“Sentiasa ingatkan diri, setiap ujian Allah nak didik saya sesuatu.’ Begitulah luahan Lisa Surihani apabila ditanya tentang kehidupan selepas berhijrah.
Seperti orang lain, setiap yang berlaku pasti dengan kehendak-Nya. Mahu atau tidak, kita sebagai hamba Allah perlu hadapi dengan reda dan sabar.
Dalam setiap kehidupan setiap individu, pasti ada naik dan turunnya. Namun, setiap kali cabaran dan dugaan itu hadir, itu juga sekali gus akan jadi didikan buat diri kita untuk menjadi lebih baik.
Bagi pelakon dan pengacara, Datin Lisa Surihani, cabaran dalam kehidupan sentiasa menjadi peringatan buat dirinya untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah.
Memetik laporan Harian Metro, Lisa berkongsi pendapatnya tatkala diminta berkongsi mengenai kehidupan dan dugaan.
“Kalau kita rasa ada cabaran dalam kehidupan, pada saya ia bergantung kepada apa yang berlaku pada hari itu. Mungkin ia berlaku atas beberapa faktor.
“Untuk saya, saya selalu fikirkan bahawa kehidupan ini ada naik dan turunnya. Saya cuba tegaskan kepada diri saya bahawa, mungkin pada hari itu, saya tak dapat mengawal emosi saya dengan baik,” katanya.
Dalam masa yang sama, menurut selebriti berusia 37 tahun ini, dugaan yang diturunkan Allah adalah untuk mendidik hamba-Nya.
“Saya ingatkan diri saya bahawa Allah nak didik saya sesuatu. Apa yang kita lalui dalam kehidupan, ada qada dan qadar. Kita kena cuba beritahu diri kita, bagaimana nak rapatkan diri kepada Allah menerusi cabaran yang dilalui.
“Saya doakan agar, setiap apa yang berlaku kepada kita semua akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Semoga Allah kurniakan kekuatan dan kesabaran kepada kita,” katanya.
Seterusnya, berkongsi mengenai kehidupannya sebagai isteri dan ibu, Lisa yang juga isteri kepada pengarah, pelakon dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim ini berkongsi pengalamannya sebagai ibu kepada tiga cahaya mata.
“Alhamdulillah, untuk kehidupan saya sebagai seorang ibu dan isteri, saya rasa sangat bersyukur. Anak-anak saya pun semakin membesar. Yahaira Leanne dah masuk tujuh tahun, Yusof Leonne sudah enam tahun dan Yunos Laith sudah dua tahun.
Ads
“Kadangkala, kita memikirkan mereka yang bekerja akan ada kurang masa dengan anak-anak. Tetapi, mungkin juga mereka yang bekerja ini, dapat masa yang lebih berkualiti dengan anak-anak mereka.
“Saya sangat bersyukur kerana rezeki kerja itu ada dan pada masa sama, masa untuk anak-anak pun ada. Itu juga rezeki,” katanya.
Nak Didik Saya Sesuatu
Namun, Lisa berkongsi perspektif berbeza selepas dia membaca satu hantaran yang dimuat naik seorang wanita bekerjaya di Instagram.
“Baru-baru ini saya ada baca satu hantaran di Instagram. Wanita itu meluahkan pengalamannya dari perspektif yang berbeza di mana dia sebagai wanita yang bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang, dapat mengoptimumkan masa yang berkualiti dengan anak-anaknya selepas pulang dari kerja.
“Bila difikirkan semula, ada betulnya juga dan ia tidak mustahil. Perspektif itu juga boleh difahami supaya mereka yang bekerja tidak diselimuti dengan stigma seperti sebelum ini.
“Dalam hantaran itu juga, wanita itu menjelaskan bahawa dia berhubung dengan lebih baik dengan anak-anaknya selepas waktu bekerja dan dapat mewujudkan perbualan berkualiti,” katanya.
Ads
Ditanya mengenai kerjaya lakonan, Lisa menyentuh mengenai ‘pencariannya’ agar rezeki yang diterimanya itu akan mendekatkan dirinya dengan Sang Pencipta.
“Saya bersyukur dengan keadaan kehidupan saya sekarang. Mengenai pasang dan surut tawaran kerja, itu semua daripada Allah. Saya bersyukur dan saya serahkan soal rezeki kepada Allah.
“Tapi, apa yang saya doakan adalah apa juga rezeki yang saya terima, biarlah halal. Biarlah ia rezeki yang membolehkan saya belajar, menjadi orang yang lebih baik, dekat dengan Allah dan dapat menginsafkan saya.
“Apa juga tawaran yang saya terima, dalam format apa sekalipun tidak kiralah lakonan atau pengacaraan, saya doakan ia berlandaskan semua yang saya beritahu,” katanya.
Terbaharu, Lisa kini menggalas tanggungjawab sebagai pengacara dalam rancangan Innovathon, yang akan ditayangkan di saluran Astro Ria bermula 15 Julai ini.
Kashoorga: Setiap manusia ada ujiannya, tak perlu mengeluh kerana di sebalik ujian pasti ada hikmahnya.
Banyak persoalan tentang keadaan yang menyebabkan seseorang itu tidak perlu berpuasa. Untuk tidak menimbulkan kekeliruan, ini penjelasannya.
Soalan: Seseorang yang boleh berbuka kerana musafir, bolehkah dia teruskan makan apabila sudah sampai ke tempat yang dituju ataupun kena tahan diri sehingga waktu berbuka. Macam itu juga bagi yang sakit pada awal hari tapi sembuh sebelum waktu berbuka, bolehkah dia terus makan atau kena tunggu sehingga masuk waktu berbuka?
Jawapan:
1. Para ulama berbeza pendapat mengenai seseorang musafir yang berbuka puasa; apakah dia wajib menahan diri dari makan dan minum apabila sudah sampai ke negeri atau tempat tujunya, sedangkan orang ramai berpuasa.
Pendapat yang terpilih; dia tidak wajib menahan diri dari makan dan minum kerana dia tidak berpuasa dan perbuatan itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Ia bukan puasa yang sah kerana dia telah pun berbuka. Tiada dalil syarak yang mewajibkannya berbuat demikian.
Kata Abdullah bin Masud r.a:
مَنْ أَكَلَ أَوَّلَ النَّهَارِ فَلْيَأْكُلْ آخِرَهُ “Sesiapa yang makan pada awal hari, maka dia boleh makan pada akhir hari” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra).
Demikian juga bagi wanita haid, nifas dan sakit. Mereka boleh makan tanpa perlu menahan diri pada siang hari pada bulan Ramadan.
2. Namun hendaklah mereka menyembunyikan perbuatan makan di siang hari tersebut. Sekalipun syarak mengizinkan mereka, namun orang ramai tidak mengetahuinya, maka itu akan menjadi tohmahan dan fitnah.
Begitu juga ia boleh menggalakkan perbuatan tidak berpuasa bagi mereka yang tidak layak berbuka pada bulan Ramadan. Islam agama yang berusaha mengelakkan fitnah dan salah sangka dalam kalangan manusia.
3. Maka seseorang yang mempunyai alasan yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan seperti faktor musafir ini –seperti perbahasan di atas-, maka dia boleh berbuka dan diganti pada hari-hari yang lain.
Sumber: Dr Maza.com
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Tiada latar belakang sekolah agama, jauh sekali alim. ‘Niat utama, hanya nak bantu orang susah uruskan jenazah.’ Kos menguruskan orang meninggal dunia, termasuklah van jenazah bukanlah sedikit kosnya.
Sedar dengan hakikat ini, bekas usahawan treler ini mengambil inisiatif untuk membantu orang susah yang kurang berkemampuan. Niat mulianya telah memberi harapan buat golongan susah.
“Bukan nak cakap besar, saya tidak pernah berdepan pengalaman mistik sepanjang menghantar dan bantu uruskan jenazah, tetapi Jumaat lalu, memang ada rasa lain sikit hingga meremang bulu roma,” kata Pengasas Persatuan Amal Jariah Sabah, Masrul Guding.
Masrul, 33, yang menawarkan khidmat penghantaran dan pengurusan jenazah kepada waris kurang berkemampuan mendapat perhatian di TikTok selepas memuat naik video lampu isyarat van jenazah tiba-tiba menyala 30 minit selepas di parkir di luar rumah.
Menurutnya, itu kali pertama dia berdepan pengalaman sebegitu dan sedar selepas diberitahu jiran.
“Memang kebiasaan saya parkir van jenazah di luar rumah dan akan periksa dulu lampu serta lain-lain sebelum masuk ke dalam rumah.
“Awal pagi Jumaat lalu, jiran hubungi saya beritahu nampak lampu isyarat van menyala, jadi saya pun keluar untuk periksa.
“Ingatkan ada masalah penggera, tetapi tiada apa-apa dan pada waktu itu, saya dah rasa lain macam. Bagaimanapun, saya anggap ‘benda’ itu sekadar nak mengusik.
“Perkongsian di TikTok itu juga sekadar mahu berkongsi pengalaman dan bukan menakutkan sesiapa,” katanya.
Niat Utama
Jelas Masrul, dia asalnya seorang usahawan lori treler, namun mula melakukan kerja amal dengan menawarkan khidmat penghantaran dan pengurusan jenazah secara percuma iaitu sebulan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Menurutnya, dia tidak berseorangan sebaliknya bersama sepupunya menggerakkan inisiatif berkenaan malah turut membantu menghantar mayat bukan Islam.
“Saya tiada latar belakang belajar di sekolah agama jauh sekali alim orangnya, tetapi ada niat bantu orang dengan cara ini.
“Menyedari ramai orang berdepan kesulitan ketika PKP, maka saya nekad teruskan inisiatif itu.
Hanya Nak Bantu
“Pada awalnya, ada yang persoalkan niat saya, dipulaukan segelintir rakan dan ada juga orang lama cuba takutkan saya dengan cerita seram.
“Bukan setakat itu, saya juga pernah dihalau pemilik kedai makan yang tidak senang melihat saya parkir van jenazah di hadapan premis mereka,” katanya.
Masrul menganggap apa yang berlaku itu sebagai ujian dan bersyukur kerana terpilih serta dibukakan pintu hati untuk melakukan kerja amal itu.
“Persatuan saya terdiri daripada 20 sukarelawan dan awalnya dulu ada sebuah van saja, tetapi kini empat hasil sumbangan individu yang mewakafkannya.
“Syukur kerana perkhidmatan persatuan dapat diteruskan dengan sumbangan orang ramai dan kerja amal itu buatkan saya berasa tak mahu mengejar dunia, mungkin kerana banyak melihat kematian.
“Jika diizinkan, saya akan buat kerja itu sehingga akhir hayat kerana puas walaupun ia tidak menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya.
Uruskan Jenazah
Berkongsi perancangannya Masrul berkata, dia akan memperluaskan perkhidmatan dengan menawarkan pengangkutan ambulans percuma pula kepada mereka yang memerlukan.
“Sejak setahun lalu, saya cuba bantu individu kurang berkemampuan dengan menanggung kos pengangkutan menaiki ambulans swasta untuk ke hospital.
“Projek saya seterusnya tawarkan sendiri perkhidmatan ambulans milik persatuan.
“Idea itu tercetus selepas mendengar keluhan keluarga kurang berkemampuan mengenai kesulitan dan beban mereka setiap kali ke hospital,” katanya.
Kashoorga: Semoga perancangan Masrul dipermudahkan Allah dan lebih ramai orang susah mendapat bantuan Masrul. Insyallah.
Anak cahayamata yang ditunggu-tunggu ibu ayah. Ada pasangan diuji dengan kehadiran cahayamata selepas bertahun-tahun menanti. Ada direzekikan dapat anak lebih awal. Namun satu perkongsian yang tular di media sosial kala ini wajar dijadikan pengajaran buat para suami untuk lebih menghargai isteri ketika mengandung.
Luahan seorang suami yang rindukan ingin mendengar suara isterinya yang kini sedang koma sejak bersalin 3 Syawal lalu membuatkan ramai sebak. Masa yang sama, dirinya mengakui silap kerana kurang beri perhatian semasa isteri mengandung hingga isteri stress dan koma ketika bersalin. Semoga para suami menghargai isteri.
Doakan isteriku Nurhanim firdaus…
YaAllah aku tak kuat.
Isteriku koma pecah pembuluh darah masa dia bersalin pada 3 Syawal. Mulanya dia sakit teruk masa pembukaan jalan. Dia meneran (push) macam biasa tapi tiba tiba diam, mata naik atas terus tak sedar diri.
Dia hanya berjaya keluarkan kepala anak, lepas tu tak sedar diri. Badan anak dan lain-lain doktor tarik keluarkan. Alhamdulillah anak perempuan kami selamat.
Huru hara dalam dewan bersalin. Aku di saat tu dah hilang arah, seolah aku bakal hilang nyawa. Ya-Allah.
Saat ni aku belum mampu lagi nak tengok anak sulung kami. Aku lebih takut kehilangan isteriku. Doktor kata antara puncanya dia penat dan terlalu stres.
Maafkan abang sayang. Selama sayang mengandung abang tak berapa layan sayang. Abang selalu buat sayang penat dan stres. Hari-hari sayang ngadu penat tapi abang buat buat tak dengar.
Banyak yang sayang nak makan abg tak tunaikan. Sayang bangun nanti abang janji akan jaga sayang, beri perhatian pada sayang. Abang tak keluar mancing lagi.
Abang tak nak lepak dengan kawan lagi. Tolong bangun sayang janji dengan abang, bangun sayang. Abang tak kuat. Mata abang bengkak menangis hari-hari rindu suara sayang. Rindu nak gaduh dengan sayang. kawan, doakan isteriku.
Sumber : KBSM
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Cara buat rayuan haji! Baru-baru ini Tabung Haji telahpun mengeluarkan surat haji kepada mereka yang terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun 2025. Begitu pun...