Siapakah Suami Di Syurga Kepada Seorang Isteri Yang Pernah Berkahwin Lebih Daripada Sekali

Share

SOALAN: Siapakah yang akan menjadi suami kepada isteri yang memiliki lebih daripada seorang suami?

JAWAPAN:

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.anha:

الْمَرْأَةُ مِنَّا تَتَزَوَّجُ الزَّوْجَيْنِ وَالثَّلَاثَةَ وَالْأَرْبَعَةَ، ثُمَّ تَمُوتُ فَتَدْخُلُ الْجَنَّةَ وَيَدْخُلُونَ مَعَهَا، مَنْ يَكُونُ زَوْجَهَا مِنْهُمْ؟ فَقَالَ: يَا أُمَّ سَلَمَةَ، إِنَّهَا تُخَيَّرُ، فَتَخْتَارُ أَحْسَنَهُمْ خُلُقًا

Maksudnya: “Ada wanita daripada kalangan kami berkahwin dua, tiga dan empat kali. Kemudian dia (wanita) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam Syurga dan yang masuk bersamanya adalah para suaminya. Siapakah (daripada kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)?. Maka Nabi SAW bersabda: “Wahai Ummu Salamah, dia (isteri) itu diberi pilihan maka dia akan memilih yang lebih baik akhlaknya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3141) dan al-Mu’jam al-Akbar (870)]

Imam al-Thabarani menyatakan tidak meriwayatkan hadis ini daripada Hisyam bin Hassan melainkan Sulaiman bin Abi Karimah. Maka ‘Amr bin Hasyim telah bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadith ini. [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath. 279/3] Tambahan pula, Imam al-Haithami menyatakan salah seorang perawi di dalam sanad hadith ini iaitu Sulaiman bin Abi Karimah dinilai dhaif oleh Abi Hatim dan Ibn ‘Adiy. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 119/7] Selain itu, Imam Ibn al-Jauzi menilai hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanahiyah, 161/2]

Antara riwayat lain yang menceritakan akan masalah ini adalah kisah ketika Mu’awiyah bin Abi Sufiyan ingin meminang Ummu al-Darda’ selepas kewafatan Abu al-Darda’:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا، فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami dan dia bernikah lagi selepas daripada itu, maka suaminya di Syurga adalah yang paling akhir dinikahinya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (3130)]

Imam al-Haithami mengatakan di dalam sanad hadis ini terdapat Abu Bakar bin Abi Mariam dan dia merupakan seorang perawi yang bercampur hafalannya (tidak kuat hafalannya). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 270/4] Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai dhaif.

Terdapat sebuah lagi riwayat dalam masalah ini iaitu kisah yang berlaku kepada Ummu Habibah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Ummu Habibah berkata:

يَا رَسولَ اللهِ الْمَرْأَةُ يَكُونُ لَهَا الزَّوْجَانِ فِي الدُّنْيَا، يَعْنِي يَكُونُ زَوْجًا بَعْدَ زَوْجٍ فَيَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ فَلِأَيِّهِمَا تَكُونُ؟ قَالَ: لأَحْسَنِهِمَا خُلُقًا

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sekiranya seorang wanita itu mempunyai dua orang suami di dunia, iaitu suami yang dinikahinya selepas pernikahan yang pertama dan kesemua mereka itu memasuki Syurga. Siapakah yang akan menjadi suaminya (di Syurga nanti)? Nabi SAW menjawab: Suami yang akan bersamanya adalah yang paling baik akhlaknya.”

[Riwayat al-Bazzar (6631)]

Imam al-Iraqi mengdhaifkan sanad hadis ini. Selain itu juga, Imam al-Bazzar menyatakan hadith ini tidak diketahui bahawa Humaid meriwayatkan daripada Anas bin Malik. [Lihat: Musnad al-Bazzar, 183/13]

Berikut adalah sebahagian riwayat-riwayat yang menceritakan berkaitan permasalahan ini dan kesemua riwayat-riwayat tersebut tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama atau tokoh-tokoh hadith.

Untuk itu, kami simpulkan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama bahawa masalah ini terbahagi kepada beberapa pendapat dan para ulama berbeza pandangan dalam menentukan masalah ini:

*Isteri tersebut akan bersama suami yang paling baik akhlaknya ketika di dunia.
*Isteri tersebut diberi pilihan untuk memilih.
*Isteri tersebut akan bersama suaminya yang terakhir.

Imam al-Suyuthi cuba untuk menghimpunkan kesemua riwayat tersebut dengan menyatakan bahawa seorang wanita (isteri) itu akan bersama suaminya yang terakhir sekiranya kesemua suaminya itu sama pada sudut akhlak. Sekiranya tidak begitu, maka wanita tersebut akan memilih yang paling baik akhlaknya.

Di dalam masalah ini, kami cenderung untuk bertawaqquf kerana dalil yang menyatakan tentang masalah ini adalah tidak begitu kuat melainkan hadis yang menceritakan kisah Ummu al-Darda’ adalah yang paling kuat dari sudut kesahihannya. Tambahan pula, perkara ini termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib kerana ia melibatkan Syurga. Justeru itu, sebaiknya perkara ini diserahkan kepada Allah SWT dan pendapat ini juga difatwakan oleh Syeikh ‘Athiyyah al-Saqar.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, setiap insan itu sama ada wanita atau lelaki perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang isteri atau suami yang terbaik kepada pasangannya di dunia ini, agar dengan cara itu akan memasukkan kita ke dalam Syurga. Adapun berkaitan urusan di dalam Syurga kelak, kita sewajarnya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT dan perkara yang boleh dilakukan atau diusahakan oleh kita adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT akan menghimpunkan kita bersama isteri kita dan juga menghimpunkan kita bersama orang-orang yang soleh di dalam Syurga kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memasukkan kita dan seluruh ahli keluarga kita ke dalam Syurga-Nya di Akhirat kelak. Amin.

Wallahua’lam

Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

VIDEO:

Published by
wan erni