
Solat subuh sengaja tak baca doa qunut, solat sah tak? Ini penjelasan PU Azman berkaitan bacaan doa qunut di rakaat kedua dalam solat subuh.
Segelintir orang memang tak hafal doa qunut sebab katanya susah, kemudian dirikan solat tanpa doa qunut. Adakah solat mereka sah dan diterima.
Ikuti perkongsian PU Azman di akaun Instagram berkaitan isu ini:
Solat Subuh Sengaja Tak Baca Doa Qunut
Polemik tentang doa qunut yang ramai bertanyakan tentang isu ini. Mudah saja.
Bacaan doa qunut adalah sunat dalam solat Subuh.
Solat Sah Tak?
Kalau terlupa qunut, disunatkan sujud sahwi. 2 kali sujud sebelum salam. (Mazhab Syafi'i). Solat tetap sah.
Sengaja tinggalkan qunut dan sengaja tak buat sujud sahwi juga tidak membatalkan solat. Kerana kembali kepada asas, semua perbuatan ini hukumnya sunat.
Ini Penjelasan PU Azman
Cuma, ia merupakan satu kekurangan mengikut disiplin mazhab syafi'i.
Bacaan sujud sahwi :

سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَاَمُ وَلَا يَسْهُو
"Maha Suci Allah yang tak tidur dan tak lupa".
Kashoorga: Semoga Allah menerima segala amalan kita, amin!
Sumber: Instagram PU Azman
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tak Sengaja Buka Puasa Awal Kerana Salah Dengar Azan Di TV, Puasa Batal Atau Tidak?

Isi Kandungan
ToggleBerhubung orang yang berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam, para ulama’ berbeza pandangan dalam hal ini. Terdapat dua pendapat.
Pertama, jumhur ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’.
Kedua, hukumnya tidak batal puasa. Inilah pendapat sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri.
Dikemukakan di sini dalil serta hujah dari kedua-dua belah pihak.
Hujah Jumhur Yang Mengatakan Batal Puasa
Pandangan 4 mazhab di kalangan jumhur.
Mazhab Hanafi
Imam Al Kasani dari kalangan Hanafiah menyebutkan di dalam kitabnya Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Syarai’, 2/100berkata:
ولو تسحر على ظن أن الفجر لم يطلع فإذا هو طالع أو أفطر على ظن أن الشمس قد غربت فإذا هي لم تغرب فعليه القضاء ولا كفارة لأنه لم يفطر متعمدا بل خاطئا
Maksudnya: “Jika seseorang bersahur dengan menyangka bahawa fajar belum terbit, sedangkan sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan menyangka bahawa matahari telah tenggelam, padahal sebenarnya ia belum tenggelam, maka wajib baginya mengqadha puasanya tersebut tanpa perlu membayar kaffarah. Ini kerana dia tidak membatalkan puasanya tersebut secara sengaja tetapi tersilap.”
Mazhab Maliki
Ibn Abdi al-Barr dari kalangan Malikiyah menyebutkan dalam kitabnya Al-Kaafi Fi Fiqhi Ahli Al-Madinah, 1/350:
ومن السنة تعجيل الفطر وتأخير السحور والنهار الواجب صومه هو من طلوع الفجر إلى مغيب الشمس فإذا استيقن الصائم مغيبها حل له الفطر فإن ظن ان الشمس قد غربت بغيم أو بغيره فأفطر ثم ظهرت الشمس فعليه القضاء
Maksudnya: “Daripada sunnah ialah menyegerakan berbuka dan menta’khirkan sahur. Pada siang hari maka wajib baginya berpuasa bermula daripada terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Apabila ia yakin telah tenggelamnya matahari, maka halallah baginya berbuka. Sebaliknya diwajibkan baginya mengqadha puasa sesiapa yang berbuka dengan sangkaan matahari telah tenggelam dengan sebab lindungan awan atau lainnya padahal belum tenggelam.”
Mazhab Syafie
Berhubung mazhab kita iaitu mazhab al-Syafie, Imam al-Nawawi menjelaskan:
وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ، فَبَانَتْ طَالِعَةً، أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ، فَبَانَ طَالِعًا، أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَنْصُوصِ، وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ.
Maksudnya: “Sekiranya, seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sahih dan ianya diputuskan oleh jumhur ulama’.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/363)
Begitu juga hukum yang sama iaitu batal puasa bagi yang menyangka tenggelam matahari, sedangkan hakikatnya belum tenggelam, boleh ditemui dalam Nihayat al-Muhtaj, 3/174; Fath al-Mu’in, hlm. 269; Mughni al-Muhtaj, 2/161.
Mazhab Hanbali
Ibnu Qudamah dari kalangan Hanabilah menyebutkan dalam kitabnya Al-Mughni, 3/145
وكل من أفطر والصوم لازم له، كالمفطر بغير عذر، والمفطر يظن أن الفجر لم يطلع وقد كان طلع، أو يظن أن الشمس قد غابت ولم تغب، أو الناسي لنية الصوم، ونحوهم، يلزمهم الإمساك. لا نعلم بينهم فيه اختلافا
Maksudnya: “Dan setiap yang berbuka sedangkan puasa wajib baginya seperti orang yang berbuka tanpa uzur, dan yang berbuka dalam sangkaan bahawa fajar belum terbit, sedangkan sudah terbit atau sangkaan matahari telah tenggelam padahal belum, atau orang yang lupa niat puasa dan seumpamanya maka dia wajib untuk melanjutkan puasanya tersebut, tanpa ada khilaf sepengetahuan kami berkaitan hal ini.”
Hujah dan Dalil Yang Menyatakan Tidak Batal
Mazhab Hanbali
Al-Mardawi dari kalangan Hanabilah mengatakan dalam kitabnya Al-Insaf Fi Ma’rifati al-Rajih Min al-Khilaf, 3/310
وإن أكل يظن الغروب، ثم شك ودام شكه: لم يقض وجزم به، وقال في القاعدة التاسعة والخمسين بعد المائة: يجوز الفطر من الصيام بغلبة ظن غروب الشمس في ظاهر المذهب،
Maksudnya: “Dan jika seseorang makan dengan menyangkakan telah tenggelam matahari, kemudian syak dan sentiasa dalam syaknya, maka tidaklah perlu dia qadha’ puasa tersebut. Dan inilah yang dijazamkannya. Dia berkata pada kaedah 159: Harus berbuka puasa dengan sebab sangkaan berat matahari telah tenggelam pada zahir mazhab.”
Mazhab Zahiri
Ibnu Hazm Al-Andalusi menyebutkan dalam kitabnya Al-Muhalla Bi Al-Athar, 4/356:
ومن ظن أنه ليل ففعل شيئا من ذلك فإذا به قد أصبح؛ أو ظن أنه غابت الشمس ففعل شيئا من ذلك فإذا بها لم تغرب -: فإن صوم كل من ذكرنا تام لقول الله تعالى: { وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ }
Maksudnya: “Siapa yang menyangka bahawa masih malam lantas dilakukan sesuatu daripada demikian itu (makan atau minum), sedangkan sebenarnya sudah waktu Subuh atau pagi, atau dia menyangka matahari telah tenggelam, lantas dilakukan sesuatu daripada demikian itu (makan atau minum), tetapi sebenarnya belum tenggelam lagi, maka puasanya setiap mereka yang kami nyatakan adalah sempurna. Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.”
Jawapan Kepada Hadith al-Bukhari

Lafaznya seperti berikut:
عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَتْ: «أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ، ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ
Maksudnya: “Daripada Asma’ binti Abi Bakr R.Anhuma berkata: ‘Kami telah berbuka puasa pada zaman Nabi SAW pada hari mendung, sedangkan selepas itu matahari masih lagi muncul.”
Hadith ini adalah hadith sahih riwayat al-Bukhari, no. 1959.
Untuk menjawab isu ini, alangkah baiknya kita melihat perawi yang menyebut selepas lafaz hadith ini. Antara lain berkata:
قِيلَ لِهِشَامٍ: فَأُمِرُوا بِالقَضَاءِ؟ قَالَ: «لاَ بُدَّ مِنْ قَضَاءٍ»
Maksudnya: “Ditanya kepada Hisham: ‘Maka apakah mereka diperintahkan untuk qadha’? Jawabnya ‘Mesti qadha’.”
Tarjih
Setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah diqadha’. Ini kerana beberapa hujah:
- Umum nas al-Qur’an Surah al-Baqarah ayat 187.
- Kaedah fiqh menyebut الاصل في كل حادث تقديره بأقرب زمان (Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir). Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa.
- Ini juga selari dengan kaedah fiqh لا عبرة بلظن البين خطؤه (Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya). Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya. Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakkan puasa yang terbatal itu selepas Ramadhan.
- Imam Malik menyatakan di dalam al-Muwatta’, 1/303:
عَنْ خَالِدِ بْنِ أَسْلَمَ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَفْطَرَ ذَاتَ يَوْمٍ فِي رَمَضَانَ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، وَرَأَى أَنَّهُ قَدْ أَمْسَى وَغَابَتِ الشَّمْسُ. فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ عُمَرُ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ وَقَدِ اجْتَهَدْنَا» قَالَ مَالِكٌ يُرِيدُ بِقَوْلِهِ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ» الْقَضَاءَ، فِيمَا نُرَى، وَاللَّهُ أَعْلَمُ
Maksudnya: “Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’. Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qadha’. Wallahua’lam.”
Bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tidak ada yang tidak mempunyai jam, takwim, mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka. Maka sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:
“Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/199)
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Viral Guru Tak Halalkan Ilmu Kepada Pelajar! Mufti WP Ulas Isu “Halalkan Ilmu”

Tular di media sosial bahasa seorang guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan (PJK) yang jelas agak emosi kerana pelajar tidak memasuki kelas PDPR diajarnya. Mungkin kerana terlalu marah, guru yang tidak dinyatakan mengajar di sekolah mana ini memaklumkan tidak akan menghalalkan ilmuPJK termasuk tasawur pernah diajarnya kepada kumpulan pelajar berkenaan walau pelajar itu dilihat sudah meminta maaf bagi pihak kawan-kawannya.
Dalam kita selalu diajar tentang istilah guru menghalalkan ilmu ini, wujud pertanyaan adakah benar wujudnya ISTILAH HALALKAN ILMU ini sudah menjadi percakapan biasa bagi kebanyakan dari kita. Sebahagian kita sangat takut jika tidak lulus dalam peperiksaan kerana ilmu tidak berkat dan sebagainya bila guru mengucapkan sedemikian.
Bekas Mufti WP yang kini merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri pernah mengulas isu ini di page Pejabat Mufti pada 22 Oktober 2018. Kita tidak mahu kerana emosi membawa kepada salah faham dalam agama sedangkan mungkin tidak diajar.
Bolehkah seorang guru tidak menghalalkan ilmu kepada pelajarnya kerana pelajarnya melakukan kesalahan terhadap guru tersebut? Adakah tindakan tidak menghalalkan ilmu sesuatu tindakan yang wajar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Islam amat menghargai ilmu. Tambahan pula, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan bagi setiap umat Islam. Sebagaimana yang di sabdakan oleh Nabi SAW:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim” Riwayat Ibnu Majah (224)
Dengan ilmu manusia akan menerima banyak kelebihan bahkan ia merupakan kayu ukur dalam kehidupan manusia bagi menentukan sama ada perkara tersebut baik ataupun buruk. Misalnya, ketika temuduga pekerjaan, latarbelakang pendidikan merupakan diantara kelayakan utama yang akan disemak oleh majikan sebelum diterima untuk bekerja.
Ini selari dengan firman Allah SWT memberi jaminan kepada orang yang berilmu di angkatkan darjatnya.
Firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. (Surah Al-Mujadalah:11)
Proses penyampaian ilmu merupakan tugas sinonim bagi seorang guru. Bahkan dalam menuntut ilmu, penuntut disarankan untuk berguru kerana ia merupakan jalan dan perantaraan yang terbaik untuk memperolehnya. Guru merupakan pendidik yang bertanggungjawab dalam memikul tugas mulia dan sentiasa diyakini sebagai orang yang memiliki ketinggian ilmu, akhlak dan tingkah laku.
Merujuk kepada soalan diajukan, tidak diketemui perbincangan yang khusus di kalangan ulama’ yang membahaskan konsep “tidak menghalalkan ilmu atau meminta untuk menghalalkan ilmu”.
Kami beranggapan guru yang mengucapkan “tidak menghalalkan ilmu kepada penuntut ilmu atas alasan melakukan kesalahan, ia merupakan satu terma ugutan bagi seorang guru terhadap anak muridnya supaya beradab dalam menuntut ilmu.
Begitu juga, konsep bagi anak murid meminta untuk menghalalkan ilmu daripada guru. Kami melihat kata-kata tersebut membawa erti tersirat yang menjelaskan ia sebagai satu adab tinggi bagi memperoleh keberkatan ketika menuntut ilmu disamping menghormati dan memuliakan gurunya.
Namun begitu, jika guru yang menyebut sedemikian di hadapan anak murid, maka hal tersebut tidaklah membawa kepada dosa jika diamalkan ilmu yang disampaikannya. Bahkan Imam Nasai’ sendiri pernah berlaku perselisihan bersama gurunya dan dihalau dari bertalaqi. Tetapi beliau tetap hadir bertalaqi walaupun tidak dapat melihatnya.
Kisah ini diceritakan oleh Imam Ibnu Athir di dalam kitabnya, beliau menceritakan tentang biografi Imam Nasai’ bersama gurunya Al-Haris bin Miskin. Apabila Imam Nasai’ meriwayatkan hadis daripada Al-Haris bin Miskin, beliau akan mengunakan perkataan “telah berkata Al-Haris bin Miskin dan aku mendengar” berbanding beliau menggunakan “telah berkata kepada kami atau telah mengkhabarkan kepada kami” seperti mana beliau menggunakan pada guru-gurunya yang lain.

Ini kerana, dikatakan bahawasanya Al-Haris dan Imam Nasai’ pernah berselisih faham sehingga menyebabkan beliau tidak dapat hadir lagi ke majlis gurunya itu. Bahkan beliau hanya bersembunyi pada satu sudut dan mendengar apa yang dibacakan oleh gurunya tanpa melihat. (Rujuk Jamik al-Husul fi al-Hadith al-Rasul, 1/196).
Beradab di hadapan guru adalah prinsip yang amat penting bagi seorang penuntut ilmu. Lihat bagaimana Ulama’ terdahulu ketika menuntut ilmu, mereka akan mempelajari adab sebelum mempelajari ilmu. Seperti Imam Al-Ghazali yang amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Beliau telah mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din khusus untuk mempelajari adab bersama guru. Bahkan Sheikh Abdullah bin Mubarak pernah menyatakan:
طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم
"Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu". (Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)
Bahkan telah tercatat melalui karangan Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din yang menukilkan kisah adab dan akhlak Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah terhadap gurunya Imam Al-Syafi’e. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam Al-Syafi’e semoga Allah SWT merahmatinya”.
Kesimpulan daripada isu ini, kami menasihatkan bahawa dalam menyampaikan ilmu guru perlulah bijak menguruskan masalah dan seharusnya berlapang dada dalam menghadapi situasi anak murid yang melakukan kesalahan dan nakal. Begitu juga kepada anak murid, beradab di dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu.
Tawadu’lah terhadap orang yang mengajarkan ilmu kerana mereka diibaratkan sebagai pahlawan. Dr. Hamka pernah menyatakan; guru adalah pahlawan yang sejati. Bukankah pahlawan tanah air, negarawan, pengarang, ahli pidato, orang penting atau berjawatan tinggi, dulunya pernah belajar di bangku sekolah dari serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya? Maka hargai insan yang bernama guru, kerana dia kamu dimuliakan.
WallahuA’lam. Sumber : Al Khafi 862: Guru Tidak Menghalalkan Ilmu
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Wanita Bersalam Dengan Saudara Lelaki Tua, Adakah Dibolehkan

Tatkala bertemu dengan orang tua terutama kalangan saudara mara ramai yang tidak kisah bersalaman dengan mereka walau bukan mahram.
Ini kerana ada pandangan mengatakan tidak mengapa jika ia melibatkan orang tua yang sudah tidak lagi bernafsu. Tapi benarkah pandangan ini?
Bagi meleraikan kekeliruan itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman memberi penjelasan menerusi video yang disiarkan di akaun TikTok miliknya.
Jelas beliau, para ulama berselisih pandangan tentang hukum lelaki bersalaman dengan wanita yang sangat tua.
Ini kerana katanya, ada ulama yang mengharuskan kita berbuat demikian iaitu Mazhab Hanafi dan Maliki serta terdapat juga pandangan yang melarang.
“Bagi Mazhab Syafie dan Maliki, (kedua-duanya) mengatakan haram (berbuat demikian) kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah menyentuh perempuan walaupun yang tua,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikannya baru-baru ini.
Daripada Aisyah RA, beliau berkata: “Tidak, demi ALLAH. Tangan Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun menyentuh tangan wanita ketika berbai’ah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Elakkan perbuatan haram
Mengulas lanjut, PU Salman menjelaskan, Nabi Muhammad SAW hanya berbai’ah dengan ucapan dan perkataan.
Tambahan pula terdapat hadis lain yang mana Baginda SAW bersabda: “Ketahuilah jika kepada seseorang lelaki ditusuk besi tajam, maka itu lebih baik buat dirinya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani dan Al-Baihaqi)

“Inilah pendapat yang paling kuat yang mana haram bersalaman atau menyentuh walaupun wanita itu sangat tua dan tidak bernafsu lagi, menurut Mazhab Maliki dan Syafie.
“Justeru, elakkanlah dan jauhkan (diri) daripada perbuatan yang haram ini,” katanya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI