Ramai pihak turut turun membantu barisan pejuang hadapan atau frontliner kita dalam usaha menentang wabak penularan virus COVID-19 ini.
Jika bukan dari segi wang ringgit atau tenaga, ada sumbangan lain yang boleh diberikan kepada mereka yang dikatakan bekerja siang malam untuk kita.
Dalam ha ini pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill mengambil inisiatif memulakan projak amal menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan jururawat serta petugas barisan hadapan di hospital.
Menurut beliau usaha ini perasaan simpati melihat petugas hospital yang terpaksa menjahit PPE mereka sendiri berikutan keperluan sedia ada tidak mencukupi sedangkan mereka bergelut tanggungjawab merawat dan menyelamatkan pesakit.
Tambah Radzuan lagi,setiap hari beliau mampu menyiapkan 50 pasang jubah luar PPE sejak memulakan projek itu sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dengan bantuan rakan seorang doktor yang bertugas di Hospital Serdang.
“Rakan saya memberi maklumat mengenai ukuran, material dan maklumat pembekal. Sehingga kini, lebih 200 pasang sudah disiapkan dan saya mahu menghasilkan 1,000 atau 2,000 pasang jubah luar, topi dan tudung untuk diberikan kepada petugas yang memerlukan.
“Saya juga berharap rakan (pereka fesyen) lain atau sesiapa saja dapat membantu menjahit PPE ini kerana saya difahamkan setiap hari di Hospital Serdang dan Hospital Sungai Buloh mereka memerlukan 400 helai berikutan ia adalah pakai buang,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau yang sebelum ini banyak menghasilkan rekaan untuk golongan kenamaan dan songket untuk pemimpin dunia berkata sudah membelikan tiga gulung kain yang mempunyai kira-kira 3,000 meter material non-woven untuk díjait menjadi PPE.
“Material ini sama jenis yang digunakan petugas hospital iaitu bahan kalis air, seperti kertas dan plastik. Jadi setiap hari saya berhasil menyiapkan 50 pasang dengan jubah dibuat dalam pelbagai saiz dari S hingga XL.
“Sayu melihat jururawat yang terpaksa menjahit sendiri sedangkan mereka tidak cukup rehat, kepenatan dan tugas itu bukan sepatutnya mereka lakukan.
“Jadi apa salahnya, saya guna kemahiran dan kepakaran yang ada dalam membantu mereka,” katanya lagi yang turut berharap agar lebih ramai pereka dan tukang jahit dapat sama-sama melakukan projek ini sekaligus memberikan sumbangan untuk petugas barisan hadapan memandangkan bekalan untuk memperoleh PPE tidak mencukupi.