Semalam kita dikejutkan dengan pemergian Pendakwah Bebas, Ustazah Shadiya Abbas akibat sesak nafas di rumahnya.
Ternyata pemergiannya memberi kesan mendalam kerana ramai menganggap ibarat hilangnya sebutir permata dakwah yang sangat baik orangnya.
Malah rakan-rakan seangkatan turut mengucapkan takziah atas pemergian mengejutkan ini. Ustazah Shadiya Abbas sepeti teman dakwah lain turut rajin menyebarkan ilmunya secara di alam maya.
Malah arwah sempat menulis tazkirah terakhirnya sebelum itu sebelum dirinya di jemput Ilahi pagi semalam.
Dalam tazkirahnya Ustazah Shadiya Abbas berpesan kepada kaum Muslim agar tidak mengecam, menghina orang lain jika kita sayangkan Islam, Allah dan Rasulullah.
Ia adalah disebabkan rentetan video di mana pengakuan seorang bekas Muslim yang kini sudahpun menjadi pastor beragama Kristian.
Beliau menegur kita supaya tidak memberikan komen buruk (pada video berkenaan) kepada keluarga mereka sebaliknya berikan link supaya mereka dapat membaca mengenai kebenaran.
Tambahnya lagi perbuatannya saja yang membuat kita marah, tetapi jangan sampai mulut dan tulisan kita di media sosial menafikan rahmat Allah untuk orang yang diuji seperti ini. Malah katanya lagi selagi mereka bernyawa, selagi itu pintu taubat masih terbuka.
Sebelum mengakhiri tazkirahnya Ustazah Shadiya juga turut mengingatkan supaya kita berhati-hati dengan tulisan ditulis kerana disebabka tulisan sama ada Allah, Nabi dan Islam akan dicerca atau disebabkan kata-kata kita itu pencetus hidayah kepada orang lain.
*JANGAN MENGHINA, JIKA SAYANGKAN ALLAH*
Saya dapat satu video yg sedang tular mengenai pengakuan terbuka seorang bekas Muslim yang kini sudah pun menjadi seorang Pastor beragama Kristian.
Saya menonton video itu dan membaca beberapa komen. Namun tidak perlulah saya nyatakan semuanya di sini. Secara peribadi, saya melihat saudara itu dan keluarganya MASIH ADA PELUANG utk kembali ke jalan benar iaitu mengenal ALLAH dan RASUL dengan MAKNA yang BENAR dan BETUL.
Jika anda SAYANGKAN ISLAM, ALLAH dan RASULULLAH SAW… Tolonglah;
1. Jangan KOMEN BURUK tentang dirinya dan isterinya atau keluarganya.
2. Jika mahu komen juga, berikan kata-kata atau LINK utk mereka baca mengenai kebenaran yang mereka salah faham. Itu usaha kita. Dia nak terima atau tolak bukan kerja kita.
3. Elakkan daripada mencaci INSTITUSI AGAMA hanya disebabkan dia adalah bekas pelajar sekolah agama. Elakkan daripada forward cerita dia.
4. JANGAN LIKE posting mereka. Cukup anda komen “kami dah baca, anda perlukan pertolongan. Islam adalah agama yang INDAH.”
5. Doakan mereka dalam doa anda tanpa perlu menulis pada wall mereka. Doa yang rahsia lebih cepat makbul berbanding berdoa di facebook.
ADA Sahabat NABI yang pernah MURTAD. Kemudian mereka bertaubat dan menjadi pendokong paling kuat menyebarkan ISLAM. Ia tidak mustahil berlaku juga kepada saudara tersebut dan keluarganya.
Perbuatannya sahaja yg kita marah. Jangan sampai MULUT dan TULISAN kita menafikan Rahmat Allah utk orang yg diuji seperti itu. Selagi mereka bernyawa, pintu TAUBAT masih dibuka.
Begitu juga dengan seorang lelaki yg memakai nama IMAM TAWHIDI. Saya juga marah dengan dia kerana postingnya seperti seorang Munafiq! Hakikatnya MUNAFIQ skala bahayanya terhadap ISLAM lebih tinggi berbanding mereka yg Jelas KAFIR.
Berhati-hati dengan tulisan anda. Disebabkan tulisan anda, samada ALLAH, NABI dan ISLAM akan diCERCA…atau
Kata-kata anda menjadi PENCETUS HIDAYAH kepada orang lain.
ANDA PILIH!
Saudara Seislam;
Shadiya Abbas
Kuala Selangor.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Sentiasa Baca Al-Fatihah, Kursi & 3 Qul…” – Puan Sri Normala Kongsi Amalan ‘Kerohanian’ Kekal Sihat Diusia 56 tahun
Siapa yang tidak mengenali personaliti TV ini, Puan Sri Normala Samsudin yang cukup popular dalam dunia pengacaraan sekitar tahun 90-an.
Bukan sahaja dianugerahkan seraut wajah yang cantik, jelita, tetapi juga keperibadian yang sangat menarik.
Artikel Berkaitan: Baca Doa Ini Bila Dipuji, Untuk Elak Diri Rasa Riak, Ujub & Takabbur
Setiap kali melontarkan kata-kata ketika mengacara sangat yakin, malah beliau antara pengacara yang dianggap evergreen dan menjadi lagenda dalam dunia penyiaran.
Ramai dalam kalangan penyampai radio atau televisyen masa kini menjadikan dirinya sebagai idola.
Namun setelah berkahwin, beliau tidak lagi aktif dalam dunia pengacaraan dan memberikan sepenuh tumpuan pada keluarga. Tetapi aura personaliti ini memang sangat kuat.
Siapa sangka setelah lama tidak beraksi di kaca televisyen, kini beliau bakal muncul sebagai juri tetap untuk pencarian ikon wanita moden, Ratu Hijabista.
Rancangan ini yang julung kali mencari wanita berhijab yang berinspirasi serta boleh dijadikan contoh pada masyarakat.
Muncul sebagai tetamu dalam sidang media Ratu Hijabista semalam sempat bertanya perkembangan terkini beliau dan bagaimana rahsianya mengekalkan kesihan serta kecantikan walaupun sudah berusia 56 tahun.
Ternyata wanita kelahiran Segamat, Johor ini tidak lokek memberitahu aktiviti terkini dilakukan selain fokus sebagai juri tetap dalam program Ratu Hijabista ini.
Menurut Normala kemunculan semula dalam dunia penyiaran setelah sekian lama menyepi adalah dengan keizinan suaminya, Tan Sri Azmi Khalid.
“Sebaik terima tawaran ini (juri tetap), saya berbincang dengan suami untuk mendapatkan pandangannya. Namun, beliau memberi saya ‘lampu hijau’ untuk membabitkan diri .
“Ini kerana kata suami pembabitan saya dalam program itu atas tanggungjawab sebagai juri yang umpama seorang ibu juga.
“Apatah lagi, saya berpeluang berkongsi pengalaman bersama peserta,” katanya banyak mengisi masa senggang bersama keluarga di Perlis.
Artikel Berkaitan: Baca Berulang Kali Zikir Elak Diri Dari Maksiat, Manfaatnya Solat & Sedekah Confirm Tak Tinggal
Melihat kelembutannya, tapi beliau juga sebenarnya amat menggemari aktiviti hiking dan cycling dan akan melakukannya bersama rakan rapat di sana.
Ketika ditanya rahsianya mengekalkan kesihatan dan kecantikan diri walau sudah separuh abad, Normala memberitahu tiada rahsia atau ayat tertentu yang diamalkan.
“Apa yang kita baca setiap kali solat itulah yang saya amalkan. Cumanya saya juga kalau boleh setiap hari akan habiskan satu muka surat bacaan Al-Quran.
“Kalau tak dapat setiap hari, saya akan lakukannya setiap kali lepas solat Subuh, Maghrib atau Isyak.
“Dan antara ayat-ayat yang saya amalkan setiap masa dari pagi hingga ke malam, saya akan amalkan Al-Fatihah, ayat Kursi dan juga 3 Qul.
“Inilah amalan yang saya tak boleh tinggal. Saya juga turut berdoa agar segala urusan dipermudahkan Allah,” ujarnya yang turut mengamalkan solat jemaah terutama Maghrib dan Subuh bersama seluruh ahli keluarga di rumah.
Program Ratu Hijabista adalah hasil kerjasama di antara saluran Astro Prima dan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., pencarian ini menerima hampir 550 penyertaan secara online semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Artikel Berkaitan: Bacalah Doa Pengasih Surah Al-Insyirah Lepas Solat, Supaya Diri Sentiasa Dicintai & Disayangi Suami
Seramai 12 finalis telah disenarai pendek menerusi sesi saringan yang ketat untuk diserap masuk bagi penyertaan penganjuran musim pertama ini.
Menurut pengurus saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, pihak mereka menyambut baik penganjuran program ini bagi mengiktiraf potensi bakat luar biasa wanita di luar sana.
“Platform pencarian seumpama ini berupaya mewujudkan persekitaran positif sekaligus meningkatkan keyakinan setiap wanita,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media Ratu Hijabista yang bertempat di restoran My Elephant Thai, Kuala Lumpur.
Selain Normala sebagai juri tetap Ratu Hijabista, selebriti Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim akan bersama mengacarakan musim pertama program berkenaan.
Juara Ratu Hijabista akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara dan selempang.
Ratu Hijabista akan bersiaran selama lapan episod di saluran Astro Prima (saluran 105) pada setiap Rabu bermula 12 Ogos ini pada jam 9 malam.
Kredit Foto: Foto Nu Ideaktiv & IG
Kashoorga: Sempurnakan diri menjadi Ratu di sini
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
4 Adab Dalam Bergurau, Mufti WP Jelaskan #1 Tidak Melampaui Batas
Hari ini tular di media sosial berkaitan personaliti YouTube, Ryzal Ibrahim yang popular menerusi saluran YouTube Durian Kimchi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kaum Iban Sarawak.
Ia ekoran, Ryzal didakwa menghina pakaian tradisi masyarakat itu dalam Instagram Story semalam dengan menyamakan pakaian itu sebagai alas meja, alas TV, langsir dan selebihnya ketika isterinya mengenakan busana tradisi tersebut.
Berang dengan tindakan tidak sensitifnya, masyarakat Iban mula menyuarakan bantahan mereka dan menyifatkan pakaian itu jauh lebih mahal harganya (anggaran RM10,000 sepersalinan) dan bukan semua mampu memilikinya.
Ekoran hebat menerima kecaman kerana tidak sensitif dengan budaya pakaian tradisi, Ryzal membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Sarawak dan kaum Iban ekoran keterlanjuran kata-kata gurauannya itu dengan disangka menghina pakaian tradisional mereka.
Walau ia belum meredakan hati masyarakat Iban yang terguris, sebenarnya di dalam agama Islam, kita diajar untuk tidak bergurau secara sensitif hingga menguris hati pihak lain.
Dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada empat adab bergurau dalam Islam yang perlu dijaga oleh semua orang. Berikut adalah perkongsian adab bergurau. Apakah hukum berlawak jenaka di dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mukadimah
Hakikatnya, Islam sebagai panduan hidup manusia tidak pernah melarang manusia untuk berhibur dan berjenaka. Hiburan dan jenaka itu adalah fitrah tabiat manusia dan tanpanya kehidupan akan menjadi hambar, sedih dan kurang bermotivasi untuk hidup menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Kami nukilkan hakikat ini lewat kenyataan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram (ms.543) yang telah kami terjemahkan:
“Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al-Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan berman-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum…”
Kemudia beliau menyebutkan tentang sikap sebahagian para sahabat Nabi SAW yang terlalu takut untuk berhibur dan bergembira bersama keluarga kerana berhati-hati terhadap sifat munafik. Suatu hari, Hanzalah RA datang berjumpa Nabi SAW bersama Abu Bakar RA lalu berkata: “Hanzalah telah berlaku munafik wahai Rasulullah!” Baginda SAW menjawab: “Mengapa sebegitu?” Jawab Hanzalah: “Wahai Rasulullah! Apabila kami berada di sisimu, kamu sering mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, sehingga kami seolah-olah dapat melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi apabila kami meninggalkan majlismu, kami telah dilalaikan dengan anak dan isteri serta harta benda kami sehingga kami terlupa kepada peringatanmu itu.”
Maka jawab Rasulullah SAW:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي، وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ، وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً – ثَلَاثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Demi (Zat) yang jiwaku di Tangan-Nya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (yakni disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat perbaringan kalian dan di jalan-jalan kalian. Tetapi, wahai Hanzalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! – Rasulullah menyebut tiga kali” Riwayat Muslim (2750)
Ertinya, hanya para Malaikat yang memiliki tahap keimanan sedemikian rupanya yang dibayangkan Hanzalah. Mereka sentiasa bertasbih memuji Allah dalam setiap keadaan dan waktu. Sedangkan manusia ada masanya untuk belajar, beribadah dan mendengar peringatan. Ada juga masa untuk rehat dan tidur, dan masa untuk bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga, sedangkan malaikat tidak dijadikan sebegitu.
Rasulullah SAW berjenaka
Kenyataan sebelum ini disokong dengan perbuatan dan perkataan Rasulullah SAW sendiri. Ini boleh dilihat dalam kitab al-Syama`il al-Muhammadiyyah yang dihimpunkan oleh Imam al-Tirmidhi (w.297) Rahimahullah, antaranya kisah Rasulullah SAW dilaporkan pernah berjenaka dengan seorang wanita tua.
Daripada al-Hasan RA berkata: “Seorang wanita tuan bertemu dengan Nabi SAW lalu berkata:” Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.” Maka jawab Rasulullah: “Wahai Umm Fulan, Sesungguhnya syurga itu tidak masuk ke dalamnya orang tua.” Perawi menyatakan: Wanita itu lantas berpaling dan menangis lalu Baginda SAW meminta kepada para sahabat: “
أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لَا تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: {إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا}
Maksudnya: “Kalian beritahulah wanita itu bahawa dia tidak akan masuk ke dalam dalam keadaan tua kerana Allah Taala berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” (Surah al-Waqi`ah: 35-37)” Riwayat al-Tirmidhi (241) dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah.
Ertinya, Allah SWT akan menjadikan orang tua pun muda kembali apabila di dalam syurga.
Rasulullah SAW juga bergurau dengan kanak-kanak untuk menggembirakan mereka. Daripada Mahmud bin al-Rabi` RAnhuma:
عَقَلْتُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجَّةً مَجَّهَا فِي وَجْهِي وَأَنَا ابْنُ خَمْسِ سِنِينَ مِنْ دَلْوٍ
Maksudnya: “Aku ingat lagi sewaktu umurku lima tahun Nabi SAW pernah menghirup air daripada gayung menggunakan mulutnya lalu menghembuskannya ke mukaku.”
Riwayat al-Bukhari (77)
Berkata Imam Syihabuddin al-Qastalani (w.923) dalam Irsyad al-Sari Li Syarh Sahih al-Bukhari (1/177): “Perbuatan Nabi SAW itu adalah bertujuan untuk bergurau atau tabrik (mendatangkan keberkatan) kepadanya (Mahmud) sepertimana Baginda SAW selalu melakukannya dengan anak-anak sahabat.”
Begitu juga hadis daripada Anas bin Malik RA tentang Rasulullah SAW memujuk anak saudaranya Anas yang kematian burung peliharaan:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ – قَالَ: أَحْسِبُهُ – فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْر؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Aku (yakni Anas) memiliki seorang adik lelaki, yang Nabi memanggilnya “Abu `Umair”. Umurnya kira-kira baru tamat menyusu. Jika Rasulullah datang, maka Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu `Umair, apa yang Si Nughair buat?” (al-Nughair itu adalah) sejenis burung nughar (yang sedap dan bagus suaranya) yang Abu Umair biasa bermain dengannya.”Hadis riwayat al-Bukhari (6203)
Namun begitu, sekalipun Rasulullah SAW selalu bergurau dan berjenaka dengan para sahabatnya, beliau tidak menipu dalam bergurau. Daripada Abu Hurairah RA bahawa para sahabat pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Kamu sering bergurau (atau mengusik kami).” Jawab Baginda:
إِنِّي لَا أَقُولُ إِلَا حَقًّا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak berkata (dalam gurau) melainkan hanya perkara yang benar.” Riwayat al-Tirmidhi (1990) dalam Sunannya, dan beliau mengatakan hadisnya hasan.
Begitu juga kita lihat bahawa lawak dan jenaka Rasulullah SAW itu tidak bersifat sia-sia sebaliknya memiliki nilai dan pengajaran supaya lebih terkesan kepada hati dan kefahaman, sesuai dengan keperibadian Nabi SAW yang terpelihara daripada keburukan dan kebodohan. Itulah keperibadiaan yang paling layak dicontohi!
Etika Dalam Melawak
Justeru, terdapat beberapa kriteria yang perlu dijadikan pedoman ketika berlawak:
- Tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan
Al-Qaradhawi menyebut: “Maka tidak salah bagi seorang Muslim untuk bergurau senda dengan sesuatu yang dapat menenangkan hatinya, tidak salah baginya menghiburkan dirinya dan rakan-rakannya dengan sesuatu hiburan yang ringan. Akan tetapi janganlah sampai menjadi kebiasaan pada setiap masa ingin bergurau sahaja kerana akhirnya ianya akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara yang wajib sehingga dia bergurau pada waktu yang sepatutnya dia bersungguh-sungguh. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan:
اعطِ الكَلَامَ مِنَ المَزْحِ بِقَدْرِ مَا يُعْطَي الطَّعَامُ مِنَ المِلْحِ
Maksudnya: “Berikanlah bicaramu itu dengan sedikit gurauan, sekadar diberikan pada makanan itu garamnya yang cukup.”
- Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda.
Ini berdasarkan firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Hujurat: 11)
- Tidak Menipu Dalam Lawak
Daripada Bahz bin Hakim (bin Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi) berkata: Ayahku menceritakan kepadaku, daripada datukku, yang berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القَوْمَ فَيَكْذِبُ، وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ
Maksudnya: “Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya!”
Riwayat al-Tirmidhi (2315)
Syeikh Abu al-Ala al-Mubarakfuri (w.1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi (6/497-498) mensyarahkan hadis ini: “Wail bererti kecelakaan yang besar atau lembah yang dalam; li yudhika… yang daripada kata terbitan idhak (membuat orang tertawa); bihi yakni tertawa dengan perkataannya atau pembohongannya…. Mafhum daripada hadis itu bahawa jika seseorang bercakap dengan perkataan yang benar untuk berlawak dengan satu kaum maka tidak mengapa hal itu seperti mana yang berasal daripada kisah Umar RA bersama Nabi SAW tatkala baginda marah terhadap beberapa orang Ummahat al-Mu’minin (isteri-isteri Nabi). Berkata al-Ghazzali: “Justeru, perlu diketahui bahawa sisi jenaka Rasulullah SAW tidak berlaku melainkan dalam bentuk kebenaran, tidak menyakitkan hati, dan tidak juga melampaui batas.”
- Tidak mempermainkan syiar agama
Ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT seperti berikut :
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا
Maksudnya: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia. (Surah Al-An’am: 70)
Firman-Nya lagi:
الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْياَ
Maksudnya: (Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang Yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan Yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang Yang telah terpedaya Dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). (Surah Al-A’raf : 51)
Tafsiran ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam maqosid Islam yang dhoruriyyat iaitu menjaga agama. Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT seperti berikut :
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maknanya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa Yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia lah orang Yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.(Surah al-Hajj : 32)
Rujuk Al-Kafi #620 : Berlawak Menggunakan Syiar-Syiar Agama
Kesimpulan
Sikap berlawak jenaka adalah fitrah kehidupan manusia yang diciptakan sebagai masyarakat sosial. Islam tidak melarang aktiviti ini selama mana tujuannya adalah kebaikan yang diiktiraf Syarak dan tidak melanggar etika-etika yang telah ditetapkan. Masalah yang berlaku pada hari ini adalah apabila wujudnya lawak jenaka yang tidak berkualiti, yakni yang memiliki pengajaran dan nilai-nilai baik. Begitu juga lawak yang mengenakan orang lain sehingga mengaibkannya, menfitnah, menipu, dilakukan tanpa keizinan dan mencemarkan maruah dirinya dan kenalannya, sehingga menyebabkan masalah tekanan dan kemurungan, sekalipun pelakunya menyebutnya sebagai gurauan. Inilah yang ditegah oleh Islam kerana Islam meletakkan maqasid syariah itu untuk menjaga diri dan kehormatan seseorang manusia. Kesannya, membiaklah fenomena seni yang tidak berkualiti dan memalukan, budaya buli sama ada secara fizikal ataupun siber, dan lain-lain lagi.
Sebaliknya, daripada lawak jenaka yang bermanfaat, selain menghiburkan, audien akan dirangsang untuk berfikir dan mengambil pengajaran di sebalik lawak jenaka yang dibuat menyentuh dan mengkritik sikap dalam pelbagai lapangan hidup dan dengan pengajaran itu menerbitkan motivasi untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang. Ini jenis lawak yang berlaku dipromosikan mengganti lawak-lawak yang rendah kualiti. Justeru, kami mengatakan bahawa hukum berlawak jenaka adalah diharuskan dalam syarak selagi mana menepati kriteria-kriteria yang kami sebutkan di atas.
Wallahua’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Imam Pakai Baju Singkat & Nampak Aurat, Ini Hukumnya Yang Perlu Makmum Tahu
SOALAN:
Apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah semasa solat berjamaah. Ini kerana imam memakai baju t-shirt yang mana jika sujud, akan terdedah sedikit dari bahagian aurat. Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Umat Islam dituntut untuk menutup aurat ketika hadir ke mana-mana masjid. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ
“Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah (menutup aurat) setiap kali memasuki masjid.” [Surah Al-A’raaf (31)]
Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka solatnya tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya. [Rujuk: Al-Fiqh al-Manhaji (1/124), Al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 206)]
Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut. Justeru wajib bagi seseorang lelaki itu menutup bahagian ini dengan pakaian yang bersih dari najis di dalam solat yang didirikan. Sekiranya dibiarkan auratnya terdedah dengan sengaja maka solatnya adalah batal.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa salah satu daripada syarat sah solat berjemaah ialah makmum mestilah tidak mengetahui atau tidak meyakini bahawa solat imamnya itu batal. Sama ada batal disebabkan hadas, tidak menutup aurat, atau selainnya. [Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji (1/179)]
Justeru, sekiranya makmum tidak mengetahui yang solat imam terbatal disebabkan terdedahnya aurat, maka solat mereka adalah sah. Ini kerana dalam kes seperti ini, yang batal adalah solat imam manakala solat para jemaah yang menepati syarat dan rukun solat tidak batal. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُصَلُّونَ لَكُمْ، فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ، وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ
“Para imam solat memimpin kalian. Maka jika dia benar, mereka mendapat pahala dan kalian juga mendapatkan bahagian pahalanya. Namun apabila mereka salah, kalian tetap mendapatkan pahala dan mereka (para imam) mendapatkan dosa (atau kesalahan ke atas mereka).” [Riwayat Al-Bukhari (694)]
Penutup
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa sekiranya seorang makmum itu melihat aurat imam yang terdedah di dalam solat, dan dia risau sekiranya dengan menegur imam akan timbul tasywisy (kacau bilau) dalam kalangan jemaah, maka dia hendaklah mufaraqah (berpisah atau keluar) dari solat berjemaah tersebut. Namun hendaklah makmum tersebut menegur imam sesudah solat supaya imam memastikan pakaian yang dipakai semasa solat adalah menutup aurat.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI