Ironinya, sebahagian masyarakat hari ini lebih cepat marah apabila hal duniawi disentuh, tetapi sejauh mana kita sensitif apabila agama Islam dan Rasulullah SAW dihina?
Sebagai umat Islam, mencintai agama dan Nabi Rasulullah seharusnya bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi perlu dizahirkan melalui sikap dan tindakan.
Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi, para sahabat terdahulu begitu tegas apabila maruah Baginda diperkotak-katikkan.
Jelas Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia mereka bukan sahaja bertindak balas dengan segera, malah memastikan setiap penghinaan terhadap Rasulullah tidak dibiarkan begitu sahaja.
“Para sahabat sangat sensitif andai sekiranya Rasulullah itu dihina atau disakiti. Ingatkah kita bagaimana kisah Saidina Umair bin Sa’d yang begitu marah apabila bapa tiri kesayangannya, al-Julas mengeluarkan kata-kata yang seolah-olah merendahkan Rasulullah.
“Ketika Baginda memerintahkan agar para sahabat bersiap sedia untuk menghadapi perang Tabuk, al-Julas enggan memberikan sumbangan malah mengeluarkan kata-kata yang merendah atau menghina Rasulullah.
Mendengar kalimah itu Umair berkata:
وَاللَّهِ يَا جِلاسُ، إِنَّكَ لأُحِبُّ النَّاسَ إِلَيَّ وَلَقَدْ قُلْتَ مَقَالَةً لَئِنْ ذَكَرْتُهَا لَتَفْضَحَنَّكَ
Wahai Julas, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling aku sayangi, tetapi engkau telah mengucapkan sesuatu yang sekiranya aku adukan tentangnya, ia akan membinasakan engkau. (Tafsir Ibn Abi Hatim).
“Lihatlah sikap Saidina Umair ini. Sekalipun al-Julas itu merupakan orang yang paling disayanginya, namun sekiranya beliau menyakiti Rasulullah, Umair tidak duduk diam malah segera mengadukan perkara ini lantas al-Julas dikenakan Tindakan,” tulis beliau dalam satu perkongsian di media sosial.
Sambung Dr. Sanusi begitu juga dengan riwayat Saidina Ali mengenai seorang perempuan Yahudi pernah mencerca Nabi secara terang-terangan.
Wanita itu akhirnya dikenakan tindakan lalu perkara ini di bawa kepada Nabi. Rasulullah mempertahankan hukuman tersebut dengan menyatakan bahawa perjanjian perlindungan perempuan tersebut terbatal kerana tindakan menghina tersebut.
Para sahabat begitu sensitif andai sekiranya Rasulullah itu dihina atau disakiti. Mereka segera mengadukan perkara ini kepada Rasulullah atau segera mengenakan tindakan terhadap pelakunya.
“Adakah kita lebih sensitif andai sekiranya agama lain dihina berbanding sekiranya Rasulullah itu sendiri dipeleceh? Semoga Allah membimbing kita,” akhirinya.
Sumber: Dr Ahmad Sanusi
Artikel berkait: Mufti WP Kongsi Kisah Benar, Kejadian Aneh Berlaku Pada Mayat Penghina Nabi Ketika Hendak Dikebumikan