Sebelum Hantar Anak Ke Pusat Tahfiz, Ini 5 Perkara Yang Ibu Bapa Kena Ambil Tahu

Share

Alhamdulillah semakin ramai ibubapa yang memilih aliran tahfiz untuk anak-anak. Sebenarnya elok jika ‘dikorbankan’ 3 hingga 4 tahun masa anak-anak  untuk mendalami Al-Quran yang bakal menolong ibu bapa sejak dari kubur hingga ke syurga.

Namun, sebelum menghantar anak-anak ke mana-mana pusat tahfiz, elok sekiranya kita periksa beberapa perkara antaranya:

ADAKAH ANAK KITA BERMINAT UNTUK MENGHAFAL

Tidak dapat dinafikan usaha menghafal Al-Quran penuh dengan liku-liku. Anak-anak perlu berminat dan JANGAN sekali-kali mereka dimasukkan ke mana-mana pusat tahfiz atas paksaan.

Anak-anak perlu didedahkan dengan dunia tahfiz seawal umur 7 tahun. Setiap hari, hadis-hadis fadhilat (dan antaranya fadilat Al Quran) dibacakan, agar mereka tahu kelebihan menjadi hafiz Al Quran.

Pada setiap cuti hujung tahun, mereka akan mengikuti program kem tahfiz supaya mereka didedahkan dengan kehidupan di madrasah tahfiz. Memang la susah nak pujuk mereka pergi kem, tapi pujuk la dengan sesuatu. Mungkin pujuk dengan pergi bercuti. Sekali sebelum pergi kem dan sekali lepas balik kem.

Alhamdulillah, dengan cara ini mereka yang minta dimasukkan ke Madrasah Tahfiz.

ALIRAN TAHFIZ MANA YANG SESUAI DENGAN MEREKA

Terdapat aliran tahfiz pondok/madrasah yang hanya mengajarkan hafazan dan fardu ain semata-mata.

Ada aliran yang mengajar akademik dan hafazan (maahad). Target yang tak membebakan, biasanya 6 juzuk setahun.

Ada aliran yang menekankan kecemerlangan hafazan dan akademik (MRSM Ulul Albab)

Ibubapa harus tahu aliran mana yang nak dipilih. Kelebihan dan kekurangan setiap aliran. Kaedah yang digunakan.

PUSAT TAHFIZ MANA YANG SESUAI UNTUK ANAK KITA

a) Jarak

Saya ada mendapat panggilan daripada seorang nenek yang cucunya berada di Johor, ingin memasukkan cucunya ke Madrasah Tahfiz Kg Sempeneh Batu Kurau, PERAK sebab katanya, dari perbincangan dgn kawan-kawan, bahawa madrasah ini sangat bagus.

Saya tegaskan, madrasah yang bagus adalah madrasah yang tak jauh dari rumah, sebab ibubapa perlu selalu menjengok anak-anak di madrasah. Jadi untuk kes ini, mungkin, lebih baik masukkan anak di madrasad sekitar Johor.

Bagi anak-anak di bawah umur 15 tahun, mungkin lebih baik belajar di pusat tahfiz yang agak tidak jauh dari rumah, agar senang nak menziarah. Dah besar, hantar ke luar negara pun tak apa dah.

b) Pusat Tahfiz

Pergi melawat pusat tahfiz yang kita nak hantar anak2 mengaji nanti. Bukan apa, tengok keadaan pusat tahfiz itu.

Sememangnya pengajian agama memerlukan mujahadah dan pengorbanan. Dengan susah payah, pengajian agama akan lebih mudah masuk.

Namun, kita kena ukur baju di badan sendiri. Tahap mana yang anak kita (dan kita sendiri) boleh tahan.

KOS PENGAJIAN

Pastikan yuran dan kos-kos berkaitan mampu untuk kita jelaskan, sebaik-baiknya sebelum masuk bulan berkenaan. Kesian pada anak kita, apabila kita tidak dapat jelaskan yuran bulanan mereka secara teratur. Ia akan memberi kesan pada pengajian mereka.

Pastikan sumber rezeki kita halal dan tiada syubahat.

NIAT DAN AMALAN KITA

Sebenarnya, inilah yang paling penting. Apakah niat kita?

Maulana Mansor, Mudir Madrasah Seri Petaling, meminta ibubapa yang menghantar anak-anak ke madrasah beliau untuk memasang beberapa niat, antaranya:

i) niat untuk beramal dengan ilmu yang bakal di pelajari
ii) niat mewaqafkan anak di jalan Allah sebagaimana keluarga Imran mewaqafkan Maryam a.s.

Ada yang menghantar anak ke pusat tahfiz kerana anak terlalu nakal, atau tiada harapan di bidang akademik dan lain-lain.

Betulkan niat kita.

Di samping itu, betulkan amalan kita. Kita kena belajar menjadikan suasana rumah kita persis suasana di madrasah.

Jangan kita tagih pengorbanan daripada anak namun kita sendiri tidak mahu berkorban untuk agama.

Apa pun, saya mengucapkan syabas kepada ibubapa yang ada terlintas untuk menghantar anak ke aliran tahfiz.

Ini adalah bukti, bahawa tuan/puan ada fikir dan risau serta bimbang tentang keadaan agama dan akhirat anak kita.

Semoga Allah memudahkan semua urusan kita

Semoga Allah menerima zuriat kita sebagai Penjaga Qalam Nya dan pewaris anbia

Sumber kredit: FB: Madrasah Aliyyah Tahfiz Al-Quran Khasiful Uloom

Published by
wan erni