Dewasa ini ramai wanita yang bersolat dengan hanya mengenakan tudung labuh, jubah panjang dan stoking sehingga menimbulkan tanda tanya sama ada solat mereka sah mahupun tidak. Adakah ketika bersolat, wajib mengenakan telekung atau ia sekadar syarat sahaja? Entri kali ini menjelaskan untuk anda.
Telekung bukanlah wajib ketika bersolat. Yang penting seorang wanita itu mengenakan pakaian yang menutup aurat untuk mendirikan solat. Ummu Salamah r.a berkata, pernah dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang perkara ini. “Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang dan menutup kepala tanpa memakai kain sarung (izar). Baginda menjawab: “Boleh selagi mana pakaian panjangnya itu (dar’u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.” (Riwayat Abu Dawud). Dalam hadis lain Aisyah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak diterima solat wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung.” (Riwayat Tirmizi).
Maka melalui dua hadis ini, fuqaha membahaskan syarat pakaian solat untuk wanita. Pertamanya kain tudung menutupi kepala dan dada mereka serta kainnya perlu cukup panjang sehingga dapat menutup tapak kaki wanita tadi. Kedua, pakaian yang dipakai haruslah longgar dan tidak berbayang (iaitu tidak jarang).
Dengan pakaian seperti jubah, asalkan syarat menutup auratnya dipenuhi, maka solat boleh didirikan dengan mudah, tidak kira di mana. Tidak perlu khuatir solat lewat kerana terpaksa menunggu giliran menggunakan telekung dan sebagainya. Seandainya pakaian yang dipakai sudah cukup menutup aurat dan bebas daripada najis, maka solat itu sah.