‘Selain ilmu perubatan, di dada tertanam senaskah Al-Quran.’ Bergelar doktor Al-Hafiz bukan untuk bermegah sebaliknya menjadi cabaran buat mereka untuk kekal mengingati Al-Quran.
Bukan kaleng-kaleng! Ramai golongan profesional sekarang bergelar Al-Hafiz.
Secara tak langsung mereka boleh menggunakan kelebihan mereka ini untuk menyebarkan dakwah dan tidak perlu terikat kepada gelaran ustaz atau ustazah sahaja.
Artikel Berkaitan:
‘Sudahlah Menghafal Al-Quran, Tulisan Pun Cantik.’ Bakal Doktor Al-Hafizah Terima 2 Anugerah JAKIM
Individu hebat ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ia paling tepat buat Dr Syazwan Basil, 29, doktor perubatan yang turut bergelar al-Hafiz.
Selain ilmu perubatan, di dadanya ‘tertanam’ senaskhah al-Quran yang dihafalnya bersama 30 juzuk, sejak 14 tahun lalu.
Malah, Dr Syazwan pernah menjadi imam rawatib termasuk imam solat Tarawih di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya selama lima tahun semasa menjadi penuntut perubatan.
Dr Syazwan yang bertugas di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita Dan Kanak-kanak Kuala Lumpur) berkata, dia mula menghafal kalam Allah SWT itu pada usia 13 tahun ketika belajar di Maahad Tahfiz Sains di Kelantan.
“Alhamdulillah, saya menamatkan hafalan 30 juzuk al-Quran pada usia 15 tahun. Kemudian, saya berpindah ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Selepas itu, saya mengambil persijilan tahfiz di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kuala Kubu, Selangor selama satu setengah tahun.
“Seterusnya, saya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Cyberjaya di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) selama lima tahun,” katanya.
Dr Syazwan berkata, sememangnya dia memiliki impian menjadi doktor perubatan yang bergelar al-Hafiz sejak kecil.
Pada masa sama, beliau mahu mengekalkan hafalan ayat suci itu sehingga akhir hayat.
Katanya lagi, tidak dinafikan, tugas sebagai doktor perubatan yang sentiasa sibuk, memberi sedikit cabaran kepadanya untuk mengekalkan hafalan atau mengulangi bacaan al-Quran dengan lebih kerap.
“Tetapi saya tidak pernah menjadikan ia halangan dan sebaliknya perlu bijak dalam menyusun jadual rutin.
“Selalunya, saya menggunakan masa di antara waktu solat Maghrib dan Isyak untuk mengulang bacaan al-Quran.
“Masa yang diperuntukkan kira-kira 10 minit untuk membaca empat muka surat al-Quran selepas solat fardu.
“Secara keseluruhan, saya membaca satu juzuk al-Quran sehari,” katanya.
“Proses membaca semula al-Quran pada masa ini menjadi lebih mudah kerana terdapat al-Quran digital dalam telefon pintar yang membolehkan saya membacanya pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Menurut Dr Syazwan, tugas hakikinya turut membataskannya untuk menjadi imam rawatib, seperti yang pernah dilakukannya.
Kata Dr Syazwan, ada kalanya dia mendapat undangan menjadi penceramah, biasanya di sekolah tahfiz yang mempunyai jurusan bidang sains tahfiz untuk perkongsian pengalaman seorang tahfiz al-Quran.
“Bergelar al-Hafiz bukan untuk bermegah tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk menjaga dan kekal mengingatinya.
“Apabila al-Quran sentiasa ada di dalam hati dan mengamalkannya, ia secara tidak langsung mendidik atau membawa kita ke jalan yang benar.
“Ilmu al-Quran dimiliki ini boleh dikongsikan kepada pesakit, terutama berkaitan dengan ujian kehidupan seperti ditimpa kesakitan,” katanya.
Baca Di Sini:
Katanya: Teruja bila melihat individu yang hebat ilmu dunia dan ilmu akhirat. Tahniah!
Sumber: Instagram Dr Syazwan Basil, myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.