Setahun pemergian Siti Sarah. ‘Shuib mengingati arwah tanpa gagal, setiap hari.’ Benarlah rindu yang paling sakit, adalah rindu pada yang tiada. Begitulah yang dilalui oleh pelawak popular, Shuib Sepahtu, 38, selepas kematian isterinya.
Kehilangan Siti Sarah bukan hanya dirasai oleh suami, anak-anak dan keluarganya, malah seluruh negara turut dilanda pilu dengan kehilangannya.
Setahun pemergian Siti Sarah, Shuib berhasrat untuk mengubah suai kediaman yang didiami sejak empat tahun lalu tetapi terpaksa dibatalkan selepas didatangi mimpi isterinya. Allahyarham Siti Sarah Raissuddin seakan tidak bersetuju dengan keputusannya
Jelas Shuib, dia berhasrat mengubah suai kediaman bagi memberi suasana baharu selepas enam bulan pemergian penyanyi lagu Kesetiaan itu akibat pandemik COVID-19, tahun lalu.
Malah, kata Shuib, dia juga sudah berbincang dengan pereka dalaman untuk majlis tahlil setahun pemergian arwah isteri yang tercinta itu.
Shuib Mengingati Arwah
“Namun, saya lupakan hasrat ubah suai kediaman, bulan lalu selepas didatangi mimpi sedih seolah-olah arwah tidak merestui keputusan ini.
“Saya bermimpi masuk ke kediaman baharu dan tercari-cari arwah, namun, dia tiada. Ketika itu, barulah saya sedar arwah sudah meninggal dunia,” katanya.
Tambah anggota kumpulan Sepahtu itu, dia masih menyimpan barangan peribadi milik arwah untuk dijadikan kenangan, termasuk baju terakhir dipakai sebelum dibawa ke hospital, setahun lalu.
Ads
“Baju terakhir dipakai arwah masih saya simpan dengan elok. Itulah yang menjadi pengubat rindu saya pada arwah,” katanya.
Tanpa Gagal
Malah jelas Shuib, mengenangkan arwah adalah perasaan terlalu mahal harganya.
“Sepanjang 38 tahun hidup, belum pernah saya mengingati sesuatu, setiap hari seperti saya mengingati arwah yang menjadi korban COVID-19 pada 9 Ogos, tahun lalu.
“Saya tak tahu bagaimana nak menterjemahkan perasaan ini. Sudah tentu, saya masih sedih atas kehilangan arwah, lebih lagi, apabila tiba tarikh penting seperti hari ini.
“Perasaan kehilangan kian terasa. Saya sudah banyak kali ulang ayat ini iaitu saya mengingati arwah tanpa gagal, setiap hari. Bagi saya, mengingati arwah adalah perkara sangat manis.
“Saya juga tertanya-tanya apakah semua ini. Dan jarang berlaku pada seseorang, tetapi saya percaya mengingati arwah cukup mahal nilainya,” katanya yang ditemui pada majlis tahlil sempena setahun pemergian arwah Siti Sarah di kediamannya.
Tambah Shuib lagi, dia tetap merasakan arwah masih hidup biarpun sudah setahun pemergiannya. Lebih lagi, jika melihat video yang dimuat naik dalam Instagram (IG) arwah.
“Contohnya, admin IG memuat naik video arwah memakai telekung, baru-baru ini. Ketika melihatkan video ini, saya sangat terkejut kerana seolah-olah arwah sendiri memuat naik video ini.
“Namun, akhirnya saya tersedar arwah sudah tidak ada, tetapi videonya seolah-olah masih hidup.
“Sebelum ini, arwah selalu merajuk jika saya tidak lihat IG Story. Arwah selalu anggap, saya hanya melihat IG Story orang lain, tetapi tidak tengok IG Story miliknya.
Ads
“Namun, kini semua hanya tinggal kenangan,” kata Shuib.
Emosi Anak Terkawal
Berkongsi mengenai anak-anak, kata Shuib, emosi empat permata hatinya, Uwais Alqarmi, 11; Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 1, masih terkawal.
“Alhamdulillah, anak-anak sihat dan emosi juga terkawal. Semua semakin pandai dan senang dijaga.
“Ayash semakin sihat. Kini, Mama menjaganya di kampung halaman saya di Johor. Selang dua atau tiga minggu, saya akan menghantar orang untuk mengambil Mama dan Ayash.
“Mujurlah teknologi semakin canggih, jadi saya senang berhubung dengan Mama, setiap hari untuk mengetahui keadaan Ayash,” katanya.
Terdahulu arwah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas tiga hari melahirkan anak bongsu, Ayash.
Ramai yang suka makan petai dan jering walaupun ia mengeluarkan bau yang sangat menyengat atau lebih tepat lagi busuk.
Bau busuk dari petai disebabkan ia mengandungi sebatian bersulfur yang menyebabkan mulut berbau dan urin busuk. Begitu juga dengan jering ia mengandungi asid jenkolik yang bertoksid. Kelemahan ketara petai dan jering ialah pada baunya yang menyebabkan orang sekeliling yang terganggu.
Dalam hukum Islam memakan kedua-dua ulam ini memang tidak dijelaskan. Namun hukum memakannya dapat disamakan dengan hadis yang menerangkan memakan bawang putih dan merah yang keduanya memiliki aroma yang tajam.
Ada sebahagian makanan atau minuman yang dilarang dalam agama, ada juga yang hanya makruh hukumnya dan ada juga yang halalan thoyyiban, seperti petai dan jering ini. Sebenarnya jenis makanan ini tidak pernah disebutkan dalam Al-Quran dan Hadis.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW; عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه في فتح خيبر أن النبي صلى الله عليه وعلى آله وسلم قال: “من أكل من هذه الشجرة الخبيثة شيئاً فلا يقربنا في المسجد”، فقال الناس: حرمت، حرمت، فبلغ ذلك النبي صلى الله عليه وسلم فقال: “أيها الناس إنه ليس بي تحريم ما أحل الله لي، ولكنها شجرة أكره ريحها
“Dari Abi Sa’id al Khurdry ketika penaklukan Khaibar, Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Siapa yang memakan dari pohon yang berbau ini (bawang merah dan bawang putih) maka janganlah mendekati masjid.’ Orang-orang pun langsung bercerita-cerita tentang sabda nabi ini, mereka mengatakan: ‘Diharamkan, diharamkan.’ Hingga sampailah isu ini ke Rasulullah SAW, maka beliau bersabda: ‘Wahai umat manusia, sesungguhnya saya tidak mengharamkan apa yang telah Allah halalkan, akan tetapi pohon ini, aku tidak suka baunya,” (H.R Muslim).
Dari hadis ini, jelaslah bahawa bawang merah dan bawang putih tidaklah dilarang. Akan tetapi nabi hanya tidak suka baunya saja, kerana akan mengganggu keselesaan orang sekeliling, sehingga nabi melarang orang yang memakannya masuk masjid, yang menyebabkan orang lain hilang tumpuan ketika solat.
Bagaimanapun, bawang yang telah dimasak tidak mengeluarkan bau selepas memakannya, maka ia tidak akan mengganggu ketenteraman sekeliling, maka tidak menjadi masalah kepada kita untuk ke masjid.
Begitu juga dengan petai dan jering, jika sudah dimasak ia kurang mengeluarkan bau yang kuat malah kita boleh menggosok gigi atau mengunyah gula-gula getah sesudah makan bagi menghilangkan bau mulut.
Akan tetapi ada yang memakruhkannya dengan alasan, baunya memberi mudarat kepada orang lain kerana Nabi sangat menganjurkan agar kita selalu menjaga kenyamanan dan jangan pernah mengganggu orang lain.
Kesimpulannya, kita dibolehkan makan petai dan jering, tetapi jangan terlalu banyak kerana bimbang tidak disenangi orang sekeliling.
Dalam masa sama, petai juga akan menyebabkan angin dalam badan kerana proses penghadaman yang lambat. Manakala, asid jenkolid pada jering akan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang jika dimakan kerap dan banyak.
Kashoorga: Apa pun yang kita makan, seharusnya diambil dalam kadar sederhana dan tidak mengganggu orang sekeliling.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Landasan Kashoorga: Tazkirah On The Go, raikan anak yatim & sampaikan ilmu dalam medium berbeza. Ramadan adalah bulan barakah yang Allah berikan kepada hambanya. Seluruh umat Islam berpeluang mendapatkan kebaikan-kebaikan yang dijanjikan Allah sepanjang bulan ini.
Hikmah pada bulan Ramadan sangat besar kerana ianya bulan yang sering ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam untuk meningkatkan ibadah kepada Allah Taala.
Meneruskan kesinambungan segmen Tazkirah Ramadan Kashoorga yang telah diadakan setiap tahun selama empat tahun, Landasan Kashoorga memilih konsep ‘Event On Ground’ bagi tahun 2023. Soal jawab agama berkaitan bulan Ramadan antara topik yang diketengahkan.
Landasan Kashoorga: Tazkirah On The Go yang dibawakan oleh portal Islamik Kashoorga dari Nu Ideaktiv Sdn Bhd dengan Kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Landasan Kashoorga: Tazkirah On The Go
Jika kebiasaan tazkirah diadakan di masjid dan surau tapi kali ini kami bawakan ke Stesen Sentral Kuala Lumpur sebagai kelainan demi memberi pengisian bermanfaat buat orang ramai walaupun dalam kesibukan mengejar masa dalam perjalanan.
Selain itu, program Landasan Kashoorga juga adalah salah satu aktiviti Kashoorga untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan perkongsian ilmu yang harapnya dapat memberi manfaat buat semua.
Raikan Anak Yatim
Majlis diserikan dengan dua slot tazkirah. Tazkirah pertama bertajuk Meraih Pahala Ramadan: Ibadah On The Go akan disampaikan oleh Ustaz Rahim Azhari yang merupakan pendakwah bebas dan juga speaker motivasi yang aktif berkongsi ilmunya baik di platform media sosial dan juga majlis sekitar Lembah Klang.
Manakala untuk slot tazkirah kedua, ‘Keberkatan Ramadan’ disampaikan oleh Ustaz Adnin Roslan. Ustaz ini mungkin tidak asing lagi bagi yang biasa melayari TikTok.
Sampaikan Ilmu Dalam Medium Berbeza
Beliau yang juga penulis buku Tarbiah Sentap ini selalu berkongsi video menjawab pelbagai kemusykilan agama dengan cara yang santai namun menusuk ke jiwa.
Dalam majlis yang sama, Kashoorga turut meraikan anak-anak yatim sementara menunggu waktu berbuka. Encik Syamil dari Ideaktiv dan Encik Mohd Taha dari KTMB mengambil kesempatan menyantuni anak-anak dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih dengan penyerahan duit raya dan cenderahati untuk mereka.
Tetamu kehormat juga turut meluangkan masa bergerak ke platform EtS untuk acara agihan cenderati kepada pengujung di sekitar platform dan juga di dalam train.
Terima kasih juga kepada penaja-penaja lain seperti Muas Mo Event Stylist, Kedai Ayamas, McDonalds, Pusat Pakaian Hari-Hari, Gula Cakery, Ryns Avenue, Icahfa, Yeo’s serta My Kitchen Partners kerana kesudian berkongsi masa, tenaga dan rezeki untuk memeriahkan majlis kali ini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Selalu jadi imam dalam sel dan mengajar penghuni lain baca al-quran’. Banduan paling lama sujud syukur dibebaskan, selepas 40 tahun menghabiskan hayat di dalam tirai besi.
Tarikh 22 Mac lalu telah menjadi tarikh keramat buat Jamil Wahab, 63, apabila dibebaskan setelah mendapat pengampunan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Malah, dalam diam tempoh itu menjadikan Jamil yang mesra disapa Pak Jamil Hayat sebagai banduan paling lama di negara ini menerima hukuman kini bebas, dan kembali ke kampung halamannya di Kampung Guang, Keliwang, Sembawa di Indonesia, awal pagi ini.
Dia sendiri akui, bila dia dapat tahu pengampunan pembebasan, Jamil tidak percaya kerana sudah sedia maklum berkenaan hukuman sepanjang hayat di penjara.
‘Masa tahun 2012, ada pengampunan beramai-ramai di Johor dengan banduan paling lama adalah 37 tahun sedangkan waktu itu saya 29 tahun. Terus saya kata dalam hati, saya takkan ada peluang.
“Saya fikir akan mati di dalam penjara sahaja dan tidak mempedulikan apa yang akan berlaku dalam dunia ini. Saya ingat mati nanti apa yang saya akan bawa, jadi tumpu untuk beribadah.
“Pagi semalam ketika tuan pengarah beritahu saya dapat pengampunan, saya hanya masuk telinga kiri keluar telinga kanan,” katanya.
Mengajar Penghuni Lain
Ungkap Jamil, dia berasa bersyukur kerana diberi peluang untuk menghabiskan sisa hidupnya di kampung halaman, namun jauh dari sudut hatinya berat untuk meninggalkan sebuah bangunan tembok besi agam yang mengubahnya menjadi seorang manusia yang berguna.
“Saya seronok dapat ‘ampun’, tapi saya sedih sangat untuk tinggalkan penjara ini. Seronok ada tapi sedih lagi tebal kerana akan berpisah dengan staf yang menjaga saya seperti seorang sahabat dan bukan sebagai banduan,” katanya.
Siapa sangka, penjara mengajar Jamil menjadi seorang pekerja mahir dalam bidang jahitan apabila sehingga kini beliau telah menghasilkan ribuan baju Melayu dan blazer untuk pegawai-pegawai penjara.
Baca Al-Quran
Sebelum dipindah ke Penjara Taiping dari Penjara Johor Bahru, Jamil mengutip pengalaman dari bengkel rotan menghasilkan perabot seperti kerusi dan meja.
Malah katanya berbekalkan ilmu agama yang dipelajari selama di kampung dahulu, 40 tahun meraikan hari raya di penjara, Jamil memimpin jemaah lain bersolat termasuk solat Hari Raya.
Dalam masa yang sama, Jamil menasihati anak muda agar jangan mensia-siakan waktu muda dan berpegang teguh kepada ajaran agama agar sentiasa terhindar dari melakukan perbuatan yang tidak baik.
Banduan Paling Lama
“Ketika muda, bila pegang pistol perasaan di dunia ini seperti kita yang punya. Bila pegang pistol kita rasa semua kecil, sikit-sikit marah mahu tembak sahaja.
‘Saya bukan orang yang baik, apabila di Indonesia dulu pun selalu masuk penjara. Atas jasa baik pegawai penjara di sini, saya dapat berubah menjadi manusia yang tidak tinggal ibadah sejak tahun 90-an.
“Saya tekad untuk ubah semua. Saya solat lima waktu dan tidak tinggal apa yang disuruh. Apabila saya lihat cermin, saya tengok rambut saya dah beruban.
‘Dulu saya masuk penjara, badan gempal sekarang kurus,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim dan keseluruhan kakitangan Penjara Taiping.
Sujud Syukur
Pengarah Penjara Taiping Penolong Kanan Komisioner Penjara Nazri Mohamad berkata Jamil dimasukkan ke Penjara Johor Bharu pada Februari 1983 setelah dijatuhi hukuman Penjara Seumur Hayat dan enam sebatan rotan di bawah Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Jamil kemudian dipindahkan ke Penjara Taiping pada 1986 untuk meneruskan hukumannya.
Menurut Nazri pada 22 Mac, Jamil mendapat pengampunan pembebasan daripada Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Johor dengan syarat dia hendaklah dihantar pulang ke Indonesia dan membuat akujanji tidak akan kembali ke negara ini lagi.
“Ia mendapat sokongan dari Pengarah Penjara Taiping melalui Kaedah 113 Peraturan Penjara 2000 Rayuan Pengampunan Banduan Seumur Hayat.
‘Buku laporan kajian hukuman empat tahun sekali bahagian 6 peraturan 54 peraturan-peraturan penjara 2000 iaitu sebanyak 28 buku penyata empat tahun, dibuat untuk rayuan pengampunan,” katanya.’
Dibebaskan
Nazri menyifatkan Pak Jamil sebagai seorang banduan yang warak dan sentiasa tekun dalam setiap bidang yang diceburi selain disenangi oleh penghuni di penjara ini.
“Dia amat aktif dalam aktiviti keagamaan apabila dia menjadi imam dalam sel dan mengajar penghuni lain membaca Al-Quran.
Hubungan Pak Jamil sesama penghuni lain adalah baik dan rapat. Bila sebut sahaja Jamil Hayat, semua kagum dan hormati dia atas ketokohan dan kepimpinan melalui ilmu yang diperoleh,” katanya.