
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Jual Beli Kucing, Terutama Yang Mahal. Ada Yang Kata Ia Dilarang

Isi Kandungan
ToggleHari ini membeli dan jual kucing terutama baka kucing yang cantik seakan menjadi perkara biasa. Meskipun harganya mahal namun ramai yang sanggup membelinya.
Tapi apa hukumnya dalam Islam, adakah ia dibolehkan kerana ada pandangan yang mengatakan jual beli kucing ini adalah dilarang.
Penjelasan tentang perkara ini ada dibuat oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin.
Menurut beliau ulama fekah berkhilaf pendapat tentang hal ini. Terdapat sejumlah ulama yang melarangnya, sementara majoriti ulama membenarkan menjual atau membeli kucing.
Ini seperti kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarah hadis larangan menjual kucing:
وَأَمَّا النَّهْيُ عَنْ ثَمَنِ السِّنَّوْرِ فَهُوَ محمول على أنه لا ينفع أو عَلَى أَنَّهُ نَهْيُ تَنْزِيهٍ حَتَّى يَعْتَادَ النَّاسُ هِبَتَهُ وَإِعَارَتَهُ وَالسَّمَاحَةَ بِهِ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَإِنْ كَانَ مِمَّا يَنْفَعُ وَبَاعَهُ صَحَّ الْبَيْعُ وَكَانَ ثَمَنُهُ حَلَالًا هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ العلماء كافة الا ما حكى بن الْمُنْذِرِ وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَطَاوُسٍ وَمُجَاهِدٍ وَجَابِرِ بْنِ زَيْدٍ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ وَاحْتَجُّوا بِالْحَدِيثِ وَأَجَابَ الْجُمْهُورُ عَنْهُ بِأَنَّهُ مَحْمُولٌ عَلَى مَا ذَكَرْنَاهُ فَهَذَا هُوَ الْجَوَابُ الْمُعْتَمَدُ
“Adapun larangan (memakan) harga (jualan) kucing, maka itu atas andaian ia tidak bermanfaat, atau larangan tanzih (makruh tidak haram) agar orang ramai terbiasa dengan memberi dan meminjamkan kucing serta bertolak ansur dengan hal itu seperti yang menjadi kebiasaan.
Sekiranya ia termasuk dalam yang memberikan manfaat lalu menjualnya, maka sah jual beli dan harganya halal. Inilah mazhab kita dan mazhab ulama keseluruhannya, kecuali apa yang Ibn Munzir nyatakan, dan daripada Abu Hurairah, Tawus, Mujahid, Jabir bin Zaid iaitu tidak harus jual belinya (kucing). Mereka berhujah dengan hadis ini. Jumhur menjawab bahawa larangan itu atas andaian yang kami sebutkan tadi. Inilah jawapan yang dipegang”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/233. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
Perbincangan dua pandangan
Pertama: Pendapat yang mengharamkan jual beli kucing.
Ini adalah pendapat tokoh-tokoh seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi tadi. Turut menyokong pendapat ini al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dengan menyatakan:
وَهُوَ الصَّوَابُ لِصِحَّةِ الْحَدِيثِ بِذَلِكَ، وَعَدَمِ مَا يُعَارِضُهُ، فَوَجَبَ الْقَوْلُ بِهِ
“Inilah pendapat yang benar disebabkan sahnya hadis berkaitan hal ini dan tiada dalil lain yang menyanggahinya. Maka, wajib berpegang dengan pendapat ini”. (5/685. Beirut: Maktabah al-Manar al-Islamiyyah).
Alasan utama mereka ialah hadis berkaitan larangan tersebut di mana Jabir bin Abdillah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w melarang hal itu:
عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ، قَالَ: سَأَلْتُ جَابِرًا، عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ؟ قَالَ: «زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ
Daripada Abu Zubair, dia berkata: Aku bertanya Jabir mengenai harga anjing dan kucing liar”. Kata Jabir: “Nabi s.a.w melarang perkara itu”. (Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dll).
Kedua: pendapat yang membolehkan menjual beli kucing.
Ini pendapat jumhur (majoriti) ulama seperti yang disebutkan tadi. Dalam berpegang dengan pendapat ini, mereka (jumhur) berkhilaf pula dalam mengulas hadis larangan tersebut.
Ada yang berpendapat hadis itu daif. Ini apa yang disebut oleh al-Khattabi dan Ibn ‘Abd al-Barr. Namun, pendapat ini ditolak al-Imam al-Nawawi sendiri, dengan katanya:

وَأَمَّا ما ذكره الخطابى وأبو عمرو بْنُ عَبْدِ الْبَرِّ مِنْ أَنَّ الْحَدِيثَ فِي النَّهْيِ عَنْهُ ضَعِيفٌ فَلَيْسَ كَمَا قَالَا بَلِ الحديث صحيح رواه مسلم وغيره
“Adapun apa yang al-Khattabi dan Abu ‘Amr bin ‘Abd al-Barr menyebutnya bahawa hadis larangan tersebut daif, (maka jawapannya) hadis itu bukan seperti yang mereka kata. Bahkan hadis itu sahih, riwayat Muslim dan selainnya”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/234. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
Ada yang berpendapat larangan itu jika kucing itu liar dan tidak dapat diserahkan semasa pembelian. Ada pula yang berpendapat hadis ini di awal Islam, kemudian dimansukhkan. Ada juga yang berpendapat ia sekadar larangan makruh bukan haram.
Ada pula yang berpendapat larangan itu jika kucing itu bukan milik yang menjual. Ada yang berpendapat sebagai galakan untuk manusia bertolak ansur dalam pemberian kucing seperti yang menjadi adat kebiasaan. Ada yang menyatakan -seperti yang al-Nawawi sebut tadi- jika ada manfaat, maka boleh dijual beli. Kucing yang ada manfaat seperti menghalau tikus, maka boleh dijual beli. Larangan hanya jika tiada manfaat.
Sesiapa yang berpegang kepada pendapat jumhur ulama, maka dibolehkan menjual dan membeli kucing selagi ada nilai manfaat. Jika sudah tiada nilai, maka haram. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak pula berhujah dengan hadis yang jelas larangan tersebut. Cumanya, jumhur ulama berbeza dalam mentakwilkan sebab larangan.
Justeru, jika seseorang mengelakkan diri dari terlibat dengan jual beli kucing maka itu lebih baik kerana selamat dari daerah pertikaian hukum tersebut. Apatah lagi jika harganya begitu mahal, maka ia mendekati unsur pembaziran. Kita tahu agama kita melarang pembaziran.
Sumber: Mufti Perlis
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Kalau Mati Mengejut, Tak Sempat Solat Macam Mana.’ Jangan Suka Tangguh Solat Sampai Ke Penghujung Waktu

Isi Kandungan
Toggle“Kalau mati mengejut, tak sempat solat macam mana.’ Jangan suka tangguh solat sampai ke penghujung waktu bimbang jika sesuatu tidak diingini berlaku.
Manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan. Kadang-kadang kita merancang untuk solat sekian-sekian waktu, namun ada aral yang menghalang hingga membuatkan kita meninggalkan solat.
Oleh sebab itu, kita digalakkan untuk solat di awal waktu. Ikuti perkongsian Dr Syed Syahridzan Ben–Aqil dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan:
Artikel Berkaitan: ‘Sengaja Tinggalkan Solat.’ Jangan Sampai Segala Amal Baik Jadi Sia-Sia, Tak DiTerima Allah
Kalau Mati Mengejut
Hukum melewat-lewatkan solat fardu
Soalan:Assalamu’alaikum doktor. Izinkan saya bertanyakan soalan. Apa hukum orang yang suka tangguh-tangguh solat? Contoh seseorang tak solat awal waktu sampai delay solat sampai penghujung waktu.
Macam mana pula kalau tangguh solat kemudian dia meninggal dunia dan tak sempat mendirikan solat adakah dia dikira mati dalam keadaan berdosa?
Tak Sempat Solat Macam Mana
Jawapan:
1) Allah SWT telah mewajibkan setiap hamba-Nya yang mukalaf untuk mendirikan solat 5 waktu. Solat-solat fardu lima waktu telah ditetapkan waktu-waktunya. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Nisa’, ayat 103:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”
2) Waktu-waktu solat secara terperinci telah ditetapkan oleh Rasulullah ﷺ dalam beberapa hadis yang sahih. Antara tujuan ketetapan waktu-waktu tersebut untuk memberi pilihan yang fleksibel kepada para mukalaf untuk mendirikan solat antara mula masuk waktu solat sehingga sebelum keluar waktu. Selain itu memberi kemudahan keluasan waktu untuk umat mendirikan solat berdasarkan keperluan masing-masing.
Jangan Suka Tangguh Solat
3) Berbalik kepada soalan, hukum menangguh-nangguh atau melambat-lambatkan solat pada asasnya diharuskan oleh para ulama. Hukum harus ini berdasarkan sepotong hadis:
عن أَبِيْ مُوْسَى الْأَشْعَرِي رضي الله عنه عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهُ ” أَتَاهُ سَائِلٌ يَسْأَلُهُ عَنْ مَوَاقِيتِ الصَّلَاةِ، فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ شَيْئًا، قَالَ: فَأَقَامَ الْفَجْرَ حِينَ انْشَقَّ الْفَجْرُ، وَالنَّاسُ لَا يَكَادُ يَعْرِفُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ بِالظُّهْرِ، حِينَ زَالَتِ الشَّمْسُ، وَالْقَائِلُ يَقُولُ قَدِ انْتَصَفَ النَّهَارُ، وَهُوَ كَانَ أَعْلَمَ مِنْهُمْ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ بِالْعَصْرِ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْمَغْرِبَ حِينَ وَقَعَتِ الشَّمْسُ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ، ثُمَّ أَخَّرَ الصُبْحَ مِنَ الْغَدِ حَتَّى انْصَرَفَ مِنْهَا، وَالْقَائِلُ يَقُولُ قَدْ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، أَوْ كَادَتْ، ثُمَّ أَخَّرَ الظُّهْرَ حَتَّى كَانَ قَرِيبًا مِنْ وَقْتِ الْعَصْرِ بِالْأَمْسِ، ثُمَّ أَخَّرَ الْعَصْرَ حَتَّى انْصَرَفَ مِنْهَا، وَالْقَائِلُ يَقُولُ قَدِ احْمَرَّتِ الشَّمْسُ، ثُمَّ أَخَّرَ الْمَغْرِبَ حَتَّى كَانَ عِنْدَ سُقُوطِ الشَّفَقِ، ثُمَّ أَخَّرَ الْعِشَاءَ حَتَّى كَانَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الْأَوَّلُ، ثُمَّ أَصْبَحَ فَدَعَا السَّائِلَ، فَقَالَ: الْوَقْتُ بَيْنَ هَذَيْنِ” (أخرجه مسلم)
Maksudnya: Abu Musa al-Asy’ari R.A meriwayatkan daripada Rasulullah ﷺ bahawa seorang lelaki datang menemui Baginda dan bertanya tentang waktu-waktu solat, namun Baginda tidak menjawab sama sekali. Abu Musa berkata:
“Kemudian Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Subuh ketika mula terbit fajar dalam keadaan para Sahabat hampir tidak mengenali antara satu sama lain (masih gelap). Kemudian Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Zohor semasa matahari tergelincir, ketika ada yang berkata:
‘Bukankah sekarang masih lagi tengahari (belum Zohor)?’ Sedangkan Baginda lebih tahu daripada mereka. Kemudian Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Asar ketika matahari masih lagi tinggi. Kemudian Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Maghrib ketika matahari terbenam. Tidak lama setelah itu Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Isya ketika ufuk merah telah hilang.
Baca Juga Di Sini:
Tak Cium Bau Syurga Kalau Tak Solat. Kalau Ibu Ayah Tak Sembahyang, Bolehkah Anak Tegur?
Jika Kita Lewatkan Solat, Allah Juga Sebenarnya Akan Tangguh Beri Kejayaan, Rezeki, Jodoh & Doa
Sampai Ke Penghujung Waktu
Keesokan harinya, Baginda melewatkan solat Subuh, sehinggakan sesudah Baginda selesai solat, ada yang berkata: ‘Matahari telah terbit atau hampir terbit.’
Setelah itu Baginda melewatkan solat Zohor hingga hampir masuk waktu Asar seperti waktu Asar semalam. Kemudian Baginda melewatkan solat Asar, sehinggakan sesudah Baginda selesai solat, ada yang berkata:
‘Matahari telah kemerahan.’ Kemudian Baginda melewatkan solat Maghrib sehingga ufuk merah hampir menghilang. Setelah itu Baginda melewatkan solat Isyak sehingga sepertiga pertama malam berlalu. Pada keesokkan hari, Baginda memanggil lelaki yang bertanya itu dan bersabda: ‘Waktu-waktu solat adalah di antara dua waktu ini’.” (Riwayat Muslim)
4) Berdasarkan hadis di atas para fuqaha meletakkan hukum harus menangguhkan solat selagimana waktu itu masih ada. Ini berdasarkan amalan Nabi ﷺ menangguhkan solat sehingga pada penghujung waktu solat atas tujuan pendidikan.
Tangguh Solat Yang DiHaruskan
5) Walaubagaimana pun ulama mazhab Syafi’i memperincikan tahap penangguhan solat yang diharuskan. Ada juga kategori penangguhan yang membawa kepada hukum:
i. makruh (kecuali zohor), iaitu jika seseorang menangguhkan tanpa uzur syarie sehingga tempoh waktu solat yang berbaki cukup-cukup untuk solat didirikan dalam waktunya. (أن يبقى من الوقت قدر ما يسع الصلاة)
ii. haram, iaitu menangguhkan solat tanpa uzur syarie sehingga tempoh waktu solat yang berbaki tidak mencukupi untuk solat didirikan sehingga sebahagian rakaat didirikan luar dari waktu solat. (وقوع جزء منها خارج الصلاة)

6) Jika penangguhan selain dari kedua-dua keadaan di atas, maka hukum menangguhkan solat hukumnya harus, bahkan tidak makruh dan tidak haram. Perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh Imam al-Baijuri al-Syafi’i di dalam karangannya “Ḥāsyiat al-Baijūriy ʿAla Ibn Qāsim”, kata beliau:
لا يجب الصلاة بأول الوقت على الفور بل يجوز تأخيرها إلى أن يبقى من الوقت ما يسعها لكن إن لم يفعلها في أول وقتها عليه العزم على فعلها قبل خروج الوقت فيجب عليه بدخول الوقت أحد أمرين: أما الفعل أو العزم عليه في الوقت، لم يفعل ولم يعزم أثم فإذا عزم على الفعل فيه ولم يفعل ومات مع اتساع الوقت لا يموت عاصياً لأن لها وقتاً محدوداً.
Maksudnya: “Tidak wajib mendirikan solat pada awal waktu serta merta, bahkan harus melewatkannya kepada tempoh waktu yang mencukupi untuk sesuatu solat didirikan. Akan tetapi jika seseorang tidak mendirikannya pada awal waktunya hendaklah dia berazam untuk melakukannya sebelum keluar waktunya.
Oleh yang demikian, dengan masuknya waktu dia wajib melaksanakan salah satu dari dua perkara: sama ada melaksanakan solat itu, atau keazaman untuk melaksanakan dalam waktunya. Jika dia tidak melaksanakannya dan tidak berazam maka dia berdosa. Jika dia berazam untuk melaksanakan (solat itu), tetapi dia belum melaksanakannya, kemudian dia mati sedangkan masih ada ruang waktu yang masih luas (untuk solat), maka dia tidak dikira mati dalam keadaan maksiat kerana baginya waktu (solat) yang telah dihadkan.”
Lewat Solat Bergantung Pada Niat
7) Berdasarkan kenyataan ulama mazhab Syafi’i di atas, keharuskan melewatkan solat bergantung kepada niat seseorang seperti berikut:
i. Jika seseorang ingin melewatkan solat dia perlu berazam untuk mendirikan solat di dalam waktu. Jika penangguhan ini beserta dengan keazaman mendirikan dalam waktunya dan ditakdirkan dia meninggal dunia sebelum sempat solat dirikan, maka dia tidak dikira meninggal dalam keadaan berdosa.
ii. Jika seseorang melewatkan solat, namun dia tiada keazaman untuk mendirikan solat di dalam waktu, mungkin kerana kebiasaanya dia jenis individu yang sering meninggalkan. Jika penangguhan ini tidak disertakan dengan keazaman tersebut dan ditakdirkan dia meninggal dunia maka dia dikira meninggal dalam keadaan berdosa.
8)) Walaubagaimana pun, umat Islam amat digalakkan agar mendirikan solat pada awal waktu kerana amalan ini menjanjikan ganjaran pahala yang tinggi dan antara amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT. Perkara ini disabdakan oleh Baginda Rasulullah ﷺ dalam sepotong hadis:
عن أم فروة رضي الله قالت: (سئل النبي صلى الله عليه وسلم: أي الأعمال أفضل؟ قال: الصلاة لأول وقتها). رواه أبو داود
Maksudnya: Ummu Farwah R.A berkata bahawa Nabi ﷺ ditanya apakah amalan² yang paling afdal? Baginda ﷺ bersabda: “Solat pada awal waktunya.” (Riwayat Abu Daud)
Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Kashoorga : Solatlah di awal waktu, insyallah kita lebih tenang dan segala urusan akan lebih teratur pabila kita mengutamakan solat.
Sumber : Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tahi Cicak Adalah Najis, Tak Sengaja Pijak Boleh Batalkan Air Sembahyang Ke?

Isi Kandungan
ToggleTahi cicak adalah najis, tak sengaja pijak boleh batalkan air sembahyang ke? Tahi atau najis cicak memang merata-rata dan kadangkala memang tak selesa apa lagi apabila ia mengganggu ruang solat.
Namun begitu adakah tahi cicak yang diketahui najis membatalkan wuduk jika tanpa sengaja kita memijak. Ikuti penjelasan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkaitan isu ini.
Artikel Berkaitan:
Sah Atau Batal Solat Pada Sejadah Yang Ada Najis. Ini Penjelasannya!
Tahi Cicak
Soalan:
Baru-baru tular satu video dan di dalamnya disebutkan, terpijak tahi cicak membatalkan air sembahyang. Jadi, benarkah bahawa terpijak atau terkena tahi cicak membatalkan air sembahyang? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Secara umumnya, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Hal ini kerana menurut mazhab al-Syafi‘i tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis.
Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Ibn Mas‘ud R.A, beliau berkata:
فأتيتُه بحجرَيْن وروْثةٍ فأخذ الحَجرَيْن وألقى الرَّوْثةَ وقال: إنَّها رِكسٌ
Maksudnya:
“Aku telah membawa dua biji batu kepada Nabi SAW dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Baginda mengambil dua biji batu dan membuang kotoran tersebut, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya ia ialah kotoran haiwan.’”
Riwayat al-Tirmizi (17); Ibn Majah (314); Ahmad (3685)
Adalah Najis
Sekalipun pada asalnya, mazhab Syafi‘i berpendapat tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan.
Namun ada beberapa keadaan, yakni berlakunya ‘Umum al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550; Nihayah al-Muhtaj, 1/80).
Tak Sengaja Pijak
Seterusnya, berkenaan perkara-perkara yang membatalkan wuduk pula, di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:
Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.
Boleh Batalkan
Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113).
Justeru, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa terkena atau terpijak tahi cicak mahupun najis-najis lain tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk atau air sembahyang.
Oleh itu, wuduk seseorang yang terkena najis masih sah dan tidak terbatal serta dia tidak perlu mengulanginya. Walau bagaimanapun, jika dia ingin mendirikan solat, maka perlulah dipastikan bahawa pakaian atau tempat yang terkena najis itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mendirikan solat.
Hal ini kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.

Air Sembahyang Ke?
Oleh kerana tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah, maka cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan ainnya terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehingga hilang bau, warna dan rasa.
Dalam situasi di dalam ruang solat (surau/masjid) sekiranya tahi cicak itu boleh untuk dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan solat.
Namun, sekiranya tahi cicak itu sukar untuk dielakkan kerana terlalu banyak, ia tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam ‘Umum al-Balwa.
Baca Di Sini:
Bila Suami Isteri Bersentuhan Ketika Ada Wuduk, Batal Atau Tidak Wuduk Sebenarnya
Kashoorga: Semoga penjelasan merungkai persoalan yang selama ini tak terjawab.
Sumber: Maktabah Al-Bakri
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI