Kerohanian

Solat 60 Tahun Tapi Solatnya Tidak Diterima

Share

Solat lima waktu adalah kewajipan setiap umat Islam. Tapi alangkah ruginya jika setiap hari melakukannya namun solat itu tidak diterima Allah SWT kerana sikap kita sendiri yang mengambil mudah tentang tertib dan tumakninah dalam ibadah ini.

Malah Rasulullah pernah menggambarkan kepada Saidina Abu Hurairah bahawa terdapat seorang lelaki yang menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi solatnya tidak diterima Allah.

Sabda Rasulullah:

إنَّ الرجلَ ليُصلِّي ستِّينَ سنةً و ما تُقبَلُ له صلاةٌ، لعله يتمُّ الركوعَ، ولا يتمُّ السُّجودَ، ويتمُّ السجودَ ولا يتمُّ الركوعَ

Maksudnya: “Seorang lelaki menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi satu pun solatnya tidak diterima Allah. Perkara ini berlaku kerana dia menyempurnakan sujudnya tetapi tidak menyempurnakan rukuknya, atau menyempurnakan ruku’nya tetapi tidak menyempurnakan sujudnya.” (HR Ibn Abi Syaibah)

Hadis ini mengingatkan kita supaya menyempurnakan setiap rukun di dalam solat. Bahkan Rasulullah di sini secara spesifik mengingatkan kita tentang rukuk dan sujud yang sering diabaikan oleh sebahagian manusia.

Sabda Rasulullah:

وأسوأُ السَّرقَةِ الذِي يسرِقُ صلاتَهُ قالوا: وكيف يسرقُ صلاتَهُ؟ قالَ: لا يُتِمُّ رُكُوعَهَا ولا سُجُودَهَا

“Seburuk-buruk pencuri adalah mereka yang mencuri di dalam solat. Sahabat lalu bertanya: Bagaimana seseorang itu mencuri di dalam solatnya? Rasulullah lalu menjelaskan: (pencuri solat ini ialah) mereka yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud merekanya.” (HR Ahmad)

Saidina Ibn Umar pernah ternampak seorang pemuda yang solat. Pemuda itu berdiri sangat lama. Lalu Ibn Umar berkata: Siapa yang kenal pemuda ini? Lalu dia berkata:

أما أني لو عرفته لأمرته بكثرة الركوع والسجود

“Kalaulah aku mengenali lelaki ini, aku akan ajar beliau supaya lebih banyakkan masa supaya sujud dan rukuk dengan lebih panjang.

Ini adalah kerana menurut Ibn Umar amalan rukuk dan sujud ini mempunyai kelebihan tersendiri.

Beliau lalu membacakan hadith dari Rasulullah yang menyebutkan:

إن العبد إذا قام يصلي أتي بذنوبه كلها ، فوضعت على رأسه وعاتقيه ، فكلما ركع أو سجد تساقطت عنه

“Sesungguhnya seorang hamba itu sekiranya dia menunaikan solat, maka dia akan datang dengan keseluruhan dosanya! Dosa-dosa tersebut diletakkan di atas kepala dan bahu mereka. Lalu setiap kali dia rukuk atau sujud, maka gugurlah dosa-dosa tersebut!

Oleh yang demikian hendaklah kita sentiasa menjaga tertib dalam solat serta berusaha untuk kusyuk. Usah solat dalam keadaan tergesa-gesa agar segala ibadah kita tidak menjadi sia-sia.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Baca lagi: Hukum Baca Bacaan Dalam Solat Laju-Laju, Solat Sah Atau Tidak

Published by
Team Kashoorga