Sihir Ain, Pandangan Mata Yang Melumpuhkan, Kena Tahu Bagaimana Rawatannya

Share

Penyakit ain disebabkan oleh pandangan mata seseorang terhadap sesuatu atau seseorang dengan perasaan kagum, bercampur perasaan hasad. Pandangan tersebut menyebabkan terjadinya kemudaratan terhadap sesiapa yang dilihatnya.

Apabila seseorang melihat seorang lain hingga terdetik di hatinya sesuatu yang berunsurkan negatif, secara tidak langsung dia telah mengainkan orang yang dilihat Itu tanpa disedarinya.

Rawatan Penyakit ‘Ain

Sekiranya seseorang terkena penyakit ‘ain, berubatlah dengan rawatan secara syar’ie, iaitu:

DIBACAKAN RUQYAH ATAU DOA

Daripada Buraidah bin Al-Husyaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ رُقْيَةَ إِلاَّ مِنْ عَيْنٍ أَوْ حُمَة

Maksudnya: “Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat), kecuali untuk penyakit ‘ain, atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa..” Riwayat al-Bukhari (5705) dan Muslim (220)

DIMANDIKAN DENGAN AIR
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.”

Baginda SAW bersabda:

عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ

Maksudnya: “Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”

Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwuduk. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”

Riwayat Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)

Ibn al-Qayyim Rahimahullah berkata:

هَذِهِ الْكَيْفِيَّةُ لَا يَنْتَفِعُ بِهَا مَنْ أَنْكَرَهَا وَلَا مَنْ سَخِرَ مِنْهَا وَلَا مَنْ شَكَّ فِيهَا أَوْ فَعَلَهَا مُجَرِّبًا غَيْرَ مُعْتَقِدٍ

“Cara pengubatan ini tidak akan dapat mengambil manfaatnya bagi orang yang mengingkarinya, orang yang mempersenda-sendakannya, orang yang meragukannya atau yang melakukannya sekadar cuba-cuba tanpa meyakini.” (Lihat Fath al-Bari, 10/205)

BERLINDUNG DARI TERKENA PENYAKIT AIN

Berusaha berlindung daripada penyakit ain adalah dibolehkan serta ia tidak menafikan konsep tawakkal. Ini kerana tawakkal adalah bergantung kepada Allah SWT disertai dengan melakukan asbab perkara yang diharuskan atau diperintahkan dengannya.

Berlindung kepada Allah SWT merupakan pencegahan terbaik daripada terkena penyakit ‘ain malah daripada segala mara bahaya. Nabi SAW memperlindungkan al-Hasan dan al-Husin R.Anhuma sepertimana dalam hadis Ibn Abbas R.Anhuma, Baginda SAW bersabda:

أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Maksudnya: Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki.” Riwayat al-Nasa’ie (7679), Abu Daud (4737),  Ibn Majah (3525), dan al-Tirmizi (2060)

Marilah kita mengamati dan tadabbur surah al-Falaq serta mengamalkannya supaya terhindar daripada penghasad dan pendengki.

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ﴿١﴾ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ﴿٢﴾ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ﴿٣﴾ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ﴿٤﴾ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, (1) “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; (2) “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; (3) “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); (4) “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”

Sumber kredit: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

VIDEO KASHOORGA:

 

Published by
wan erni