Solat Dan Berdialoglah Dengan Allah Bila Ada Masalah, Allah ‘Mendengar’ Tanpa Syarat

Share

Manusia mana yang tidak pernah ditimpa masalah? Setiap kali ditimpa masalah pastinya kita sering mengeluh. Sebenarnya tanpa kita sedari apabila kita sering mengeluh, ia bukan sahaja tidak menyelesaikan apa-apa tetapi hanya membuatkan kita jadi lebih tertekan.

Ada baiknya, jika kita mengadu kepada Allah. Dekatkan diri kepada Allah. Hanya dengan cara itulah kita mampu menjadi lebih tenang.

DOA YANG DIKABULKAN TUHAN

“Masalah dan manusia itu berpisah tiada, dan seringnya masalah itu kita suka cerita pada orang sekeliling.

Itulah dia puncanya. Punca kepada masalah hidup yang tak terselesaikan. Kita terlalu banyak mengadu dan bercerita pada manusia.

Salahkah nak mencurah sakit pada orang lain?
Tiada salahnya, cuma tak kena bila mana tak mendahulukan Tuhan.

Saya sendiri sejak kecil, sangat suka berbual dengan Tuhan.

Kisahnya waktu kecil saya mengalami masalah gagap.

Kerana itu, saya tak pandai untuk bergaul dengan orang lain.

RUGI ORANG YANG TINGGAL SOLAT

Oleh sebab itu juga, selalu saya diejek dan dibuli teman sekolah kerana lebih banyak menyendiri dan tak banyak cakap. Ditampar berkali-kali, disimbah air; sudah jadi mainan ke atas saya saban hari.

Jika tidak kerana didikan orang tua yang mendidik saya untuk bersolat, pasti saya sudah bunuh diri waktu itu juga.  Tekanannya terlalu berat dan tak terpikul.

Orang yang meninggalkan solat adalah orang rugi serugi-ruginya. Kamu sedang meninggalkan kesempatan untuk berdialog dengan Tuhan.

Rugi betul!

Dari kecil ini doa yang selalu saya titipkan.
Setiap kali lepas solat. Berkali kali.

“Ya Tuhan, tolonglah. Di masa akan datang ini, jadikanlah aku seorang yang petah dan pandai berbicara. Hingga setiap kali aku membuka mulut, semua orang akan jadi takjub dengan apa yang aku katakan. Jadikan lisan ini dapat membantu ramai orang, wahai Tuhan,” doa saya semasa di hujung sekolah menengah.

Apa yang terjadi kemudian?

Kalian boleh lihat bagaimana Channel Pagar Kehidupan, dan boleh dengar sendiri bagaimana saya berbicara sekarang.

Hari ini setiap kali saya mengingat masa lalu, ia benar bikin saya terharu.

Tuhan itu ada, sahabat.

Dan Dia sentiasa Mendengar apa saja yang kita bisik dan lafazkan. Kadang-kadang kita cepat putus asa, terlalu cepat kecewa hingga kita tak membuka ruang langsung buat Tuhan membantu dan mengabulkan doa kita.

Langkah pertama apabila ada masalah; solat dan berdialoglah dengan Tuhan. Dia Maha Mendengar tanpa syarat, tanpa mengira siapa.

Dia Tuhan yang Maha Baik, yang tak jemu langsung dengan masalah kamu yang sirinya tak tamat-tamat.

Kamu luahkan pada manusia, mana kamu tahu dia sudi dengar?

Lebih teruk, disampai-sampaikan pula pada orang lain. Kamu yang bakal kecewa, sampai merasa barzakh adalah solusi cocok untuk bahagia dan tenang.

Saya tak tahu apa masalah kalian.

Yang tahu, Tuhan saja. Maka berbincanglah dengan Dia. Curah semua, Dia ada dan menunggu. Kita perlukan Dia, kerana semakin bertambah usia, masalah pun sama mengikut. Lebih rumit dan variasinya banyak pula.

Selain bicara dengan Tuhan, saya mahu kongsikan satu cara yang 10 kali ganda lebih berkesan dengan izin Tuhan berbanding doa yang biasa-biasa. Boleh gunakan teknik ini berkali-kali.

NAMANYA SEDEKAH MANUSIA TERPUJI

Katakan sahabat ada masalah pekerjaan. Maka langkah pertama, cari orang yang paling tepat untuk kalian bersedekah. Siapakah orangnya?

Fakir miskin? Salah.

Anak yatim? Salah.

Orang sakit? Salah.

Sedekah terbaik ialah pada IBU KAMU.
No 1, wajib ibu.

Kita selalu fikir bagaimana nak bantu orang lain, terlupa kita pada ibu sendiri.

Terpulang mahu percaya atau tidak. Ibu yang tak sengaja dilupakan itu, jauh lebih berharga buat kamu berbanding anak yatim dan orang susah. Sedih, bukan?

Asingkan jumlah wang, dan berdoa pada Allah,

“Ya Tuhan, daku niat sedekah ini keranaMu. Daku mohon ya Tuhan, berkat sedekah ini, jadikanlah ibuku orang yang paling bahagia, ringankan, dan angkatlah beban hidupnya,”

Kemudian tambah lagi.

“Duhai Tuhan yang Maha Baik, dari sedekah yang tulus ini, daku punya permintaan lain yang mohon dikabulkan. Tolonglah kurniakan daku pekerjaan terbaik, agar dapat kuberi nafkah pada keluargaku. Tolong bantu, Ya Tuhan, Amin Ya Mujib,”

Selesai doa, terus bersedekah pada ibu.

Sedekah yang paling utama, telah kamu penuhi.

Cara ini inshaAllah kesannya berganda lebih cepat berbanding cara lain. Boleh gunakan untuk masalah kecil, atau besar, dan lihat sendiri bagaimana cepatnya permintaan kamu diperkenankan Tuhan inshaAllah.”

Sumber kredit: Kak Bed Jaafar

VIDEO:

Published by
wan erni