Pernah tidak kita merasakan bahawa rajin dirikan solat tetapi hati dan jiwa terasa kosong. Malah ketenangan yang dicari tidak ditemui dan seperti ada yang tidak kena.

Apakah sebenarnya yang tidak kena dengan solat kita dan bagaimana bagi memastikan solat kita itu sudah sempurna.

Gambar sekadar hiasan.

Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami mesej yang cuba dia sampaikan:

Solat Tapi Tiada Hasil

Pada hari ini, ramai antara kita yang solat tapi hasilnya tiada. Maksud hasil ini ialah kita jadi manusia yang penuh akhlak dan adab. Namun sebaliknya yang banyak berlaku.

Betul kita solat tapi masa kita bersendirian kita berbuat dosa. Layan pornografi. Iya solat 5 waktu tak tinggal tapi kita keluar makan dengan makwe berpegangan tangan.

Kita solat siap ajak kawan-kawan, tapi keluar daripada surau tudung tak pakai.

Jika kita sudah solat tapi kita masih lakukan maksiat tanpa ada rasa bersalah, itu tanda kita belum solat dengan sempurna. Masih banyak kekurangan. Atau boleh jadi kita solat tanpa ilmu yang betul.

Artikel Berkaitan: Rebut 7 Fadilat Luar Biasa Solat Dhuha; Antaranya Umpama Mendapat Haji & Umrah Mabrur

Kita Solat Tapi Masih Lakukan Maksiat

IKLAN

Rasulullah s.a.w kata solat ini tiang agama. Maksudnya tertegaknya agama dalam diri kita adalah kerana solat kita. Makanya mudah kita faham kalau kita solat, maka kita adalah manusia yang ada agama. Tapi sebaliknya berlaku, kita ahli maksiat. Allahu.

Antara sebab utama adalah ilmu tentang solat kita masih ditahap rendah. Buktinya makna bacaan dalam solat pun kita tak faham.

Mulut terkumat-kamit baca semua bacaan solat, tapi haram sepatah pun tak faham apa kita sebut. Belum cerita yang baca tak betul. Main ikut hafalan waktu kecil bawa ke besar. Bila periksa rupanya ya ampun banyaknya salah bacaan.

Solat Tapi Langsung Tak Fokus

Solat tapi penuh lalai, langsung tak fokus. Pun jadi sebab juga solat kita sia-sia.
Ini yang Allah sebut dalam Quran surah Al-Ma’un, ayat 4 dan 5;

“Maka kecelakaan besar bagi mereka yang bersembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada sembahyangnya.”

Allahu. Sebab lalai sahaja terus solat kita Allah tak terima. Jadi celah mana kita nak berjaya dengan solat kita? Tak ada tuan-tuan, tak ada.

Gambar sekadar hiasan.

Kena Baiki Solat

Maka atas sebab itu mari kita baiki solat kita bersama. Ini yang perlu kita buat dulu.

1. Pastikan setiap satu bacaan dalam solat kita betul. Cari bahan baca, semak balik. Cari guru juga untuk semak betul ke tidak kita sebut. Iyalah, bacaan dalam solat ini bukan bahasa Melayu. Ini yang pertama.

2. Hafalkan maksud setiap bacaan tadi. Supaya kita jadi hamba yang faham apa yang kita cakap dengan Tuhan dalam solat kita. Kita tak nak kita jadi burung kakak tua depan Tuhan. Bercakap tapi tak tahu apa yang kita sebut.

Artikel Berkaitan: Solat Berjemaah, Rahsia Kekal Bahagia Ustaz Don & Dr Husna Sepanjang 8 Tahun Berkahwin

3. Belajar lahirkan rasa dalam solat kita. Cuba bangkitkan rasa kehambaan. Rasa diri kita hina. Kita cuma hamba yang lemah dan kerdil. Punyalah banyak dosa yang tak putus-putus. Mengaku salah depan Tuhan.

Seterusnya bangkitkan rasa bertuhan. Rasa kita ada Tuhan yang Maha Baik. Maha Mendengar. Maha Tahu segala-galanya tentang kita. Dia yang menghidupkan dan memberikan kita semua yang kita ada.

4. Belajar adab dalam solat. Ada banyak adab yang kita kena jaga. Antaranya solat dengan pergerakan yang perlahan dan teratur. Bukan terkejar-kejar. Laju macam kena kejar hantu.

Pandangan mata yang dijaga. Sekarang ada handphone, lagi lah. Letak dalam poket, kejap lagi handphone bergetar, kita mula lah terfikir siapa yang telefon.

Ini semua merosakkan adab dalam solat kita. Haa.. hal ini kena teliti juga ya.
Moga kita semua jadi hamba yang pandai menyembah Allah.

Tidak sambil lewa. Kerana yang kita harapkan solat kita mampu untuk membentuk diri kita dengan akhlak yang terpuji.

Juga supaya kita kembali ke akhirat nanti, kita tidak kecewa dengan hidup yang Tuhan beri buat kita di dunia ini. Amin.

Firdaus Mokhtar,
Masih belajar.

Sumber: Ustaz Firdaus Mokhtar

Artikel Berkaitan: Bacalah Doa Pengasih Surah Al-Insyirah Lepas Solat, Supaya Diri Sentiasa Dicintai & Disayangi Suami