Kerohanian

Solat Tarawih Paling Afdal Buat Muslimah Adalah Di Rumah

Share
Solat tarawih adalah peluang untuk umat menggandakan ibadah dan ganjaran pada bulan Ramadan. Ramai yang bersemangat untuk melakukan solat ini secara berjemaah di masjid termasuklah kaum wanita.
Dalam mencari fadilat sesuatu amalan, wujud persoalan mengenai tempat solat tarawih yang paling afdal bagi wanita.
Jawapan kepada persoalan ini sudah dijelaskan dalam satu hadis Rasulullah SAW:

 

صلاةُ المرأةِ في بيتها أفضلُ من صلاتها في حُجْرَتِها، وصلاتُها في مخدَعِها أفضلُ من صلاتها في بيتها

Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih afdal daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya.”Riwayat Abu Daud

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan larangan tersebut ialah makruh tanzih kerana keadaan wanita pada zaman itu mengamalkan tabarruj dalam berhias, justeru solat di rumah adalah lebih baik bagi wanita bagi mengelak fitnah.[3]

Islam tidak menghalang wanita ke masjid

Walaupun rumah ialah tempat terbaik bagi seorang wanita melaksanakan solat, namun Islam tidak menghalang wanita untuk pergi ke masjid. Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

لا تمنعوا إماءَ الله مساجدَ الله، ولكن لِيَخرُجْنَّ وهنَّ تَفِلاتٌ

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian.”
Riwayat Abu Daud[4]

Melihat kepada keadaan kini, kita dapati wanita keluar solat di masjid lebih selamat daripada fitnah berbanding keluar ke tempat-tempat awam yang lain seperti pusat membeli-belah atau aktiviti sukan di pusat sukan. Fitnah di tempat-tempat tersebut lebih besar dan perlu lebih berjaga-jaga berbanding fitnah bagi wanita ketika solat jemaah di masjid.

Kelebihan melaksanakan ibadah secara berjemaah di masjid turut boleh dinikmati oleh wanita lebih-lebih lagi untuk mengejar fadilat dan pahala solat tarawih berjemaah dan mendengar bacaan imam yang dapat memberikan motivasi dan semangat untuk melaksanakan ibadah pada setiap malam Ramadan.

Tapi sebelum ke masjid sebaiknya ….

Namun begitu, wanita yang pergi ke masjid perlu mendapat keizinan suami, tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj serta sentiasa menjaga adab dan kehormatan sebagai seorang Muslimah agar dapat melindungi diri masing-masing daripada sebarang fitnah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

Published by
Team Kashoorga