Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Ke tepikan permulaan cerita yang dilalui kerana yang didambakan akhirnya adalah pengakhiran sempurna. Tidak ada insan yang sempurna.
Seperti pemuda ini, Muhammad Syafiq Yunus. Anak bongsu daripada empat orang adik beradik, kesemuanya lelaki. Siapa sangka, pemuda berusia 23 tahun ini dahulunya pernah melalui episod kehidupan kelam. Dia yang dulu bukanlah yang sekarang.
Berasal dari Kuala Lumpur, pemuda ini berpindah ke kampung di Alor Gajah, Melaka sejak usianya 10 tahun. Arwah ayahnya mendapat sebuah rumah mesra rakyat di sana. Dalam usia itu jugalah dia telah kehilangan kasih sayang seorang insan bergelar ayah akibat penyakit jantung berlubang. Maka tinggallah dia bersama arwah ibunya di kampung.
Kisah bermula apabila dia terjebak dengan kawan-kawan di ibu kota seawal usianya 14 tahun (2009). Dalam usia yang terlalu muda, dia sudah bertindik dikening, dalam hidung, lidah dan bibir. Disebabkan terjebak bertindik, dia bergaduh dengan adik beradiknya. Kemuncak drama pergaduhan itu, dia keluar dari rumah meninggalkan arwah ibunya kerana adik beradik yang dianggap mengongkong. Lokasi yang ditujunya ialah Kuala Lumpur.
INI PERKONGSIAN MUHAMMAD SYAFIQ YUNUS. MOGA KISAH PEMUDA INI DAPAT DIJADIKAN INSPIRASI UNTUK KITA TERUS ISTIQOMAH MENJADI LEBIH BAIK
Semasa sampai di Kuala Lumpur, saya tidur di tepi tangga, makan bundle (makan sisa-sisa makanan orang). Dalam seminggu saya di sini, saya melihat budak-budak busking dekat depan bangunan Maybank lama di Bukit Bintang. Habis busking, budak-budak busking tersebut menegur saya dan mereka menawarkan saya ke rumah mereka (rumah bujang) di Hang Tuah, flat Sri Sarawak.
Dari situlah bermula kehidupan saya menjadi manusia yang rasanya hina. Setiap hari sarapan saya air arak, tengahari dadah sampailah ke malam. Selepas dua bulan, saya mendapat kerja di Sungai Wang di salah sebuah butik pakaian.
Dapat gaji, pergi buat tatu. Kerja pun tak menentu. Kejap kerja, kejap tidak disebabkan minum arak dan ambil dadah. Setiap hari Sabtu, keluar dengan kawan-kawan pergi enjoy, mabuk, pergi samun bangla. Sampailah umur saya 18 tahun, saya mula berhijrah (2013).
MACAM MANA BOLEH BERUBAH
Satu hari tu arwah mak saya call, tanya khabar dan tanya saya, “Bila nak balik kampung. Mak rindu Syafiq”. Lima tahun saya tak menangis disebabkan manusia, tiba tiba arwah mak saya call dan kata begitu, Allah jentik hati saya jadi sebak menangis tak henti-henti. Lepas arwah mak saya call, selang beberapa hari saya balik ke kampung.
Sampai je di kampung, ketuk pintu rumah, arwah mak buka pintu dan saya terus peluk arwah mak dan memohon ampun darinya. Arwah mak saya kata sambil menangis “Mak dah maafkan kau nak. Lima tahun dah mak dah maafkan.” Saya menangis dan terus menangis sampai tiada air mata.
Sejak balik kampung, saya buka buku baru, niat nak berubah kerana Allah. Start dari situ, saya cari kerja di kampung dan alhamdulillah Allah bagi saya kerja. Saya dapat tawaran kerja di sebuah kilang di simpang empat berdekatan dengan rumah.
Selepas sebulan saya bekerja di kilang tersebut, masa saya baru balik kerja dan mandi, saya terdengar suara laungan azan. Suara azan itu (jam 10.00 malam) sangat-sangat merdu sampai saya terkaku, terpegun mendengarnya.
Pada mulanya saya ingat mungkin khayalan saya sebab ye lah balik kerja tentulah penatkan. Saya cuba bersangka yang baik-baik. Pada keesokan harinya saya balik kerja jam 10.00 malam, balik kerja saya mandi dan saya terdengar suara yang sama, laungan azan tersebut di dalam bilik air. Saya tanya arwah mak, tapi arwah mak tak dengar apa-apa.
Dari situ saya tertanya-tanya kenapa saya sorang je yang dengar suara azan. Saya cuba dan cuba cari jawapan sampai satu hari tu saya ke masjid berdekatan dengan rumah, saya tanya seorang imam. “Kenapa saya dengar suara laungan azan di dalam bilik air? Dia hanya kata “Kamu sudah berapa lama tak solat? Saya kata pada imam tersebut “Lima tahun dah saya tak solat, jangan katakan solat mengaji pun tidak.” Imam tu pesan pada saya “Solatlah walaupun kita bukan orang baik, dan katanya lagi “Cuba solat, pasti Allah bagi jawapan.”
Selang dua hari selepas jumpa imam tersebut saya cuba buat solat taubat dan hajat. Saya menangis sampai tidak terkata. Saya menangis sebab saya banyak buat salah pada Allah. Dan paling saya suka masa tu sebab bila saya solat, saya rasa ‘tenang’. Tenang sangat-sangat dan seumur hidup, saya tak pernah rasa tenang sebegitu.
Lama-kelamaan saya belajar balik solat. Belajar perlahan-lahan mengaji walaupun merangkak, Alhamdulillah Allah mudahkan urusan saya. Dan baru saya sedar, Allah bagi hidayah tanpa saya sedar. Kawan-kawan banyak bagi semangat pada saya dan arwah mak.
PERNAH TAK RASA KESAL DENGAN KEHIDUPAN MASA LALU
Kesal sangat. Kalaulah boleh putarkan masa, saya nak balik dilahirkan semula.
NASIHAT KEPADA GOLONGAN MUDA-MUDI YANG INGIN BERUBAH
Kita hidup jangan harapkan Allah je bagi hidayah. Sebenarnya hidayah Allah tu kita sendiri yang kena cari, barulah Allah akan bantu. Dalam hidup kita, kena pegang LIMA perkara :-
*Usaha
*Tawakal
*Doa
*Reda
*Ikhlas
In sha Allah bila kita belajar lima perkara tersebut, kita akan berjaya. Bila nak berubah tu, orang-orang sekeliling akan berkata pada kita macam-macam, tapi jangan mengalah. Teruskan melangkah mencari hidayah Allah dan istiqomah. Niat dalam hati, kita hidup bukan nak puaskan hati manusia. Kita hidup nak kenal diri kita, ingin kenal Allah dan cari reda Allah bukan reda manusia.
SEMOGA KISAH SYAFIQ YUNUS INI MENJADI TELADAN BUAT SEMUA.
Sumber kredit: Dai’e Syafiq Yunus