu dan bapa. Seorang ibu bersusah payah sejak anak dalam kandungan lagi sehinggalah anak itu dilahirkan. Kemudian ibu bapa mengasuh, membesarkan, mendidik dan mencukupkan segala keperluan. Semua itu dilakukan dengan tulus ikhlas dan dengan rasa penuh kasih sayang.
Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan ibadat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun, akan tetapi ia merupakan tuntutan syarak. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa dan hukumnya adalah fardu ain. Apabila dihukumkan fardu ain maka wajiblah berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Seperti nukilan di posting Wak Doyok, ikon fesyen ini menyatakan dia begitu bersyukur dan puas kerana dapat membahagiakan kedua ibu bapanya.
Alhamdulilah saya bersyukur yang teramat sangat kepada Allah hari ni saya dapat senyumkan, ketawakan, gembirakan ibu saya yang selama ini menjaga saya membesarkan saya menberi pendidikan akhlak yang baik untuk menjadikan saya insan yang berbakti kepada kedua ibu bapa saya. Tiada yang berharga dalam hidup saya ia adalah untuk membahagiakan ibu dan bapa.
BUKAN NAK MENUNJUK-NUNJUK
Ads
Saya bekerja siang dan malam mencari rezeki selama beberapa tahun saya usahakan dengan mengunakan nama saya iaitu Wak Doyok walaupon dicaci dihina dimaki disosial media. Matlamat saya adalah untuk keluarga saya selagi ibu saya masih ada selagi itulah saya terus menjaga dia. Saya bukan hendak menunjuk-nunjuk tetapi ini adalah hadiah saya sebuah rumah banglo saya buat khas untuk ibu saya yang berusia 76 tahun saya berilah sedikit keselesaan untuknya menikmati sisa-sisa hidupnya di rumah baru ini. Tuan-tuan mesti tahu yang saya dulu adalah orang yang sangat susah sekali rumah buruk retak seribu anai-anai berkampung disitu.
BERKAT DOA IBU BAPA
Betapa peritnya saya lalui liku-liku hidup untuk berada di tahap sekarang ini. Saya berjaya bukan saya menipu orang atau menjatuhkan orang lain. Saya berjaya atas berkat doa kedua ibu bapa saya selama ini tak putus-putus berdoa agar anak nya berjaya. Bukan untuk kaya raya tetapi sekadar hidup selesa di samping ibu dan bapa tercinta. Ini semua adalah hak ibu saya. Saya hanya menumpang sahaja. Akhir kata apa yang saya kerjakan selama ini adalah untuk ibu saya. Kekasih, bini Itu semua boleh dicari tak hari ni tak lusa. Tetapi ibulah hanya satu dalam sejuta. Sayangilah ibu kita kerana dia adalah kunci segala rezeki dalam dunia ini. Dialah amanah Allah untuk kita menjaga sehingga hembusan nafaz terakhir. ??
Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa seseorang anak akan dipandang hina dan tidak akan masuk syurga jika dia mencuaikan atau tidak berbuat baik kepada ibu bapanya yang sudah tua dan uzur.
Sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Ads
Maksudnya: ”Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina.” Baginda ditanya : ”Siapakah (yang hina itu) wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: ”Orang yang mendapati kedua ibu bapanya ketika mereka dalam keadaan tua sama ada salah seorang atau keduaduanya, kemudian dia tidak masuk syurga.”
(Hadits riwayat Muslim)
Hargailah ibu bapa kita kerana tanpa mereka, tiadalah kita di dunia ini.
Sumber: @Wak Doyok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sumbang mahram merupakan antara gejala sosial yang sering dikaitkan dengan anak muda. Lebih buruk lagi apabila hasil hubungan terlarang itu membawa kepada kelahiran anak tidak sah taraf. Statistik Kementerian Kesihatan pada tahun 2015 mendedahkan sebanyak 3,980 atau 28.8 peratus daripada 13,831 remaja berusia 10 hingga 19 tahun mengandung anak luar nikah.
Seakan isu yang tidak pernah surut, kes sumbang mahram ini terus-menerus berlaku dalam masyarakat kita. Terbaru melibatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bersekedudukan dengan kakak kandungnya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan di dalam tandas rumah mereka.
Amat menyedihkan apabila perkara terkutuk itu berlaku di kalangan adik beradik di dalam rumah yang dihuni oleh ahli keluarga. Persoalannya di manakah peranan ahli keluarga kedua-dua remaja ini? Tidakkah ibu bapa mereka memantau kegiatan anak-anak ini. Sepatutnya kejadian ini tidak harus berlaku jika ada pemantaun daripada kedua ibu bapa.
KES TERBONGKAR
Perbuatan sumbang mahram ini hanya terbongkar apabila kakaknya yang baru bersalin itu dibawa ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan. Si kakak dikatakan bersalin di dalam tandas. Kejadian tersebut disedari oleh ibu mereka selepas terkejut melihat ada bayi dalam mangkuk tandas.
Media sebelum ini melaporkan remaja lelaki berkenaan ditahan polis selepas mengaku mengadakan hubungan sumbang mahram dengan kakaknya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan di dalam tandas rumah mereka di Kampar, 15 Disember tahun lalu.
Tertuduh berusia 14 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dalam prosiding yang diadakan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan kakak kandungnya berusia 16 tahun. Hubungan itu tidak dibenarkan undang-undang, hukum agama dan adat untuk mereka berkahwin. Mana mungkin adik beradik kandung boleh berkahwin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah di Kampar antara Disember 2017 hingga Mei 2018. Namun apa yang mengejutkan ialah hasil soal siasat terhadap remaja perempuan itu mendapati dia mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan sumbang mahram dengan adik lelakinya pada Mei lalu di bilik belakang rumah mereka.
PERANAN IBU BAPA
Allahuakbar. Mengapa perkara ini harus terjadi. Bukan sahaja agama Islam menegah hubungan terlarang ini malah mana-mana agama pun tidak pernah membenarkan perlakuan sumbang ini berlaku.
Mana ibu bapa kedua-dua remaja ini? Mengapa tidak dipantau kegiatan anak-anak sehingga gejala maksiat boleh berlaku dalam rumah sendiri. Maka sebab itulah dalam Islam, anak-anak berlainan jantina perlu diasingkan tempat tidur mereka secepat yang boleh.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur: 58 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam 3 masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah 3 masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya.”
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menyediakan garis panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak dengan akhlak mulia seperti menghormati ibu bapa dan batas serta adab pergaulan antara anak dan ibu bapa sejak kecil. Pada masa sama, Islam membimbing ibu bapa supaya menjaga batas aurat terhadap anak supaya mereka tidak melihat sesuatu yang tidak baik daripada ibu bapa mereka.
Rasulullah SAW menganjurkan ibu bapa supaya mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur 7 tahun. Jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud).
Hadis ini menjelaskan Rasulullah SAW memberi garis panduan mengenai pemisahan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila mereka mencapai umur 10 tahun. Walaupun hadis ini mengenai pemisahan antara anak lelaki dan perempuan, namun ibu bapa perlu menghindari anak daripada tidur sebilik dengan mereka. Perkara ini menjelaskan bahawa kanak-kanak perlu dididik dengan pendidikan akidah, syarak dan akhlak sejak kecil supaya mereka tidak terpesong daripada ajaran Islam.
Antara tujuan Rasulullah SAW menganjurkan perintah itu untuk menjaga keharmonian dan maruah ahli keluarga. Di samping ia bertujuan mendidik anak dan batas pergaulan antara ahli keluarga supaya tidak berlaku perkara negatif seperti sumbang mahram. Tambahan pula dengan kemudahan teknologi yang ada pada hari ini. Oleh itu, wajarlah anak-anak dipisahkan dari tidur bersama ibu bapa, adik beradik lelaki dan perempuan lebih awal daripada usia 10 tahun.
FAKTOR BERLAKU SUMBANG MAHRAM:
*Pakaian anak perempuan. Anak perempuan tidak ditegur dari segi penampilan pakaian sama ada sesuai atau tidak dengan usia mereka.
*Batas pergaulan. Ibu bapa perlu memantau pergaulan antara anak lelaki dan anak perempuan agar jangan berlebihan. Usah biarkan hubungan anak-anak berlainan jantina terlalu rapat, contohnya boleh tidur baring menghadap televisyen bersama-sama.
*Pengaruh media sosial. Ini yang paling utama. Hadkan atau bataskan penggunaan akses gajet kepada anak-anak agar mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan medium tersebut untuk perkara-perkara negatif seperti pornografi.
*Aspek Sosioekonomi. Kebanyakan kes-kes sumbang mahram yang dilaporkan melibatkan keluarga yang mempunyai tahap ekonomi yang rendah. Keadaan rumah yang sempit seperti rumah flet/kos rendah di bandar dan pinggir bandar yang kekurangan bilik tidur menjadi alasan berlakunya perlakuan sumbang mahram antara adik beradik. Kedudukan rumah yang terpencil dari masyarakat sekeliling dan jiran tetangga juga menjadi salah satu faktor sumbang mahram di dalam sesuatu keluarga mudah berlaku.
Agar gejala sumbang mahram ini tidak terus berlaku dan menjadi barah dalam masyarakat maka institusi kekeluargaan perlu memainkan peranan menangani isu ini. Ibu bapa perlu bersikap tegas dalam mendidik anak-anak kerana ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak.
Sumber kredit: FB: Datuk Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah dan Harian Metro
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Dalam usia yang masih mudalah seseorang individu itu harus mempunyai target dan wawasan demi membina masa depan. Kata pepatah, Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Ketika usia masih muda, kita perlu bijak merancang antaranya mengumpul aset.
Berikut perkongsian Amir Syahir di laman Facebooknya tentang matlamat yang perlu dicapai oleh anak muda sebelum usia 30 tahun.
Usia muda kita sangat berharga. Apa yang kita buat di usia muda akan memberi kesan kepada kita di usia tua kelak. Orang hipster dan urban macam kau cakap,
“Alahh, rilek la, kita muda lagi. Enjoylah puas-puas. Jom travel dulu. Tengok dunia”
Enjoy biar berpada-pada ye. Jangan berhutang sakan. Masuk umur 40 tahun mula la nak menyesal. Baru nak kenal erti penyesalan.
10 perkara di bawah bolehlah dijadikan sebagai panduan matlamat kewangan sebelum kau berusia 30 tahun:
1. Mempunyai Sumber Pendapatan Sendiri
Tak kiralah apa pun pekerjaan kau yang penting kerja yang halal dan sah di sisi undang-undang. Kau sudah ada kerja yang kau suka buat. Kau boleh hadapi tekanan kerja. Kau ada pendapatan yang baik dan tetap.
Apa yang penting usaha. Usaha cari pendapatan dan stabilkan keadaan ekonomi kau. Bukan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.
2. Menguruskan Wang Dengan Baik
Tidak kiralah apa pun kerja kau sama ada kau bekerja sebagai kejuruteraan pam minyak ataupun kejuruteraan cashier, kau mestilah sudah mahir menguruskan hal ehwal kewangan sendiri. Kau dapat bezakan yang mana kehendak dan keperluan. Kau tahu aliran keluar masuk wang kau. Tidaklah bila dapat gaji, duit kau terus pupus tak tahu ke mana.
Buat bajet kewangan. Bila dah dapat gaji, rancang apa yang perlu dibayar, apa yang perlu dibeli dan sebagainya. Barulah kewangan kau akan lebih terurus.
3. Mempunyai Tabung Simpanan
Mempunyai beberapa tabungan. Buatlah tabung simpanan, tabung kecemasan, tabung pelaburan, tabung umrah, tabung percutian dan pelbagai tabung untuk kegunaan kau. Tabung/dana kecemasan ini sangat penting disaat kita menghadapi ujian atau masalah. Sediakan tabung kecemasan sekurang kurangnya 3-6 bulan gajil kau.
Kalau kau tak dapat simpan banyak, cubalah simpan dengan nilai yang sedikit terlebih dahulu. Asalkan menyimpan.
4. Membeli Sekurang-kurangnya Sebuah Rumah Sebagai Aset
Membeli sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai aset. Ya. Rumah. Sudah mula bekerja sila setkan minda membina tabung untuk membeli rumah.
Jika kau membeli rumah sebelum umur 30 tahun, ansuran bulanan menjadi rendah disebabkan boleh ambil tempoh pembiayaan yang panjang. Rumah mahal? Tak mampu simpan untuk deposit rumah? Teruskan menggali ilmu hartanah ni. Jangan duk main Facebook je.
5. Mempunyai Pelan Pelaburan
Melaburlah dengan bijak. Jauhi skim cepat kaya, skim yang membawa keuntungan cepat. Realiti kekayaan tiada jalan pintas. Kalau berjaya kaya cepat pun, tak kekal lama. Banyak pelaburan di Malaysia yang dijamin kerajaan contohnya ASB. Simpan di tabung haji pun boleh juga asalkan tetap dan berterusan dan lebih 10% gaji setiap bulan.
Keupayaan melabur sebenarnya bergantung kepada keupayaan kau mengawal kehendak diri sendiri. Jangan cakap tak mampu sebelum mencuba. Tak mampu melabur banyak, melaburlah dalam nilai yang kecil terlebih dahulu.
6. Mempunyai Perlindungan Pelan Takaful
Kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai. Jadi, sediakan tabung untuk membiayai masa kau sakit nanti ataupun ditimpa kemalangan. Ambil takaful masa muda. Takaful itu penting.
7. Memiliki Kenderaan Bersesuaian Dengan Kemampuan Gaji
Beli kereta tak salah. Yang salah adalah membeli kereta tidak sepadan dengan gaji. Gaji ciput tapi beli Honda City susah la. Habis separuh gaji buat bayar ansuran kereta. Nak makan pun duk pinjam kawan. Makan megi takpe, janji kunci kereta ada huruf H.
Ukur baju di badan sendiri. Beli kereta yang bersesuaian dengan pendapatan kau. Ini tidak, tak nak kalah dengan kawan yang pakai Honda City. Tengok la dulu. Gaji dia berapa dan gaji kau pula berapa.
8. Belanja Mengikut Kemampuan
Tak perlu bergaya hidup mewah sekadar nak menunjuk ke kawan-kawan kau. Padahal dalam bank kau simpanan tak sampai empat angka pun. Just be yourself. Belanja dan bergaya ikut kemampuan kau.
9. Bebas Daripada Hutang Jahat
Kau bijak memilih untuk berhutang. Kau tak berhutang demi perkahwinan yang gilang gemilang, kau bijak menolak hutang iPhone XS, kau tak buat hutang sofa dekat Courts. Jauhi hutang peribadi untuk perkara-perkara yang tidak penting.
10. Mula Membina Keluarga
Saya percaya dengan adanya keluarga, kau mampu berubah daripada tak reti uruskan kewangan jadi orang yang reti uruskan kewangan. Sebab kau ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Isteri, anak-anak, mak dan ayah.
Ye la, lagipun ada seseorang yang boleh membantu kau dan memberi kau sokongan. Carilah teman yang membuat kau bahagia. Senyuman dia kebahagiaan kau. Cewah. Sesungguhnya perkahwinan itu membuka banyak pintu rezeki.
***
Tak cukup 10? Boleh tambah ikut matlamat dan azam korang. Yang penting kau kena ada target dan matlamat yang jelas, barulah kau boleh merancang kau punya pelan tindakan.
Kau tu berapa tahun lagi nak masuk umur 30? Tak sedar-sedar lagi ke? Masih duk konfius nak travel ataupun beli rumah? Kah!
Sumber kredit: FB: Amir Syahir
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Tidak dapat digambarkan bagaimanakah perasaannya apabila terpaksa ‘melepaskan pergi’ ibu yang amat disayangi. Bayangkan jika kita ada hanya tiga hari untuk bersama ibu lalu terpaksa menerima hakikat bahawa wajah itu akan ‘pergi’ buat selama-lamanya.
Ikuti luahan seperti yang tertulis di laman muka buku Suhaili Baharudin.
Beberapa tahun lepas sejak arwah mak sakit beria bila payudara yang dah dibuang sebelah akibat kanser melarat pula ke sebelah lagi, kami 3 beradik mula berkampung di hospital putrajaya.
Bergilir-gilir lah kami waktu itu mengikut shift masing-masing. Kebiasaannya Kak Eli kena shift malam sebab masa itu Malaeka masih belum sekolah jadi esoknya tak perlu kalut macam adik beradik yang lain.
Bila weekend dapatlah Kak Eli shift pagi, rotate semula jadual dengan kakak dan abang. Yang penting arwah mak tak pernah ditinggalkan seorang diri dalam wad walaupun dalam 1 wad tu ada 3 pesakit lain.
ADA TIGA HARI SAJA LAGI
Ada satu pagi tu, Kak Eli tiba di wad dan kebetulan ada doktor perempuan yang baru keluar dari bilik mak. Dia tarik tangan Kak Eli dan bawa ke sudut dinding.
‘Saya nak beritahu ni, mak awak cuma ada 3 hari saja lagi. Beri dia makan apa dia nak makan, bagitahu saudara mara dan kawan-kawan dia, saya nak awak dan adik beradik awak ready.’
Awak, awak dan awak, Andai ditoreh pipi Kak Eli waktu tu memang rasanya takkan keluar darah. Lembik dan longgar terus lutut dan rasanya kalau tak kawal mungkin Kak Eli dah rebah kelantai.
Ingin sekali Kak Eli tampar muka doktor waktu itu. How dare you, how could you say that to my mother?
Tapi Kak Eli berterima kasih pada doktor tu sebab sebenarnya dia sudah memberi hint pada kami adik beradik yang kami hanya ada 3 hari saja lagi untuk berbakti untuk mak.
Hanya ada 3 hari untuk mengisytiharkan dan mempersembahkan cinta yang paling tulus kepada mak.
Kak Eli masuk bilik wad mak dan mak tersenyum ceria seperti biasa. Kak Eli tenung dia, this is the moment when a word doesn’t come to me.
Kelu.
Mak masih ceria, tanya mana Malaeka? Tanya itu ini dan tiada langsung pernah mengeluh dan menyatakan sakit.
Kak Eli bagitahu ada barang tertinggal dalam kereta dan nak ambil sekejap. Sampai saja di parking kereta terus Kak Eli meraung bagai nak gila disitu.
Telefon adik beradik dan kami pakat menangis bersama-sama dan semua nekad takkan ada shift dah selepas ini. Semua adik beradik mesti ada disisi mak pada waktu genting begini.
Naik semula atas, makcik di sebelah katil mak dah beberapa hari tak sedar, bergantung pada oksigen sepenuhnya. Anak perempuan beliau setiap hari tanpa gagal menemani mak dia tu.
Tapi waktu tu, dia sibuk baca suratkhabar di sebelah mak dia. Mak Kak Eli toleh pada katil sebelah dan tegur perempuan tersebut.
‘Adik cuba tengok mak tu, makcik rasa mak tu dah tak ada.’
Ringkas saja ayat mak, dan perempuan tu bingkas panggil mak dia.
‘Mak, mak, makkkkkkkk!!!’
Dia jerit pada nurse dan bila mereka datang doktor sahkan mak dia baru saja meninggal, waktu dia sedang leka membaca suratkhabar.
Betullah ajal itu tidak kita sangka dan kalau bukan rezeki kita dapat mengadap saat-saat terakhir kematian ibu bapa kita, memang takkan dapat walaupun kita hanya di sebelah.
MASIH SEMPAT BERSEDEKAH
Berpuluh tahun mak bekerja di hospital, sedikit sebanyak pengalaman mematangkan dia. Mak minta Kak Eli ambil handbag dia dan keluarkan duit untuk sedekah pada perempuan tu.
Mak, mak tau tak doktor cakap mak ada 3 hari lagi dan mak masih tak lupa nak bersedekah jariah waktu ini?
Tak, Kak Eli dan adik beradik sikitpun tak berbunyi pasal ni. Kami buat macam biasa saja.
Malam tu mak kata dia sakit belakang, dia suruh panggilkan doktor dan doktor ambik darah dia dari belakang bahu.
Doktor tu termenung lama kemudian dia cakap ‘saya minta maaf ya opah, saya tak dapat nak bantu opah. Tak mampu nak legakan opah’
Kak Eli masih ingat nama dia. Doktor Lisa.
Semua doktor yang merawat mak bahasakan diri dia sebagai opah sebab mak is over peramah. Dan para doktor memang selalu bagi special treatment pada emak walaupun sibuk.
Mak kata ‘eh tak apa doktor. Ini pun opah dah lega sangat. Terima kasih ya.’
Kak Eli dan adik beradik meraung lagi di belakang dia.
Hari kedua dan ketiga, mak dah kerap penat. Saudara mara dan kawan-kawan mak penuh setiap masa datang melawat sampai mak tak boleh nak tidur. Dia masih gagah melayan bersembang dan tersenyum.
Malam terakhir dia mintak morfin dose tinggi sebab nak berehat. Tapi waktu itu malaikat maut mungkin sudah menyapa, menunggu masa untuk mencabut nyawa. Mak tak boleh nak lelap.
“ANAK-ANAK MAK TAK ADA DOSA DENGAN MAK”
Esoknya pukul 11.32 malam mak pergi selamanya sambil menyebut Allah Allah Allah tanpa henti. Setelah kami teresak-esak meminta ampun bergilir-gilir setiap seorang dan mak jawab,
‘anak-anak mak tak ada dosa dengan mak. Kenapa menangis, janganlah menangis’
Betul kata doktor, Mak cuma ada 3 hari saja didunia yang fana ini. Meninggalkan kami terpinga-pinga tetapi sudah bersedia.
Kak Eli ingat lagi selepas itu kami berpeluk 3 beradik dan menangis teresak-esak sehingga makcik yang kanser leher didepan katil mak menenangkan kami.
Makcik tu tak boleh bercakap dah, tapi dia guna isyarat tangan.
Sungguh, kematian itu satu perkara yang hebat dan besar. Ia mengubah kehidupan kita yang masih didunia ini dengan sakit merindu.
Kak Eli memilih untuk berhenti kerja, tinggalkan rumah sendiri di kota damansara begitu saja dan balik ke jerantut supaya dekat dengan kubur mak.
Dengan harapan bila duduk dirumah dia ni dapatlah melepaskan rindu bila tengok tombol pintu bilik dia, tengok pokok orked dia. Apa sajalah yang dia tinggalkan.
HADIRNYA AMANDA SAFIYA SEPERTI JELMAAN ARWAH MAK
Sakit merindu yang takkan surut sambil merenung dosa yang segunung banyaknya pada mak, dengan air mata yang tak pernah kering tiap kali terkenangkan dia, Allah hadirkan Amanda Safiya.
Dia lahir genap setahun selepas mak pergi, di tarikh yang sama mak pergi, di jam yang hampir sama mak pergi, dan mewarisi rupa paras mak serta kelakuan.
Keduanya sangat membahagiakan.
Amanda lahir selepas genap setahun arwah mak pergi. Dan dia mewarisi banyak persamaan dengan mak.
Sama rupa paras dan warna kulit, sama peramah, sama terlebih mengambil berat pada orang lain, sama berhati tisu, sama bila part membebel sampai sakit rasa telinga ya ampun.
Ya Amanda adalah seperti jelmaan arwah mak.
Tuhan ambil satu dan kemudian dia gantikan dengan yang hampir sama dalam versi berbeza. Bagai disusun cantik semua percaturan tuhan untuk Kak Eli. Sesungguhnya Dia maha baik.
Dan kami abadikan nama dia seakan nama arwah mak.
Bila jiran-jiran tengok Amanda mereka akan kata eh sama rupa arwah kak Piah. Maka semua pakat panggil Amanda kak Piah dan makcik Piah.
Ajaibnya si Amanda ni menyahut la pulak.
Lahirnya dia adalah kesyukuran dan dalam masa yang sama akan sentiasa ingatkan Kak Eli dan adik beradik bahawa tarikh inilah arwah mak pergi meninggalkan kami jauh ke negeri kekal abadi.
Semalam Amanda ingatkan Kak Eli yang dia nak kek untuk dibawa ke sekolah dan party dirumah lengkap pinata tema pj masks.
Kamu fikir mak ada masa untuk sakit kepala?
Tapi suami kata layan kan sajalah sebab bila dia dah tahun 1 nanti mesti dia jadi macam Malaeka, malu nak buat party bagai. Dah besar kan?
Untuk anak kedua mommy Amanda Safiya yang cantik rupawan lagi bijaksana,
Selamat hari lahir yang ke 6. Semoga akan datang kamu istikhomah dan yakin dalam segala hal untuk menyonsong hari depan. Kamu mempesona dan sering membuatkan kami tenteram hati.
Semoga kamu sentiasa mengucap syukur saat melihat langit. Dan tuhan memang selalu menyusun jalan yang terbaik untuk kita tanpa kita sedar.
Ya Allah, berilah aku dari sisi Mu anak-anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar Doa.
Kepada yang masih ada emak, berbaktilah sehabis daya seolah esok hari terakhir kita bersama dia.
Sumber kredit: Suhaili Baharudin
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana dipenuhi dengan keberkatan dari Allah SWT.Pada bulan ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga dan ditutup...