Mengapa jika ada masalah, seperti perceraian, posting luahan hati di sosial media menjadi pilihan? Lihat sahaja di facebook, twitter,blog dan aplikasi digital hari ini ada sahaja coretan luahan hati tanpa memikirkan kesannya kelak.
Bagi pemilik akaun, itu adalah hak dia untuk bersuara atau melepaskan apa yang terbuku di hati dan termasuklah perihal kepincangan rumahtangga.
Hal perceraian adalah sesuatu yang sangat peribadi dan ia melibatkan aib diri, keluarga malah pihak ketiga jika ada. Seboleh mungkin ia disimpan kemas dan hanya keluarga dan sahabat terdekat sahaja yang tahu. Tidak perlu hebohkan satu dunia tentang nasib diri.
Artikel berkaitan: “Selepas Perceraian Kami Berpura Bahagia, Tapi Naluri Anak Dapat Hidu Semuanya”-Ibu Tunggal
Artikel berkaitan: Jika Perceraian Jalan Terbaik, Lepaskanlah. Jangan Seksa Isteri Gantung Tak Bertali”- Peguam
Ikuti nasihat puan Hajah Safura Hj. Ahmad Sharkawi, Ketua Penolong Pengarah, Unit Kaunseling, Jabatan Agama Islam Serawak khas buat pasangan yang telah bercerai, hasil daripada pengamatan beliau.
Bagi yang sudah bercerai, saya sarankan sebaik baiknya elakkan posting yang berbentuk refleksi atau pengeluahan perasaan kepada umum buat beberapa ketika yang mungkin agak lama. Ia adalah atas beberapa sebab:
Ia menamatkan pertingkahan, pertengkaran yang merosakkan emosi diri sendiri dan juga orang-orang penting yang berada di sekitar perkahwinan itu.
Posting berunsur refleksi terbuka untuk tanggapan yang subjektif. Ia boleh memanjangkan lagi perbalahan, persengketaan, menyukarkan interaksi neutral yang masih perlu di masa hadapan seperti urusan anak-anak, ziarah menziarahi keluarga mentua dan sebagainya.
Bagi mereka yang berada dalam circle anda, mereka akan membuat interpretasi yang menjurus kepada perkara sekitar isu rumahtangga anda.
Ia boleh jadi datang dalam bentuk sokongan, tohmahan, kejian, umpatan dan lain-lain yang lebih banyak mudarat dan tidak membantu anda pulih daripada trauma mahupun kelukaan.
Anda mungkin maksudkan lain tapi anda tak boleh jangka dan menahan orang mentafsir dengan fahaman dan sudut pandang berbeza.
Lebih lagi bila anda membuat posting umum di media sosial. Jika 5000 orang membacanya, setiap seorang boleh membuat interpretasi yang tidak sama bergantung di posisi mana mereka berada.
Apabila mereka komen, komen mereka pula diinterpretasi oleh 4999 orang lain yang juga dari sudut berbeza.
Anda berkongsi keluarga, berkongsi kawan-kawan, berkongsi saudara mara, berkongsi kawan facebook, berkongsi kelab atau persatuan, berkongsi followers, berkongsi rakan pejabat, berkongsi kejiranan, berkongsi kawan-kawan anak dan juga ibubapa kepada anak-anak, berkongsi rakan jemaah masjid surau dan sebagainya.
Apabila anda membuat posting yang hiba sayu atau berbentuk amarah yang menjurus kepada isu sekitar perkahwinan dan perceraian anda, ia akan mendorong kepada terpecahnya circle yang anda kongsi tadi.
Puak A menyokong anda, puak B menyokong bekas pasangan anda sedangkan puak A dan puak B mungkin adalah kalangan rakan rapat anda suami isteri sebelum ini.
Anda tenang, bekas pasangan tenang, keluarga tenang, circle anda pun tenang. Nak move on pun senang. Tak mahulah jadi seperti kata pepatah: “Rumah siap, pahat masih berbunyi”. Lontarkan luahan hati itu eksklusif untuk tatapan sendiri sahaja.