Tidak khusyuk solat! Kerap kali dalam solat kita teringat akan sesuatu, tersasul membaca surah, ada juga terjadi kita tak ingat pun kita sepatutnya di rakaat ke berapa. Ini semua disebabkan kita tidak khusyuk dalam mendirikan solat.
Ada yang kata hanya orang betul-betul alim sahaja boleh sampai tahap khusyuk. Benarkah begitu? Sebenarnya kunci utama khusyuk ada pada diri kita.
Artikel berkaitan: Makruh Pejam Mata Waktu Solat, Tapi Lain Pula Hukumnya Kalau Tujuan Nak Lebih Khusyuk
Artikel berkaitan: “Orang Solat Yang Ke Neraka. Bukan Setakat Buat Settle Je”-Dai Luqman
Khusyuk dalam solat itu merupakan perkara mustahak untuk memberikan kesan yang baik secara efektif kepada kita yang mendirikan solat. Dalam hal ini, Allah Ta‘ala menggelar mereka yang khusyuk dalam solat sebagai orang mukmin yang berjaya.
Allah Ta‘ala berfirman:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
Maksud perkataan ‘Khusyuk’ ialah hati sentiasa hidup; tahu dan sedar apa yang sedang dilakukan. Manakala khusyuk dalam solat bermaksud menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam solat sama ada dari segi penghayatan bacaan dan perbuatan. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna. Untuk mendapatkan sebahagian ilmu agar khusyuk dalam solat, kita boleh praktikkan tip berikut.
Cara Khusyuk Dalam Solat:
Ketelitian dan penghayatan ini merangkumi surah yang dibaca dalam solat dan ayat-ayat al-Quran seperti takbir, tasbih dan doa. Cuba lah hafal dan fahami makna setiap ayat yang dibaca. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam solat.
Hati mestilah turut mengetahui segala apa yang kita baca. Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami dan mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat al-Quran yang dibacakan, terutama sekali al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut difahami oleh kita.
Serahkan seluruh jiwa raga dengan rasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud serta dipanjangkan tempoh masa rukuk dan sujud. Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud.” (Hadis riwayat Muslim)
Mengagumi dan mengagungkan kebesaran Allah SWT dalam seluruh jiwa dan raga. Memperakui kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam solat. Timbulkan rasa malu (Haya’) terhadap Allah SWT dan merasa takut (Khauf) kepada kekuasaanNya.
Sebaik niat untuk bersolat semasa berwuduk lagi, tinggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Hati perlu menghayati solat sepenuhnya, fokus dan mengosongkannya dari segala urusan yang boleh mengganggu dan tidak berkaitan dengan solat.
Perhatian hendaklah sepenuhnya dalam solat, tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali. Rukun-rukun solat perlu dilakukan secara tertib. Berusaha menumpukan perhatian (Khudunul Kolbih). Kita perlu sedar bahawa Allah SWT sentiasa memperhatikan solat kita.
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
Mata kita mesti sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta atau bersolat di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang solat itu dialihkan ke jari telunjuknya.
Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.
‘Thuma’ninah’ (ketenangan), maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti seketika ketika melakukan sesuatu ‘rukun i‘li’ (perbuatan) di dalam solat seperti rukuk, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.
Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “سبحان الله” (SubhanAllah). Maknanya, setiap pergerakan di dalam solat itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat atau dengan kelam-kabut tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda:
“Apabila kamu berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua solat kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kashoorga: Tidak perlu menunggu untuk menjadi alim baharu kita rasa wajar khusyuk dalam solat. Perkara utama yang perlu kita lakukan ialah hafal dan faham setiap perkataan yang kita lafazkan. Hayatinya dengan hati yang fokus. InsyaAllah kita akan temui keindahan bersolat asbab dari khusyuk dalam solat.