Solat Jenazah Sampai Dua Kali Berkat Kebaikan Dilakukan Ketika Hayatnya, Sebelum Pemuda Ini Dijemput Illahi

Share

Selain keluarga, kawan-kawan juga adalah pelengkap dalam kehidupan kita. Merekalah insan yang Allah hadir untuk memberi rasa kegembiraan dalam menjalani kehidupan seharian.

Baru-baru ini viral di media sosial perkongsian seseorang dikenali dengan nama Nur Wanis di laman sosial Facebook melalui page Hikmatul Islam yang begitu sedih atas kehilangan sahabat baiknya pada 27 Oktober lalu akibat kanser usus.

Sahabatnya itu Mohd Khairul Ridwan yang merupakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Arwah yang dikenali sejak lima tahun lalu ketilka berkawan dari zaman kampus disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

Walaupun sedang sakit, tetapi arwah begitu cekap bertarung nyawa melawan penyakit berkenaan.

Ikuti perkongsian catatannya yang begitu menyentuh hati.

[Kematian yang menyedarkan jiwa yang terlena]

Suasana masih lagi terasa hiba dan terasa sangat kehilangan saudara Akhi Khairul.

Penuh ucapan takziah di wall fb beliau, sebak rasanya bila membaca satu persatu perkongsian orang yang mengenalinya.

Bukan seorang yang memuji dan menyebut kebaikan arwah, bahkan beratus sahabat handai dan guru-guru mengakui hal yang sama.(Saya hanya screenshoot sebahagian darinya)

Beliau seorang yang ramah, mesra, suka bergurau dan baik hati. Malah solat jenazah dilakukan hingga dua kali kerana ramai jemaah yang hadir di rumahnya

Seorang yang ramah, mesra, lembut, suka bergurau dan baik dengan semua orang. Baik yang bukan dibuat-buat. Sesuai dengan namanya Khairul Ridwan (Baik; Keredhaan Tuhan)

Solat jenazah perlu dilakukan sehingga 2x kerana ramai sungguh orang yang hadir di rumahnya semalam.

Sebagai seorang penulis, dan sebagai seorang teman yang turut mengenalinya sejak dari zaman kampus lebih kurang 5 tahun kami berhubung. Tetap sahaja dia baik seperti itulah.

Saya mengambil ruang ini untuk kita sama-sama merenung dan mengambil sisi kebaikan arwah.

Inilah keistimewaan insan ini. Ketika dikafankan, wajahnya bersih seperti budak sedang tidur

Apa yang istimewa sangat dengan sosok tubuh yang bernama Khairul Ridwan ini?

1) Orang yang biasa-biasa, tapi bila dia jatuh sakit, “luar biasa” tak putus orang datang jenguk ziarah dan hulurkan bantuan sehinggalah saat dia meninggal, begitu ramai yang datang untuk solat jenazah.

2) Orang yang biasa-biasa, suka bergurau, suka tersenyum, ramah mesra dengan semua orang tapi “luar biasa” hatinya yang tulus ikhlas bersahabat berukhuwah dengan sesiapapun. Tak kira tua atau muda, dia tegur belaka. Bukan jenis sombong. Bukan jenis baran. Jenis lembut hatinya.

Begitulah istimewanya sehingga selepas dikafankan, dikatakan wajah dia bersih, tidur nyenyak seperti budak kecil sedang tidur.

3) Orang yang biasa-biasa, sangat aktif ke situ sini, tapi sangat “luar biasa” dalam perjuangannya membantu agama Allah, masuk Unit Amal untuk bantu ummah, ahli Pemuda Pas, Pengerusi persatuan, Naqib Usrah dan macam-macam lagi dia join.

Umur 27 tahun tapi berkat, penuh amal soleh dan kebajikan yang diisi. Kita pula bagaimana?

4) Orang yang biasa-biasa, tapi sangat “luar biasa” hubungannya dengan ibubapanya. Pernah saya tanya dia, tak penat ke berulang alik ke kampung dari Kuala Ketil ke Kelantan dengan motor?

Katanya takpe, asalkan selalu dapat lihat wajah ibu dan ayahnya. Beliau anak sulong, begitu jelas komitmen dan tanggjawab yang tinggi pada famili.

5) Orang yang biasa-biasa tapi “luar biasa” kecintaannya kepada Rasulullah SAW. Dia buktikan dengan istiqamah dalam perjuangan islam dan dakwah.

Sharing dari sahabat yang mengenalinya;

“Kak wanis, antaranya sebab Allah angkat darjatnya juga adalah kerana kasihnya Allahyarham kepada Rasulullah saw.

Seingat saya tahun 2014 dalam program pimpinan Kudsy bersama pensyarah kulliyyah usuluddin. Allahyarham masa tu menceritakan kisah pengorbanan Rasulullah saw, bagaimana cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi oleh baginda rasulullah saw untuk menyebarkan syiar islam, saat itu juga air mata Allahyarham tumpah mengenangkan kesusahan baginda untuk menyebarkan islam.” -Qamarul Bahjan-

6) Orang yang biasa-biasa, tapi “luar biasa” reaksinya bila diuji dengan sakit kanser usus tahap 4.

Luar biasa bila dia benar-benar pasrah, redha, sabar dan ikhlas menerima ketentuan takdir yang telah Allah tuliskan. Mungkin munajatnya pada Tuhan di saat-saat akhir dalam pergelutan kesakitan itulah paling “special” yang Allah pandang.

Sepanjang saya bermesej dengannya, dia selalu memberikan kata-kata positif, dan time sakit pun tak pernah dengar dia mengeluh, masih tersenyum positif.

Takde merungut, takde marah-marah, takde menjauhkan diri pada orang, mesej tetap dia balas macam selalu, seolah dia tak sakit apapun. Allahu…

Saya merasakan, inilah “luar biasa” hebat sangka baiknya dengan takdir Allah sehingga Allah juga telah memuliakan dan mengangkat darjatnya saat kematiannya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersama dosanya seperti pohon menggugurkan daun-daunnya.”

(HR Bukhari dan Muslim)

Sayang dan cintanya Allah kepada hamba yang beriman.

Allah “kirimkan” sebuah penyakit yang berat itu, tanda Allah nak hapuskan semua saki baki dosa yang ada, cuci bersih sehingga bertemu Allah semula tanpa cela.

Temanku.

Pujian manusia saat hidup, tidaklah pelik. Tapi sangatlah luar biasa “pelik” jika ramai manusia yang memuji-muji selepas kematian.

Kerana pujian itu bukan boleh dibuat-buat, bukan berpura-pura, tapi betapa Allah jualah yang mengangkat darjatnya di langit sehingga seluruh penduduk langit dan bumi memujinya.

Bahkan semua turut terasa sedih kehilangan seseorang yang baik dan soleh.

Insha Allah, tanda-tanda husnu khatimah ada pada kematiannya dan kita semua yakin Allah tidak mensia-siakan penderitaan arwah Khairul. Pasti ganjaran syurga menantinya.

Darinya kita belajar, jangan pernah lelah buat kebaikan demi kebaikan untuk semua orang. Walau tak semua akan menghargai kebaikan kita buat, tapi Allah pasti menghargai dan membalas di waktu yang tepat.

Temanku, kita sering “terlupa” dengan tujuan hidup di dunia ini adalah untuk buat Allah suka dan redha dengan kita.

Teruslah bersangka baik dengan Allah, jangan hanyut dengan kesedihan dunia. Walau seberat apapun ujian yang Allah sedang kirimkan pada kita saat ini kerana kita tidak tahu, boleh jadi musibah itulah pelamar kepada redha Allah.

Wahai orang muda! Hargailah waktu muda dan bujangmu, isilah dengan amal kebajikan dan mengenal Allah, tegakkan Islam, amal dan dakwah kerana belum tentu usia tua akan menjadi milikmu. Kerana belum tentu akan sempat bernikah dan beranak pinak, boleh jadi Allah sudah siapkan pasangan bidadari yang jauh lebih baik dari dunia.

Hargailah waktu nafas yang Allah pinjamkan kerana tiada siapa dapat menjamin hari esok masih ada kerana ajal maut sangat misteri.

Sungguhlah dunia ini sekejap dan paling mahal di sisi Allah adalah iman dan takwa.

“Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.”

“Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan.”

“Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin.” (Yassin: 54-56)

Bukankah itulah “kemenangan” yang agung?

Hikmatul Islam,
“Awak” special di hati saya, selamanya akan berada dalam doa saya. Saya akan pegang semua pesanan terakhir awak.

Awak kata awak suka baca penulisan saya, awak suka tengok saya pergi talk situ sini, awak pesan suruh teruskan dakwah ini, jaga diri baik-baik. Ya Allah, banyak sangat yang awak pesan Kita jumpa semula di syurga.♥️ Damailah awak di sana.

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون.
اللهم اجعل قبره روضة من رياض الجنة..ولا تجعل قبره حفرة ممن حفر النيران…

“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.” Amin.

#DemiAllahAkuTidakKuat
#KeranaAllahAkuHarusKuat
#Silakanshare

Published by
Siti Zurina Mat Saman