Solat jamak dan qasar adalah kemudahan yang dikurniakan untuk mereka yang bermusafir menunaikan solat.
Namun jarak perjalanan tersebut hendaklah melebihi dua marhalah atau 81 kilometer dan bukan untuk tujuan maksiat
Bagaimana pun sering berlaku salah faham dan juga kekeliruan tentang jumlah hari yang dibenarkan untuk menjamak dan mengqasarkan solat.
Ada yang memahami bahawa solat ini boleh dilakukan dalam tempoh tiga hari bermusafir.
Perkara ini memang diakui oleh Pendakwah Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi dan ada membuat penjelasan tentang hal ini dalam satu video yang dikongsi dalam platform TikTok beliau.
Beliau menjelaskan, apa yang difahami segelintir umat Islam ialah dibolehkan jamak dan qasar dalam tempoh tiga hari dan hari keempat serta seterusnya perlu dilaksanakan solat secara tamam atau sempurna seperti kebiasaannya.
Menjawab salah faham tersebut, beliau memberikan contoh yang mudah difahami.
“Sebenarnya begini, kita bermusafir selama lima hari termasuk dua hari perjalanan iaitu perjalanan pergi dan pulang.
“Hari pertama dikira sebagai hari perjalanan. Hari kedua dikira sebagai hari pertama, hari ketiga pula ialah hari kedua dan hari keempat ialah hari ketiga. Hari kelima pula dikira sebagai hari perjalanan pulang.
Adapun kalau bermusafir selama tujuh hari termasuk hari perjalanan pergi dan pulang katanya, selepas ditolak dua hari perjalanan, masih berbaki lima hari menetap di tempat tersebut.
“Maka kalau keadaan macam ini, sepanjang waktu itu (lima hari) dia tidak boleh jamak dan qasar solat kecuali pada hari perjalanan pergi dan balik sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, memetik dari laman web Pejabat Mufti Wilayah PersekutuaAl-Kafi #926: Perkiraan Hari Masuk Dan Hari Keluar Dalam Hukum Solat musafir (jamak dan qasar) menjelaskan, syarat sah solat jamak dan qasar bagi musafir seperti direkod dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji ialah:
“Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.”
Sekiranya menetap di satu tempat lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik), maka keseluruhan tempoh semasa kita menetap di tempat tersebut tidak dibenarkan jamak dan qasar, dan perlu solat secara tamam (sempurna).
Ia berdasarkan hadis Al-`Ala’ bin al-Hadhrami, Rasulullah SAW bersabda: “Orang Muhajirin bermukim di Mekkah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Seseorang yang musafir hendaklah berniat menetap tiga hari (atau kurang) di destinasi musafirnya untuk membolehkannya mengambil rukhsah solat jamak dan qasar.
“Ini tidak termasuk siang hari sampai dan siang hari pulang, atau malam hari sampai dan malam hari pulang. Jika dihimpunkan keseluruhan hari tersebut, ia boleh mencecah lima hari,” jelasnya.
Sumber: Jafri Mahmoodi Official & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan