Setiap hari kita mendengar perkembangan terkini virus pandemik yang kini melanda seluruh negara.
Malah disebabkan wabak ini juga Masjidil Haram masih belum dibuka kepada orang ramai.
Para saintis juga turut bertungkus lumus membuatkan kajian bagi mencari penawar terbaik untuk kesembuhan pesakit yang positif.
Dan kita juga sebagai umat islam tidak putus-putus berdoa agar Tuhan melenyapkan segera COVID-19 ini yang sudah membunuh ribuan manusia. Juga amalan solat sunat dan zikir yang diamalkan bagi melindungi diri dari wabak ini.
Pendakwah, Muhadir Joll, berkata orang yang beriman meyakini manfaat dan kemudaratan hakikatnya datang daripada Allah SWT.
“Orang beriman akan menempuhi ujian ini dengan bersabar dan menginsafi kelemahan serta kelekaan diri.
“Oleh itu, mereka berusaha menegah dan merawat serta menjauhinya dengan langkah kesihatan tertentu, termasuk mengikut garis panduan dan arahan kerajaan,” katanya kepada Ibrah.
Menurut Muhadir, antara amalan baik untuk diamalkan ketika menghadapi wabak COVID-19 ini adalah memohon perlindungan daripada Allah SWT dengan membaca Ratib al-Attas.
“Ratib berasal daripada perkataan rattaba yang bermaksud menyusun atau mengatur. Oleh itu, ratib sesuatu tersusun dan teratur dengan rapi.
“Ratib Al-Attas ialah amalan bacaan yang mengandungi ayat al-Quran, hadis Rasulullah SAW, zikir dan doa yang disusun Al-Habib Umar Abdul Rahman al-Attas.
“Di Hadramawt, Yaman, istilah ratib merujuk kepada bacaan ringkas yang dibaca dengan bilangan sedikit umpamanya 3, 7, 10, 11 dan 40 kali,” katanya.
Menurut Muhadir, membaca Ratib al-Attas bererti membaca rangkaian ayat, hadis, selawat, tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan doa yang ada di dalamnya dengan kesemuanya mempunyai pahala dan fadilat tersendiri seperti disebutkan dalam banyak hadis.
Katanya, Ratib al-Attas amat baik sekiranya dijadikan amalan rutin dan dibaca setiap hari. Justeru, tidak semestinya dibaca hanya ketika berlaku sesuatu bencana atau ujian.
“Melalui pembacaan Ratib al-Attas, akidah menjadi lebih mantap dengan syarat mesti difahami isi kandungan dan tujuan membacanya.
“Banyak kelebihan membacanya, termasuk sebagai pelindung diri, keluarga dan harta benda, selain diampunkan dosa serta kesalahan.
“Selain itu, antara kelebihannya termasuk ditunai dan dimudahkan hajat, dipanjangkan umur dan dikurniakan husnul khatimah (pengakhiran baik),” katanya.
Firman Allah SWT: “(Iaitu) orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan berzikir (mengingat) kepada Allah, hati akan menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
Muhadir turut menjelaskan tafsiran ayat itu oleh Imam Ibnu Katsir seperti tercatat dalam Tafsir al-Quran al-Azhim.
“Menurut Imam Ibnu Katsir, ayat itu bermaksud hati akan menjadi baik dan mudah menuju Allah SWT.
“Hati menjadi tenang ketika ingat kepada Allah SWT dan puas ketika menyakini hanya Dia sebagai pelindung dan penolong,” katanya.
Muhadir berkata, membaca Ratib al-Attas menunjukkan isyarat keyakinan hamba kepada kasih sayang Allah SWT terhadap makhluk, di samping kekuasaan dan kekuatan-Nya dalam memberi perlindungan kepada setiap hamba ketika mereka meminta.
“Keyakinan dengan keesaan, kasih sayang, keagungan, kekuasaan dan kekuatan hanya milik mutlak Allah SWT.
“Membaca rangkaian ayat, hadis, selawat, tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan doa yang ada dalam Ratib al-Attas ini khususnya dan di dalam ratib, wirid dan hizib yang lain umumnya, menjadikan hati tenteram,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kaedah bacaannya, Muhadir berkata, Ratib al-Attas khusus dibaca selepas waktu Isyak.
“Bagaimanapun, tidak mengapa jika dibaca pada waktu pagi dan petang, terutama sekali ketika menghadapi wabak virus sebegini.
“Ia boleh dibaca berseorangan, tetapi lebih baik jika dibaca secara berjemaah. Jika dibaca berseorangan, ia dibaca dengan suara perlahan atau tanpa suara untuk lebih merasakan kesan bacaannya di dalam hati, di samping lebih ikhlas,” katanya.
Muhadir turut memberitahu, jika ia dibaca dalam kumpulan atau secara berjemaah, maka hendaklah dibaca dengan suara sederhana, tidak terlalu kuat mahupun terlalu perlahan.
Katanya, amat rugi sekiranya keberkatan amalan Ratib Al-Attas ini tidak diamalkan oleh umat Islam yang sarat dengan pelbagai kelebihan ini tidak diamalkan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh.
“Disebabkan kemasyhuran dan keberkatan Ratib al-Attas ini, ia dibaca oleh hampir semua umat Islam di dunia termasuk di negara kita.
“Begitu banyak majlis pengajian atau acara keagamaan yang dimulakan dengan membaca Ratib al-Attas ini kerana keberkatan dan kemujaraban yang ada padanya,” katanya.
INFO Ratib Al-Attas
SUMBER: BERITA HARIAN