Terdapat lima peristiwa penting di hari Jumaat, diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat. (HR. Ahmad)
Banyak fadhilat hari Jumaat yang tersedia untuk dikutip. Amalan sunat pada hari jumaat sering diabaikan kerana kesibukan dalam melakukan tugasan dan aktiviti harian. Sedangkan terdapat banyak sekali kelebihan amalan sunat ini yang telah tercatit di dalam al-Quran dan hadis.
Berikut SEMBILAN amalan paling utama dan hebat keuntungannya bagi mereka yang mengamalkannya. Bergembira dan berbahagialah bagi mereka yang bersungguh-sungguh meraih keuntungan padanya dan amatlah ruginya mereka yang mengabaikannya.
MEMOTONG KOKO
Disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”
MEMBACA SURAH ALI-IMRAN
Sabda Nabi s.a.w. yangb bermaksud: “Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendo’akan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.”
MEMBACA SURAH AL-KAHFI
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
MENGUCAPKAN SELAWAT KE ATAS NABI SAW
Berselawat sekali ke atas Nabi, Allah Taala memberi rahmat 10 kali ganda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksid: “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali)”.(HR.Al-Baihaqi) Allah Taala juga ada berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat telah berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (Nabi)”. (QS.Al-Ahzab:56)
MEMBACA YASSIN
Sesiapa membaca surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah
MANDI SUNAT JUMAAT
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.” Dan sebuah hadith daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu. (Muttafaq alaih)
Manakala sebuah lagi hadis yang menerangkan tentang mandi sunat hari Jumaat adalah sebuah hadis daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama. (HR.Imam Abu Daud dan Tarmidzi).
SOLAT JUMAAT
Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur. Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.”
BERDOA BERSUNGGUH-SUNGGUH
Sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan”. (HR.Al-Bukhari dan Muslim)
BANYAK BERSEDEKAH
Sedekah pada hari Jumaat lebih utama jika dibandingkan sedekah pada hari-hari lainnya. Ibnu Qayyim berkata: Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadan dibandingkan bulan-bulan lainnya. Hadis dari Kaâab menjelaskan: Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.
Sumber kredit: Zainal Rashid