Masih ingatkah lagi tentang kisah seorang gadis yang ditoreh wajahnya dengan pisau dalam satu kes rompakan di Kampung Wakaf Berangan, Sri Aman, Pasir Puteh, Kelantan? Kejadian yang menimpa gadis itu mendapat perhatian ramai pada penghujung 2014.
Mangsa, Nur Shafiqa Lah yang ketika itu berusia 24 tahun cedera teruk pada bahagian wajahnya akibat ditoreh oleh salah seorang perompak yang memasuki rumah mereka. Ibunya, Hat Tema Mat Zin yang ketika itu berusia 60 tahun juga cedera teruk akibat dicederakan perompak terbabit.
Impak kejadian itu tidur Nur Shafiqa tidak lena sehingga dia boleh mengigau pada waktu malam. Tidurnya jadi tidak lena gara-gara diganggu mimpi-mimpi tentang peristiwa tersebut. Sebelum tidur, Nur Shafiqa banyak berzikir agar dipelihara keselamatan dirinya. Hanya dengan mengingati Allah, dia rasa selamat dan dilindungi.
Pernah ditawarkan untuk ditaja menjalani pembedahan plastik bagi memulihkan kembali wajahnya, Eqa menolak kerana dia fobia dijahit lagi. Jadi dia memilih untuk mengambil suplemen bagi memulihkan kembali parut di wajahnya.
Meskipun kisah itu sudah lebih empat tahun berlalu namun ia masih berbekas dalam diri Nur Shafiqa yang lebih mesra disapa Eqa. Ternyata tragedi yang menimpa dirinya pada 30 November 2014 itu telah banyak mengubah perjalanan kehidupan wanita, suri hati Mohd. Azijja Zahfran Mohamad Zahari.
Kini kehidupan Eqa dengan suaminya tambah berseri dengan kehadiran si kecil, Nayla Helene yang kini berusia lapan bulan. Selepas mimpi ngeri itu berlalu dalam hidupnya, Eqa terus bangkit tanpa menoleh ke belakang lagi untuk meneruskan kehidupan. Ketika dihubungi oleh penulis, Eqa kini dalam proses mengeluarkan produk kecantikannya sendiri.
IMBASAN KEJADIAN
Mengimbas kejadian yang berlaku, wajah Eqa terpaksa dijahit sebanyak tiga lapis. Kesakitan usah dikata cerita Eqa kerana sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Katanya lagi masih terasa-rasa ngilu ketika jahitan dilakukan pada wajah terutama di bahagian telinga dan hidung.
Pagar di depan rumah yang tidak berkunci memudahkan perompak masuk ke rumah. Ketika kejadian, Eqa bersama ibu dan adiknya. Kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 petang. Kawasan perumahan agak sunyi. Salah seorang perompak telah masuk ke dalam bilik Eqa.
Ada cubaan perompak untuk merogol Eqa namun Eqa melawan. Akibatnya Eqa telah ditoreh dengan pisau pada bahagian wajah dan juga jarinya. Menurut Eqa, perompak yang masuk ke biliknya memakai topi kaledar dengan ‘visor hitam’. Hasil rompakan berdarah itu, perompak telah berjaya melarikan barang kemas selain cuba untuk melarikan motosikal tetapi gagal. Anggaran kerugian lebih kurang RM15,000.
Ditanya sudahkah dia mampu melupakan kejadian ngeri itu, ini jawapan Eqa. “Mana mungkin kisah duka ini boleh dilupakan cuma saya berharap agar ia tidak menganggu perjalanan hidup saya. Fokus utama saya kini ialah untuk membina kerjaya. Saya ingin maju dalam dunia perniagaan,” ujar Eqa.
Sumber kredit: Instagram Eqahelene