Kerohanian

Sedekah Ketika Kita Sendiri Dalam Kesempitan Adalah Sedekah Paling Besar Pahalanya

Share

Masuk tengah bulan duit gaji yang berbaki tinggal cukup makan saja sehingga akhir bulan. Silap percaturan kena ikat perut sementara menunggu dua tiga hari gaji.

Tapi dalam keadaan diri yang sempit ini datang sahabat yang meminta bantuan kerana di rumahnya kehabisan beras dan anak-anak kelaparan. Dek kasihan walau tahu akan kesempitan kita memberikan jua sahabat itu wang.

Jika berada dalam situasi itu, yakinlah kepada ALLAH SWT dan percayalah ada ganjaran lain menunggu kita. Bahkan, ganjaran itu pastinya berkali ganda jumlahnya.

Dalam sebuah hadis direkodkan daripada Abu Hurairah: “Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”

Rasulullah SAW menjawab: “Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu.”(Riwayat al-Bukhari)

ALLAH SWT berfirman: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH SWT mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133-134)

Dalam hal ini Rasulullah mendidik kita agar sentiasa menyumbang biarpun saat kita memerlukan wang tersebut. Bahkan kesediaan kita menyumbang saat memerlukan menunjukkan kebergantungan jiwa yang tinggi kepada Allah.

Jadi usah resah meskipun ketika kesempitan kerana bersedekah sewaktu sempit itu adalah sebaik-baik perbuatan dan tentunya akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Sumber: Muhd Nasruddin

 

Published by
Team Kashoorga