Tiada yang mustahil jika kita berkehendakkan sesuatu. Kembara tiga orang sahabat dari Kelantan dengan menunggang motosikal untuk menunaikan umrah akhirnya tercapai. Trio penunggang ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ selamat tiba di Madinah pada 19 Januari 2019 dalam usaha melengkapkan misi mereka ke Tanah Suci Makkah.
Berikut catatan di laman Facebook Trio ‘Gi Mekoh Nga Mutor’:
Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar
Madinatul Munawwarah
Masjid Nabawi
Sabtu, 19hb Januari 2019
4.30 petang waktu Saudi
Tiada coretan yang dapat kami ungkapkan, melainkan ucapan Syukur pada-Mu Ya Allah atas kurniaan yang tidak ternilai ini.
Dan sesungguhnya, doa kalian menjadikan perjalanan kami dipermudahkan.
Menaiki motosikal di bawah kuasa 150 cc, rancangan perjalanan ini telah dirancang kira-kira setahun yang lalu. Gi Mekoh Nga Mutor memulakan perjalanan November tahun lalu dengan merentas lapan buah negara dengan jarak perjalanan sejauh 14,000 kilometer.
Menurut Diami Yusoff, 60 yang mengetuai trio tersebut, mereka tiba di kota suci itu pada pukul 12 tengah hari dan kemudian singgah di Masjid Quba’ untuk melakukan sujud syukur sebagai tanda berterima kasih kepada Maha Pencipta diatas kejayaan misi tersebut.
Menurutnya, sejurus tiba di Madinah segala penat jerih mengharungi perjalanan penuh pancabora selama 58 hari hilang sebaik sahaja melihat kota suci itu.
“Alhamdulillah, kami sempat menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Nabawi. Selepas ini kami akan bergerak pula ke Kota Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah,” katanya.
Setelah melalui pelbagai kepayahan akhirnya kejayaan menjadi milik mereka. Jelas terpancar kepuasan pada wajah ahli Gi Mekoh Nga Mutor apabila misi untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah akhiranya berjaya.
Sumber kredit: FB: Gi Mekoh Nga Mutor dan Sinar Harian