
Masuk tengah bulan duit gaji yang berbaki tinggal cukup makan saja sehingga akhir bulan. Silap percaturan kena ikat perut sementara menunggu dua tiga hari gaji.
Tapi dalam keadaan diri yang sempit ini datang sahabat yang meminta bantuan kerana di rumahnya kehabisan beras dan anak-anak kelaparan. Dek kasihan walau tahu akan kesempitan kita memberikan jua sahabat itu wang.
Jika berada dalam situasi itu, yakinlah kepada ALLAH SWT dan percayalah ada ganjaran lain menunggu kita. Bahkan, ganjaran itu pastinya berkali ganda jumlahnya.
Dalam sebuah hadis direkodkan daripada Abu Hurairah: “Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”
Rasulullah SAW menjawab: “Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu.”(Riwayat al-Bukhari)
ALLAH SWT berfirman: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH SWT mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133-134)
Dalam hal ini Rasulullah mendidik kita agar sentiasa menyumbang biarpun saat kita memerlukan wang tersebut. Bahkan kesediaan kita menyumbang saat memerlukan menunjukkan kebergantungan jiwa yang tinggi kepada Allah.

Jadi usah resah meskipun ketika kesempitan kerana bersedekah sewaktu sempit itu adalah sebaik-baik perbuatan dan tentunya akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Sumber: Muhd Nasruddin
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Isteri Ambil Duit Nafkah Dari Suami Untuk Beri Kepada Ibu Setiap Bulan

Setelah berkahwin suami wajib memenuhi keperluan isterinya seperti makanan, minuman dan juga ubat-ubatan walaupun isterinya seorang yang kaya, mempunyai duit sendiri dan mampu menanggung dirinya sendiri.

Namun ada juga terjadi selepas suami melunaskan pemberian wang nafkah, isteri memberikan pula wang tersebut kepada ibunya setiap bulan. Ada suami yang tidak kisah tapi ada juga yang tidak reda dengan tindakan isteri itu.
Perlu diketahui bahawa bapa dan ibu mentua tidak termasuk tanggungan wajib suami. Memahami ini, maka tidak dibenarkan seorang isteri mengambil harta suaminya untuk diberikan kepada orang tuanya kecuali dengan izin serta keredaan suami.
Anak-anak kandung wajib menafkahi mentua
Sekiranya seorang isteri memiliki harta peribadi (bukan harta suami) dan dia memiliki harta yang lebih daripada keperluannya, maka wajib baginya untuk menafkahi kedua orang tuanya yang fakir.
Menafkahi kedua orang tua adalah kewajiban anak kandung, baik lelaki ataupun perempuan. Dan hal itu termasuk bentuk bakti kepada keduanya.
Ibnul Mundzir (318 H) berkata:
أجمع أهل العلم على أن نفقة الوالدين الفقيرين اللذين لا كسب لهما، ولا مال، واجبة في مال الولد…
“Telah sepakat ahli ilmu bahawa nafkah kedua orang tua yang fakir yang tidak memiliki penghasilan dan tidak memiliki harta adalah sebuah kewajiban pada harta seorang anak. (Al-Mughni: 8/212)
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah Radhiyallahu anha, Nabi ﷺbersabda:
إنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ، وَإِنَّ وَلَدَهُ مِنْ كَسْبِهِ.» رواه أبو داود.
“Sungguh sebaik-baik makanan yang dimakan oleh seseorang adalah dari hasil usahanya dan sesungguhnya anak dia adalah bahagian dari hasil usahanya.” (HR. Abu Dawud)
Hadis ini menerangkan bahawa orang tua memiliki hak atas harta anaknya. Maka boleh bagi keduanya untuk mengambil darinya. Tentu dengan beberapa syarat seperti;
(1) Mengambil sebatas yang tidak bermudarat bagi anaknya,
(2) Tidak mengambil harta yang berkaitan dengan keperluan anak,
(3) Tidak mengambil untuk diberikan kepada anaknya yang lain. Dan sebahagian ulama menjelaskan hal tersebut hanya diperbolehkan dalam keadaan ketika orang tua memerlukan saja.
Seorang anak kandung; lelaki atau perempuan wajib untuk menafkahi kedua orang tuanya apabila dalam keadaan berikut;
Pertama: Orang tua yang fakir dan tidak ada pekerjaan (sumber pendapatan)
Kedua: Keperluan anak adalah mencukupi dan memiliki harta yang lebih daripada keperluannya.
Akan tetapi telah terjadi perselisihan dalakalangan para ulama siapakah yang wajib menafkahi atau memberi belanja bulanan kedua orang tua apabila memiliki anak laki-laki dan perempuan.
Ibnu Qudamah (682 H) dalam Al-Mugni berkata:
وإن اجتمع ابن وبنت، فالنفقة بينهما أثلاثا، كالميراث. وقال أبو حنيفة: النفقة عليهما سواء؛ وقال الشافعي: النفقة على الابن؛ لأنه العصبة.
“Jika berkumpul anak laki-laki dan perempuan, maka nafkah antara keduanya dibahagi sepertiga bahagian seperti dalam warisan. Dan berkata Abu Hanifah: Nafkah atas keduanya sama. Dan berkata Syafi’i: Nafkah itu atas anak lelaki, kerana ia adalah Ashabah (Ahli waris yang bahagiannya tidak ditentukan).” (Al-Mughni: 8/219)

Maksud dari “antara keduanya dibahagi sepertiga bahagian seperti dalam warisan” iaitu kerana dalam warisan bahagian satu orang anak lelaki sama dengan bagian dua anak perempuan.
Misal orang tua yang memiliki seorang anak laki-laki dan seorang anak perempuan maka anak lelaki wajib memberikan nafkah dua pertiga bahagian dan anak perempuan sepertiga bahagian.
Apabila memiliki seorang anak lelaki dan dua anak perempuan maka nafkah dibahagi empat bahagian dua bahagian atas anak lelaki dan dua bahagian atas dua anak perempuannya. Dan begitu seterusnya.
Ini adalah yang wajib, akan tetapi sekiranya salah satu daripada mereka telah mencukupi nafkah orang tuanya maka gugur kewajiban nafkah atas saudara yang lain. Dan baginya pahala di sisi Allah Ta’ala. Atau semua sepakat dengan jumlah tertentu atas masing-masing mereka.
Wallahu ta’ala a’lam.
Sumber artikel : Konsultasi Syariah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
7 Adab Ketika Menziarah Wajib Pesan Pada Anak-Anak

Isi Kandungan
ToggleZiarah menziarahi sewaktu di perayaan ini memang satu amalan yang terpuji dan diharuskan dalam Islam.
Namun buat ibu bapa yang membawa anak bersama sewaktu menziarah saudara atau rakan sebaiknya turut mengajar mereka tentang adab berkunjung ke rumah orang.
Ia perlu supaya bila masuk ke rumah yang diziarahi anak tak terus melompat atas sofa, meminta minta duit raya dan sebagainya.
Tujuh adab yang dikongsi oleh saudara Taufiq Razif ini wajar dipesan buat anak-anak sebelum keluar.
#1- Jangan minta duit raya
Nak ziarah rumah boleh. Nak tawaf satu kampung pun boleh tapi bila masuk rumah orang,jangan sekali kali minta duit raya. Kita tak tahu keadaan ekonomi tuan rumah. Jadi, makan dan minum saja kuih muih yang tuan rumah hidangkan tapi ajar anak kita untuk tak meminta minta duit raya.
#2 – Jangan buka sampul duit raya di depan tuan rumah
Membuka sampul duit raya di depan tuan rumah dan menyebut jumlah duit adalah perbuatanyang memalukan dan tak beradab pada tuan rumah Ada orang mampu je nak bagi RM50 tapi ada orang, nak bagi RM2 pun mereka terpaksa menyimpan sepanjang tahun.
#3 – Jangan intai rumah orang
Kalau sudah ketuk 3 kali dan tiada respon, baliklah. Itu adab bertamu. Bila ketuk rumah orang pula, jangan berdiri betul betul muka pintu, ajar anak untuk berdiri di tepi pintu supaya bila pintu tu dibuka kita tak terus nampak aurat ahli keluarga tuan rumah.
#4 – Jangan masuk ke bilik tidur orang tanpa izin
Beritahu anak bahawa bilik tidur adalah tempat paling privasi bagi tuan rumah. Nak solat atau nak ke tandas sekalipun, kena minta izin dulu.
#5 – Jangan buka peti ais rumah orang
Ada orang mengadu kat saya haritu katanya ada anak anak tetamu datang rumahnya, buka peti ais dan minta macam macam makanan kat dalam tu. Sebagai tuan rumah, kita hargai dan muliakan tetamu tetapi sebagai tetamu, kena la hormat tuan rumah. Tak boleh biarkan anak kita sesuka hati meneroka rumah orang ni.

#6 – Jangan usik barang tuan rumah
Waktu raya ini ramai yang menghias kediaman dengan perhiasan termahal mereka. Pesan pada anak anak kita jangan usik barang orang terutamanya yang berkaca. Insya-Allah anak kecil pun boleh faham kalau kita ingatkan berkali kali.
#7 – Jaga kelakuan
Terutamanya anak kecil yang aktif dan suka berlari tu memang kita wajib pesan untuk beringat. Kalau anak tak boleh dikawal sangat, bawa anak keluar rumah supaya mereka boleh ‘channel’ energi mereka di luar tapi kalau kita sendiri tak yakin boleh kawal anak kita tu sebaiknya tak bertamu pun tak apa.
Bertamu tu SUNAT hukumnya tapi menjaga kelakuan anak daripada merosakkan barang orang itu WAJIB!
Sumber: Taufiq Razif
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hidupkan peribadi Qurani

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Al-Dhariyat, 51:56)
SUDAHKAH kita berinteraksi dengan al-Quran hari ini?
Pengalaman bekerja mengendalikan khidmat pelanggan dan komunikasi korporat di syarikat dahulu, menjadikan saya orang yang sibuk, sehingga jarang sekali saya menanyakan soalan tersebut. Walhal sebagai seorang Muslim, al-Quran sepatutnya menjadi way of life kita, menjadi ‘kunyahan’ dan dinikmati setiap hari. Hari ini, saya disedarkan saya sibuk kerana tidak membaca al-Quran setiap hari sedangkan dengan membaca al-Quranlah saya mampu menguruskan kesibukan saya dengan baik. Yang membuat saya sibuk selama ini adalah kerana tiadanya al-Quran dalam dada dan jiwa. Yang membuat saya sibuk sebelum ini adalah masa yang dipergunakan untuk mengejar cita-cita dunia dan wang ringgit serta harta.
Jangankan kepada orang yang sibuk dengan urusan kehidupannya sendiri kepada orang mukmin di tengah medan perang pun tetap diperintahkan agar membaca al-Quran sebagaimana firman ALLAH: “…Dia memberikan keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran, Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit, dan yang lain berjalan di bumi mencari sebahagian kurniaan ALLAH, dan yang lain berperang di jalan ALLAH, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, dan berikanlah
pinjaman kepada ALLAH pinjaman yang baik…” (Surah Muzammil, 73: 20)
Daripada terjemahan di atas saya belajar bahawa ada perintah dari ALLAH SWT untuk baca al-Quran dalam tiga waktu yang sempit iaitu ketika sakit, golongan yang berjalan di bumi mencari kurniaan ALLAH dan golongan yang berada di medan perang. Walaupun berjihad, mereka sentiasa akrab dengan al-Quran, apatah lagi buat diri kita yang sihat dan tidak berada di medan perang. Saya juga belajar orang yang berada di dalam dakapan al-Quran, tidak hanya diberi jalan kebaikan, petunjuk dan solusi tetapi al-Quran juga akan menguruskan hati kita, cita-cita dan hawa nafsu kita.
Jadikanlah al-Quran sebagai tabir rahsia alam dan pintu pembuka keberkatan hidup kita. ALLAH akan memudahkan segala urusan, Insya-ALLAH. Mintalah, nescaya ALLAH akan memberimu. Saya pernah melalui proses panjang untuk memotivasikan diri dan mencari cara bagaimana untuk bahagia berhadapan dengan kehidupan dan pekerjaan. Saya mencarinya di seminar-seminar besar yang dihidangkan oleh pakar motivasi luar negara, membaca buku tulisan Barat dan sanggup menghabiskan duit setiap bulan untuk hadiri seminar.
Secara tidak sedar kerangka fikir dibentuk oleh cara motivasi Barat
Ada kalanya terjerit-jerit, terlompat-lompat, berlaku percampuran lelaki perempuan dan motivasi yang bersifat sangat keakuan. Kebahagiaan fizikal dan material menjadi motivasi di dalam mencari kejayaan. Saya melukis pelan mimpi dan membiarkan ia masuk ‘menghantui’ saya. Ya, benar, ALLAH berikan. Namun, suatu saat saya berfikir, itukah tujuan utama hidup saya di dunia? Apakah sebetulnya yang ALLAH mahukan lewat
ayat-ayat-Nya?
ALLAH berfi rman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Al-Dhariyat, 51:56)
Maka benarkah apa yang saya lakukan selama itu telah memanifestasikan ibadah saya kepada ALLAH? Apakah tindak-tanduk atau ucapan saya melambangkan cinta yang diredai oleh ALLAH? Kerangka fikir saya tidak didasari oleh apa yang ada di dalam al-Quran, astaghfi rullah hal azim.
Persekitaran, rakan-rakan, bahan yang kita baca, kursus yang kita hadiri, sedikit sebanyak mempengaruhi cara kita memandang kehidupan. Berada dalam persekitaran yang mementingkan hubungan sosial atas nama networking atau material, mendorong saya untuk terpalit sama. Hati itu sangat mudah disentuh dan dikuasai oleh suasana yang kita diami. Ada waktunya terjadi pertembungan yang sukar dimengerti, kita keliru antara pertembungan dan kemahuan yang ingin diikuti. Hati inginkan apa yang terpampang di hadapan mata namun jauh di sudut hati yang paling dalam, ada yang kita cari.

Ketika bekerja di sebuah syarikat yang terlibat dengan aktiviti melobi projek dan entertainment, walau tidak terlibat secara terus, saya menjadi sebahagian daripada kumpulan berkenaan, menyaksikan ada garis agama yang dilanggar dalam usaha lobi melobi. Saat bekerja juga, ada waktunya tindakan kita begitu terpisah dengan agama. Ramai dalam kalangan ketua yang saya temui, mereka tidak berani untuk mengimplementasikan apa yang ada di dalam al-Quran ke dalam syarikat. Walaupun mereka memegang kuasa yang mampu merubah sesuatu. Di mulut, kita mengatakan yakin pada apa yang ALLAH gariskan di dalam al-Quran, namun dalam implementasi, kita sesungguhnya masih ragu-ragu. Justeru itu saya kira pentingnya kita wujudkan persekitaran atau ekosistem yang kondusif sehingga kita berasakan bahawa al-Quran adalah rujukan terpenting dalam kehidupan.
Pentingnya kita mengarusperdanakan al-Quran sehingga ia menjadi budaya atau cara hidup kita. Mulakan perubahan bermula daripada diri, keluarga dan jabatan kita sehingga persekitaran kita ikut berubah dengannya. Bersama-sama kita siapkan suasana dan diri kita untuk hidup dalam dakapan al-Quran, di rumah, di sekolah, di pejabat dan juga komuniti. Kerana inilah jalan yang indah dan teduh, saat jiwa terpaut dan berasa rindu kepada al-Quran.
Moga kita menjadi pencinta al-Quran yang hidup berlandaskan al-Quran; tidak membaca bahan lain sebelum membaca al-Quran, tidak berdebat tanpa wahyu di dalam kata-kata, tidak bertindak tanpa petunjuk wahyu dan sabda Nabi Muhammad SAW dan tidak juga merujuk kepada ilmuwan Barat yang hakikatnya mereka sendiri keliru menjalani kehidupan kerana ketiadaan wahyu dalam akal dan tindakan mereka. Moga kita menjadi manusia yang beruntung saat al-Quran menjadi penolong buat diri, keluarga dan ummah. Sama-sama lakukan perubahan melalui interaksi dengan al-Quran; baca, faham dan amalkan. Lakukan perubahan dengan apa yang kita mampu.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI