Baru-baru ini tular video seorang pempengaruh berada di depan Kaabah dalam keadaan bersesak-sesak bagi membantu kumpulan jemaah terdiri kakitangannya mencium Hajar Aswad.
Video yang dimuat naik ini bagaimana pun dikecam netizen kerana dikatakan membuat content tersebut untuk meraih tontonan sedangkan berada di tanah suci, di tempat yang sepatutnya umat Islam fokus ibadah.
Situasi ini juga mendapat perhatian daripada bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini menjelaskan bahawa umrah adalah ibadah dan bukan pelancongan ‘kerohanian’. Malah beliau turut memberi meluahkan kerisauan terhadap trend mencipta content di tanah suci Mekah yang semakin banyak ketika ini.
“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium Hajar Aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium hajar aswad adalah sunat. Bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.
”Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram. Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari,”jelasnya.
Dalam pada itu beliau juga menegur video-video yang dimuat naik di sosial media ketika berada di tanah suci yang tidak kena pada tempatnya.
“Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya. Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial. Jika ia hanya sekadar “trend” untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah “trend” yang merugikan itu,”tegasnya.
Nasihat beliau sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk doa-doa kepada-Nya. Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan peluang untuk mencipta content!
قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. [Surah al-An’am: 162]