Hati mana yang tak tersentuh bila mana melihat anak yang kematian ibu bapa mengambil tanggungjawab menyempurnakan solat jenazah untuk orang tua mereka.
Apatah lagi bila anak-anak ini masih lagi muda remaja. Sebak dan dalam masa yang sama terharu. Terbaru adalah tatkala melihat foto anak kepada arwah penyanyi nasyid Suhaimi Saad yang mengimamkan solat jenazah bapanya.
Hakikatnya sememangnya seorang anak itu lebih afdal menjadi imam untuk solat jenazah orang tuanya. Perkara ini dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramahnya bila ditanya persoalan antara anak dan imam, siapakah yang afdal menjadi imam solat jenazah?
Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, sudah tentulah anak yang paling afdal mengimamkan solat jenazah untuk ibu bapanya.
“Para ulama menyebut, apabila berlaku kematian seseorang contohnya ibu bapa, yang paling afdal adalah anak si mati (imamkan solat jenazah).
“Andai tok imam atau orang kampung dan sebagainya menjadi imam (solat jenazah ibu bapa kita), harus hukumnya.
“Perlu difahami afdal itu bukanlah bermaksud wajib, tetapi dialah yang terlebih molek (terbaik) dan terlebih banyak pahala,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di YouTube miliknya.
Sementara itu, pendakwah Syeikh Zaini Ahmad menerusi video yang disiarkan dalam YouTube D’nar Cairo SKJDP berkongsikan fadilat apabila seorang anak mengimamkan solat jenazah ibu bapanya yang meninggal dunia.
Jelas beliau, pintu syurga akan terbuka kerana ALLAH merahmati si mati asbab anaknya yang mendirikan solat jenazah buat orang tua mereka.
“Bayangkan anaknya sendiri yang bertakbir dengan penuh kasih sayang. Sebenarnya harapan dia (anak) supaya ALLAH buat baik pada mak dia, itulah doanya dalam hati yang tidak terkeluar pada mulut. Doa itu mustajab.
“Dia (anak) tak baca doa apa, tapi harapan dia itu ‘Ya ALLAH, ampunkanlah dosa mak aku’, itu doalah tu. Mana-mana mak ayah yang mati disolatkan jenazah diimamkan oleh anak, ketahuilah, mak ayah itu calon ahli syurga.
“Kalau kami hendak mak kamu di syurga, maka buatlah sesuatu yang terbaik kali terakhir untuk dia,” ungkapnya.
Dalam pada itu, sebaiknya kita belajar solat jenazah yang menjadi fardu kifayah buat umat Islam. Sesungguhnya menyempurnakan solat jenazah adalah bakti terakhir seorang anak lelaki buat orang tua mereka.
Sumber: siplus.sinarharian