Shima ‘Teringin’ Tidak Kisah Berniaga Nasi Campur Demi Kelangsungan Hidup

Share

Pada era 1990-an, Shima terkenal dengan rangkaian lagu seperti Di Sebalik Sejuta Wajah, Setelah Aku Kau Miliki, Luka Dilukai dan Malam Yang Pasrah. Selepas menyertai program Gegar Vaganza 1, penyanyi ini agak menyepikan diri.

Dalam usia 49 tahun, Shima bertekad untuk berubah setelah menjejakkan kaki ke Tanah Suci mengerjakan umrah awal tahun ini.

Malah penyanyi veteran ini nampak begitu manis dengan helaian yang begitu sopan dan menutup aurat. Lihat sahaja penampilan Shima dengan pelbagai gaya fesyen berhijab yang menyejukkan mata memandang. Rata-rata peminat suka dengan penampilannya yang berhijab sopan.

BERNIAGA NASI CAMPUR

Melalui kemas kini status di laman Instagramnya, Shima berkongsi perkembangan terbaru tentang dirinya. Dia mula berniaga nasi campur sebagai langkah menambah pendapatan.

Bercerita tentang perniagaan nasi campurnya, Shima bersyukur apabila permintaan mengusahakan perniagaan kecil-kecilan di sebuah tapak berhampiran kediamannya di Damansara Damai, mendapat ‘lampu hijau’ daripada pengurusan pangsapuri berkenaan.

“Sebenarnya, hasrat untuk berniaga nasi campur sudah lama tapi kena cari tempat sesuai. Kebetulan tapak ini dekat dengan kawasan orang lalu-lalang.

“Cuma buat masa ini, jualan yang bermula jam 11 pagi hingga petang hanya untuk makanan dibawa pulang atau ‘tapau’. Bagi saya, apabila diberi ruang untuk berniaga pun saya sudah bersyukur,” ujar Shima yang mengaku bahawa ini pengalaman pertama berniaga nasi campur.

WARUNG TERINGIN

“Sebelum ini, ada rakan dan ahli keluarga yang mencadangkan saya menjual nasi campur, namun ketika itu, belum cukup modal. Gerai yang saya namakan ‘Warung Teringin’ ini adalah juadah masakan saya sendiri,” katanya.

Antara juadah yang disajikan termasuk asam pedas, asam rebus, goreng berlada, masak lemak cili api dan aneka masakan kampung lain.

Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Kamarazzaman, 49, berkata, dia sedia menerima tawaran membuat persembahan biarpun sibuk mengusahakan gerai nasi campur.

“Saya sedia terima undangan menyanyi kalau kena dengan masa dan bayaran,” katanya.

Sumber kredit: @shimagegarvaganza1 dan BH Online

Published by
wan erni