Sempena fenomena Istiwa A’dzam yang akan berlaku petang ini, bagi yang mahu menyemak arah kiblat di kediaman atau premis masing bolehlah berbuat demikian.
Istiwa A’dzam berlaku pada hari ini 15 Julai 2024, Isnin bersamaan 9 Muharram 1446H jam 5:27 PM (waktu Malaysia).
Istiwa A’dzam ialah kedudukan Matahari tepat berada di atas Kaabah. Fenomena ini berlaku dua kali dalam setahun. Oleh itu, seluruh umat islam di Malaysia berpeluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di premis atau kediaman masing-masing.
“Kita boleh menyemak arah kiblat dengan menggunakan objek-objek tegak dan lurus sebagai alat pengukur bayang-bayang objek.
“Pastikan cuaca dalam keadaan baik (tidak mendung/hujan) supaya bayang-bayang objek jelas kelihatan dan mudah untuk ditanda.
“Kaedah semakan boleh merujuk kepada infografik yang disediakan dan pastikan waktu yang dirujuk diselaraskan dengan waktu sirim (mst.sirim.my),”demikian penerangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Facebook mereka.
Selesai membuat penandaan arah kiblat, maka bolehlah menyemak semula arah kiblat yang sedia ada atau membuat semakan arah kiblat di aplikasi telefon pintar masing-masing. (tertakluk kepada keadaan fungsi sistem GPS di telefon dan gangguan magnet di sekitarnya).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan