Seluar Terkoyak Ketika Solat Hingga Dedah Aurat, Bolehkah Tutup Guna Tangan & Teruskan Solat?

Share

Seluar terkoyak ketika solat hingga dedah aurat, bolehkah tutup guna tangan dan teruskan solat? Masalah terdedah aurat tanpa sengaja ketika mendirikan solat antara perkara yang kerap terjadi.

Selain terkoyak seluar, ada juga masalah terlucut atau terselak kain bagi jemaah wanita. Jika ada orang lain yang perasan, bolehlah bantu tutupkan apa yang patut. Sesungguhnya situasi ini amat tak selesa dan secara tak langsung menggangu tumpuan ketika solat.

Ikuti kemusykilan berkaitan isu ini, sama ada berhenti atau teruskan solat bila sebahagian aurat yang seharusnya ditutup terdedah:

Artikel Berkaitan: Imam Pakai Baju Singkat & Nampak Aurat, Ini Hukumnya Yang Perlu Makmum Tahu

Seluar Terkoyak Ketika Solat

Soalan:
Suatu hari ketika sedang solat, seluar saya terkoyak sedikit hingga menampakkan bahagian paha. Adakah boleh saya meneruskan solat dengan sekadar menutupnya dengan tangan hingga selesai solat?

Ringkasan Jawapan:

Dalam keadaan aurat terdedah ketika solat, atau jika tidak mempunyai pakaian lain yang menutup aurat dengan sempurna, seseorang itu dibolehkan untuk menggunakan tangannya untuk menutup sebahagian daripada auratnya ketika solat.

Bahkan menjadi wajib jika dia tidak mendapati sesuatu untuk menutup auratnya melainkan dengan tangannya. Dia juga hendaklah mengekalkan kedudukan tangannya pada bahagian aurat yang ditutupi sehingga selesai solat.

Huraian Jawapan:

Hingga Dedah Aurat

Menutup aurat merupakan salah satu syarat sah solat. Kata Syeikh Sa‘id Ba‘isyin:

(الشرط الثامن: ستر العورة) عن العيون من إنس وجن وملك، فلا تصح مع عدم سترها مع القدرة عليها ولو خالياً أو في ظلمة

Maksudnya: Syarat sah solat yang kelapan: Menutup aurat daripada pandangan mata manusia, jin dan malaikat. Solat tidak sah jika tidak menutup aurat, sedangkan dia mampu berbuat demikian, meskipun ketika sedang bersendirian atau dalam keadaan gelap-gelita.

Dalam keadaan aurat terdedah ketika solat, atau jika tidak mempunyai pakaian lain yang menutup aurat dengan sempurna, seseorang itu dibolehkan untuk menggunakan tangannya untuk menutup sebahagian daripada auratnya ketika solat. Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

(وَيَجُوزُ سَتْرُ بَعضِ العَورَةِ بيَدِهِ) مِن غَيرِ مسٍّ ناقِضٍ، لحُصُولِ المَقْصودِ بِهِ

Maksudnya: Diharuskan untuk menutup sebahagian aurat dengan tangannya, tanpa melibatkan sentuhan yang membatalkan wuduk; hal ini kerana menggunakan tangan telah mencapai maksud menutup aurat.

Bolehkah Tutup Guna Tangan

Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi menjelaskan lagi bahawa yang dimaksudkan dengan sentuhan yang tidak membatalkan wuduk itu ialah bahagian aurat yang ditutup itu mestilah bukan dua anggota kemaluan, atau ia sebahagian daripada anggota kemaluan tetapi pada bahagian yang tidak membatalkan wuduk jika disentuh.

Bahkan menurut beliau lagi, wajib baginya berbuat demikian jika dia tidak mendapati sesuatu untuk menutup auratnya melainkan dengan tangannya.

Menurut Syeikh Sa‘id Ba‘isyin, dalam keadaan dia wajib menutup auratnya dengan tangan kerana tiada benda lain yang boleh digunakan, dia hendaklah mengekalkan kedudukan tangannya pada aurat yang ditutup meskipun ketika sujud, dan ini merupakan pandangan al-Khatib al-Syarbini.

Dan Teruskan Solat

Hal ini kerana kewajipan menutup aurat merupakan perkara yang disepakati antara syaikhan (Imam al-Rafi‘e dan Imam al-Nawawi), sedangkan meletakkan tapak tangan ketika sujud diperselisihi hukumnya antara mereka berdua.

Bagi Syamsuddin al-Ramli pula, dia menetapkan bahawa wajib meletakkan tangan ke lantai ketika sujud, kerana menutup seluruh aurat itu hanya wajib bagi yang mampu, manakala bagi Ibn Hajar al-Haitami pula seseorang itu boleh memilih antara dua, kerana dalam hal ini berlakunya pertentangan antara dua perkara yang wajib.

Baca Di Sini: 

Bala Sosial Media, Posting Tidak Tutup Aurat Kekal Sebagai Tontonan- Ustaz Don

Dikatakan Tak Hormat Masjid Sebab Menjulur Kaki, Alif Satar Tak Melenting Tapi Kongsi Hukum Sebenarnya

Kashoorga : Mungkin jika seluar terkoyak, boleh tutup dengan sweater sebagai salah satu caranya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat