Solat Tarawih Dibenarkan Dengan SOP Ketat, Jumlah Jemaah Bergantung Kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri

Share

Alhamdulillah. Jika tahun lalu umat islam tidak berpeluang menunaikan ibadah tarawih di masjid berikutan pandemic COVID-19, hari ini ternyata ia satu rahmat besar apabila kerajaan mengumumkan solat tarawih sudah dibenarkan untuk tahun ini.

Walau pun kebenaran diberi namun Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini memaklumkan jumlah kehadiran jemaah untuk bersolat tarawih di masjid dan surau adalah bergantung kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

“Berapa jumlah jemaah dibenarkan adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri namun SOP Ketat perlu dihadapi oleh jemaah,” katanya yang turut memaklumkan selain bersolat tarawih, bazar ramadan dan bazar aidilfitri juga dibenarkan dengan syarat yang sama.

Malah kesemua keputusan ini dicapai selepas trend penurunan pesakit COVID-19 dicatatkan.

“Sebelum keputusan ini dibuat, perbincangan telah diadakan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia serta ahli mesyuarat lain, maka mesyuarat jawatankuasa teknikal bersetuju membenarkan operasi pasar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara.

"Kita juga bersetuju membenarkan solat tarawih, namun prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ini perlu ketat serta dipatuhi semua pihak," katanya lagi.

Jelas Menteri Kanan ini lagi, SOP mengenai pengoperasian bazar akan dibentangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri masing-masing yang menguruskan soal lokasi dan jumlah peniaga.

"Tapi antara yang perlu dipatuhi peniaga dan pengunjung, syaratnya adalah lokasi bazar adalah terbuka; mempunyai laluan masuk dan keluar berbeza; menyediakan ruang pendaftaran MySejahtera dan jumlah pengunjung.

"Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi pada 3 petang hingga 8 malam, manakala bazar Aidilfitri pada 10 pagi hingga 12 tengah malam," katanya lagi.

Published by
almaswa Haji Che Ros