Siapa Wajib Bayar Zakat 2.5 % KWSP & Siapa Tak Diwajibkan Bayar Duit Zakat RM10,000 Ini?

Share

Bermula 1 April ini sehingga 30 April akan datang, bermulalah permohonan bagi pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri Yaacob baru-baru ini.

Wang itu akan mula disalurkan ke akaun penerima masing-masing bermula 20 April dan ia merupakan pengeluaran terakhir seperti diperjelaskan. Sebelum ini, sudah ada tiga pengeluaran dibenarkan iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra bagi mengimbangi keperluan individu yang terjejas akibat pandemic Covid-19.

Di sebalik kegembiraan boleh mengeluarkan wang simpanan hari tua ini, ada hal perlu diberi perhatian oleh umat Islam iaitu hal berkaitan membayar zakat wang simpanan sebanyak 2.5 peratus yang perlu dibayar kepada pihak zakat mengikut negeri masing-masing.

Timbul persoalan, apabila wang RM10,000 ini berada di tangan, adakah perlu terus mengeluarkan zakat RM250 (dari kadar 2.5%) atau perlu ditunggu sehingga cukup setahun selepas itu (mencapai setahun dimiliki?). Pada masa yang sama, adakah semua pengeluar wajib membayarnya atau bagaimana?


KASHOORGA menemuramah Ustaz Hamizul Abdul Hamid yang juga Ketua Jabatan Dakwah & Perundingan, Divisyen Syariah & Dakwah, Lembaga Zakat Selangor berkaitan isu ini.

Perlu diingat, perkiraan zakat ini adalah tertakluk kepada Negeri Selangor sahaja dan ianya berbeza mengikut negeri masing-masing.

Menjawap sama ada perlu membayar zakat selepas memperoleh duit atau perlu tunggu hujung tahun, Ustaz Hamizul menjelaskan bahawa fatwa di Selangor yang dikeluarkan pada tahun 2017 menyatakan, setiap pengeluaran wang KWSP hendaklah dizakatkan sejurus selepas pengeluaran.

“Ia bermakna, tidak dikenakan syarat haul (perlu menunggu setahun) ke atas wang KWSP, kerana ia adalah sebahagian dari zakat pendapatan (hal ini tertakluk di Selangor sahaja dan ianya berbeza mengikut negeri masing-masing),” ujarnya.

Dalam pada itu, jelasnya, dalam isu pengeluaran zakat KWSP RM10,000 ini ia tertakluk kepada tiga kumpulan manusia. Ada yang kena zakat, ada yang tak kena.

Pertamanya, mereka yang BEKERJA TETAP dan sudah tahu jumlah gaji bulanan diterima dan mereka juga merupakan pembayar zakat pendapatan sedia ada. Maka mereka ini perlu membayar terus zakat KWSP sebanyak 2.5 peratus seperti fatwa di atas. Jadi, dapat duit terus keluarkan zakat RM250. Sebabnya, sebelum dapat wang KWSP pun mereka memang dah kena zakat pendapatan.

Keduanya, mereka yang TIDAK BEKERJA TETAP TAPI MASIH ADA PENDAPATAN, tak kiralah kecil atau besar. Sebagai contoh, mereka yang buat penghantaran (runner) walau gaji tak tetap masih jana pendapatan setiap bulan, atau mereka yang buat bisnes online dari rumah, buat jualan kuih raya, buat macam-macam pekerjaan dan lain lagi.

“Mereka ini perlu mencampurkan RM10,000 dari KWSP itu dengan semua pendapatan dari kerja yang dibuat, dan menjelaskan zakatnya pada penghujung tahun (maknanya: Wang KWSP + Lain-lain Pendapatan tak tetap). Mereka bayar zakat hujung tahun.

“Bayar hujung tahun itu bukan maknanya tunggu setahun, tak. Kerana duit pendapatan itu masih dikenakan zakat pada tahun yang sama ia diperolehi (jika tunggu setahun, maknanya kena tunggu tahun depanlah). Cuma alasan kumpul hujung tahun sebab nak pastikan keseluruhannya mesti cukup memenuhi keperluan diri, dan mesti mencapai nisab zakat,” jelasnya.

“Sebagai contoh, kalau pendapatan runner pada tahun itu ada RM50,000, maka dicampur RM10,000 KWSP jadilah RM60,000. Maka, zakat pendapatan dikira dari jumlah RM60,000 itulah,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, kumpulan ketiga ialah mereka yang langsung tak ada pendapatan, dan hanya dapat duit KWSP itu sahajalah sebagai pendapatannya pada tahun itu.

“Contohnya SURI RUMAH yang tidak bekerja langsung dan dirinya dapat keluarkan RM10,000. Maka kumpulan ini TIDAK PERLU MEMBAYAR ZAKAT, kerana sudah jelas jumlah RM10,000 itu pun tak mencapai nisab zakat,” katanya ketika dihubungi.

Published by
almaswa Haji Che Ros