Sebak Lihat Anak Kecil Kutip Makanan, Ella Dan Suami Terharu Diberi Peluang Jejak Kaki Ke Bumi Syria

Share

Menerusi Harian Metro, Ella memberitahu hatinya terdetik untuk menyertai misi ini selepas menonton satu video kanak-kanak mengutip makanan dengan hanya berbaju nipis ketika waktu sejuk pada tahun 2013

Niat untuk menyertai misi kemanusiaan sudah lama dipendam Ella. Harapan itu mulai tersimpan sejak lapan tahun lalu, namun kekangan masa dan jadual padat membuatkan penyanyi popular ini sering terlepas peluang berkenaan.

IKON KEMANUSIAAN

Ella dan suaminya, Azhar Ghazali telah dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan oleh Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB). Ella akhirnya berpeluang memenuhi impian berkenaan hujung bulan ini bersama suaminya.

Pasangan itu bakal mengikuti misi melawat kem pelarian warga Palestin dan Syria di Lubnan pada 26 sehingga 30 April ini.

Dalam satu posting di Instagramnya, Ella mengajak para peminatnya dan seluruh netizen untuk menderma.

As salam .. jom sama sama kita menderma 1 ringgit atau seikhlas kita untuk saudara mara kita, moga bekalan kita berkat di sana nanti .. Insyaallah amin yra .. thank you everyone.

Ella berkata, misi kemanusiaan KKB untuk pelarian Palestin dan Syria kali ini membabitkan beberapa kem antaranya di Beqaa, Aakar (kem Syria) dan Beirut (kem Palestin).

“Kami ingin berkongsi kebahagiaan yang ada di Malaysia dengan mereka. Sudah lama saya mahu melihat sendiri kesengsaraan mereka dan datang ke tempat mereka memberikan sumbangan, tetapi belum ada rezeki.

TERSENTUH LIHAT NASIB ANAK-ANAK KECIL

“Niat itu timbul apabila terlihat sebuah video mengenai kanak-kanak yang mengutip makanan dan kesejukan kerana hanya memakai pakaian nipis kira-kira lapan tahun lalu.

“Saya terus bungkus baju sejuk saya tanpa mengira jenama dan kemudian dermakan pada 2013. Saya terfikir, kalau itu keluarga kita pasti kita akan tolong sehabis baik dan walau apa jua cara sekalipun,” katanya.

Sebagai selebriti, Ella menyeru rakyat Malaysia untuk memberikan sumbangan bagi meringankan beban insan yang memerlukan di kem pelarian berkenaan.

Sementara itu, Azhar berkata, sebelum melawat kem berkenaan, mereka harus kuat tidak hanya pada fizikal, tetapi juga mental dan emosi.

“Apabila kita bercakap mengenai kem pelarian, sudah pastilah keadaan di sana teruk. Tanpa tempat tinggal yang sempurna, kekurangan makanan serta perubatan. Tahap kebersihan juga pastinya tidak berada pada tahap yang baik.

SUDAH BERSEDIA HADAPI CABARAN

“Jadi, kami harus dalam keadaan sihat ketika berada di sana. Mental dan emosi juga perlu kuat. Saya yakin, kehidupan mereka dalam serba kekurangan mampu meruntun jiwa mana-mana individu,” katanya.

Sedang merangka aktiviti yang boleh dilakukan bagi menghiburkan pelarian di sana, kata Ella, dia sempat bertemu dengan Fara Fauzana, Jihan Muse dan Zara Zya bagi berkongi tip dan pengalaman mereka sepanjang berada di Palu, Indonesia.

“Saya sempat lepak dengan mereka dan pastinya isi perbualan kami adalah mengenai misi kemanusiaan. Saya ada meminta nasihat dan tip daripada mereka apa yang perlu saya lakukan.

“Mereka memang banyak membantu dan memberikan maklumat serta berkongsi pengalaman. Saya teruja dan pada masa sama berdebar untuk menyertai misi kemanusiaan berkenaan,” katanya.

Menurut Ella, peranannya bukan sekadar menarik orang ramai menyumbang, tetapi juga memberikan kesedaran agar lebih ramai menjiwai dengan pergolakan dunia yang berlaku pada masa kini.

“Mungkin ada yang rasa cuma tidak ramai kerana kesedaran itu kurang. Mungkin ini salah satu cara saya untuk membantu iaitu dengan menyebarkan maklumat, sekali gus menyuntik rasa tanggungjawab,” katanya.

Sumber kredit: Harian Metro dan Ella Aminuddin

VIDEO KASHOORGA:

 

Published by
wan erni